Prolog

58 3 3
                                    


Jumaat malam memang sesuai; sebab esoknya cuti. Semua orang akan membingitkan blok tingkatan 1, 2 dan 3. Pada masa yang sama, mereka boleh curi-curi keluar ke blok sebelah. Prep malam mula pukul sembilan, tapi warden selalunya datang lepas pukul 9.45.

Tiga lembaga merapat ke dinding. Dua alur cahaya kecil menyuluh ke atas rumput, tempat katak tadi berbunyi. Mereka mengelak daripada lalu di hadapan kelas kakak-kakak tingkatan empat dengan membuat u-turn ke kawasan makmal kimia dan memanjat tangga tidak berlampu ke tingkat empat.

"Kau ada bawa kunci?" tanya budak perempuan yang memegang lampu suluh.

"Of course!" Balas seorang lagi yang memegang beg sandang ‒ beg itu dari tadi dia seret atas tanah.

"Macam mana kau boleh dapat ni?" tanya seorang lagi yang berada di hadapan sekali.

Keningnya berkerut. Dia ingatkan budak itu bergurau semalam.

"Head librarian yang punya. Dorm dia atas dorm aku," kata pemegang beg sandang.

"Dia tau tak yang beg dia hilang?"

"Sekarang mestilah dia tengah meroyan. Masa aku masuk tu, semua orang pergi dinner. Tak apa. Nanti kita campaklah mana-mana," jawab pencuri beg sandang kepada soalan gadis yang berada di hadapan.

Mereka mengah bila sampai di tingkat atas. Segugus kunci dikeluarkan daripada beg sandang ‒ kunci yang sama dipegang oleh guru perpustakaan. Pintu perpustakaan dibuka dengan satu cubaan ‒ berkat pertolongan sticker berlabel di kepala kunci.

Nafas yang dihela dilepaskan. Rasa gerun membuatkan langkah mereka jadi perlahan. Suis air-cond dan lampu dibiarkan padam, menjadikan kawasan yang mungkin seluas empat bilik darjah itu hangat membahang. Semua perabot seolah-olah menghalang perjalanan mereka. Ini kali pertama mereka masuk ke perpustakaan pada waktu malam. Macam-macam bunyi yang tak kedengaran waktu siang kini bergema.

Linoleum di kaki mereka berkeriut kecil dan melekat ditapak kaki apabila mereka berjalan merentasi ruang ke bilik paling hujung ‒ Red Spot. Seorang saja daripada mereka pernah masuk ke sini, itupun ketika diberikan bimbingan kaunseling.

"Tolong suluh atas sikit, Fiqah. Lenn, ke sini sikit. Bayang kau kacau. Aku tak nampak," kata si pemegang kunci.

Selepas tiga kali cubaan, pintu itu berjaya dibuka. Bilik itu tidak bertingkap jadi selamatlah mereka untuk menutup lampu suluh dan mencari suis lampu kalimantang.

"Waaaah!"

"Gila best tempat ni!"

Dua orang sahabatnya terkesima memandang rak-rak besi yang penuh berisi buku dari lantai sampailah ke siling. Rak ini langsung tak sama seperti rak di luar. Nampak kukuh, teguh. Buku-buku yang ada juga jauh berbeza ‒ kulitnya tebal bersinar, kertasnya licin dan berkilat, dan gambarnya warna-warni serta jelas. Ini tempat buku limited edition, jurnal fotografi dan buku paling mahal. Semuanya dilabel dengan sticker bulat warna merah, sebab setiap buku ada satu naskah sahaja. Kenalah dengan namanya ‒ Red Spot. Tak boleh usik, tak boleh pinjam. Kalau nak baca, kena ada beberapa tandatangan.

Tiga orang budak perempuan itu ketawa riang macam baru lepas tersadung dan terjumpa harta karun secara kebetulan. Tangan mereka pantas menurunkan buku-buku tebal dan cantik yang mereka sempat lihat sebelum duduk bersila di lantai. Senjata yang disembunyikan tadi dikeluarkan – pembaris besi, gunting dan pisau lipat.

Bunyi muka surat pertama yang dikoyak sungguh menyakitkan untuk didengar.

"Bestnya dapat pergi Colosseum. Lenn, kau taknak ikut?" tanya Fiqah.

Tangannya laju mengesan gambar-gambar dalam buku Roman's Most Brilliant Architecture.

"Aku lagi suka London. Macam seronok saja kalau dapat honeymoon kat sana," balas Lenn yang duduk bersimpuh bersama empat buku ‒ Celtic Culture Across Europe, Flora of Britain, Guide to London dan Best Golf Courses in the World.

Pisau lipat warna purple itu menghiris beberapa muka surat sekaligus. Buku yang cantik itu kini koyak rabak, macam kebanyakan buku motivasi belajar yang mereka guna .

"Kau nampak Astronomical Clock ni? Prague. Cantik sial. Aku nak!" Kata kawan yang seorang lagi.

Dia jarang menggunakan alatan walaupun sentiasa disediakan. Tangannya mengoyak buku itu tanpa belas kasihan. Di atas ribanya ada beberapa buku tentang peperangan di rantau Balkan. Soalan itu diabaikan kerana masing-masing sibuk i mengoyak, menggunting dan mencampak.

"Brussels kat mana?" tanya Lenn.

"Belgium. Apa benda best kat situ?" Fiqah bertanya semula.

"Coklat. Hmm. terliur pulak malam-malam ni."

Di hadapan Lenn kini terbuka luas sebuah buku tentang ukiran berasaskan coklat.

"Cuba bayangkan suatu hari nanti kita bertiga travel sama-sama ke Europe! Backpack sama-sama! Enjoy sama-sama!" kata Fiqah dengan muka ketat penuh dengan emosi terpendam.

"Kita pergi rumah makcik Lenn di Kota Tinggi pun dah kecoh. Tak boleh bayangkan kalau kita sama-sama pijak Paris atau Rome!"

"Kita score SPM, then fly macam orang lain. Kacang!"

"Hmm.. tapi aku nak belajar Geografi. Bukan Kimia, Fizik, Add Maths dan Biologi masa form 4 nanti."

"Del, kalau Geografi, tak ada orang yang nak hantar kau ke oversea, beb," kata Fiqah, simpati.

"Aku tau. Tapi kalau boleh, aku nak belajar benda yang aku suka, bukan benda terpaksa," balas Del.

Dia buka satu buku nipis yang penuh dengan gambar pantai dan pelabuhan lama. Muka surat tengah dilabel 'Marseille'. Tipu sangat gambarnya. Mana ada laut sebiru tu.

"Korang nak jadi apa nanti?" tanya Del tiba-tiba.

"Marine biologist," jawab Lenn cepat-cepat, macam dia dah lama tunggu orang tanya soalan itu.

"Interior designer," jawab Fiqah pula selepas berfikir sejenak.

Del diam. Dua cita-cita itu kalau diikutkan tak pernah ada dalam jadual briefing kerjaya yang diadakan di Dewan Bistari. Profesyen yang selalu dipromosi balik-balik doktor, doktor gigi, atau paling hebat pun engineer ‒ yang akan merepek sepanjang hari. Paling kelakar, pihak sekolah akan panggil penceramah-penceramah motivasi yang akan bagi semangat kepada budak-budak yang terkurung dalam sangkar besi ini untuk 'follow your dreams.'

"Kau?"

"Aku? Apa kau cakap tadi?" Del terkejut apabila soalan itu dipantulkan kembali.

"Kau pulak nak jadi apa nanti?" ujar Lenn lambat-lambat sambil membuat suara gerak perlahan.

Del diam, sebab dia benar-benar tak tahu apa yang nak diletakkan di ruangan cita-cita. Tak ada satu pun yang menarik minatnya. Dia boleh mengira dengan cekap, mengingat fakta panjang berjela, dan juga bersukan. Tapi semua itu dibuat sebab wajib ‒ silibus, markah dan peperiksaan.

Dia buntu buat masa sekarang.

"Aku fikir nantilah, lepas sampai Paris," jawabnya tersengih.

Mereka menghabiskan masa berjam-jam di Red Spot. Berpuluh-puluh buku dikoyak, dicarik dan dilubangkan sehingga rupa asalnya tak kelihatan. Mereka akan menghabiskan hari Sabtu nanti dengan menggunting dan menampal gambar-gambar tadi dalam buku latihan sambil sambung berangan.

***

Sebuah beg lusuh warna biru dijumpai di dalam longkang belakang dewan makan.

Sabtu pagi, ketika tiga budak itu sedang gelojoh menikmati sarapan pagi sambil memakai baju kurung prep semalam, Puan Bahyah menangisi nasib rak-rak bukunya yang dah terbalik dan dipenuhi timbunan kertas berkilat di lantai. Kepalanya migrain memikirkan laporan yang bakal ditulis, dan jawatan yang tak mungkin jadi miliknya lagi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 14, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bagasi Ke EropahWhere stories live. Discover now