Kami bernikah pada malam sepatutnya dia dan Amy bertunang.Sungguh, aku tidak pernah bermimpi untuk berkahwin dengan Jofri. Sedangkan Amy amatlah aku sayang, tidak mungkin aku akan merampas bakal suami adikku sendiri. Dan kini aku bukanlah kakak Amy lagi.Amy telah membuang aku jauh-jauh dari hidupnya.Malah, dia sendiri telah melarikan diri ke Australia diluar pengetahuan aku.Itupun setelah tiga hari aku dan Jofri diijabkabulkan.
Aku faham apa perasaan Amy dan disebabkan itulah aku rela mengotakan permintaannya untuk tidak berjumpa dengannya lagi. Aku sanggup membuang rasa rinduku pada mak supaya Amy tidak perlu makan hati dengan kehadiranku di kampung.Tetapi kini setelah tiga bulan kami bernikah, aku pula yang makan hati.Hatiku dipagut pilu apabila mengenangkan diriku yang tidak dikasihi, disayangi malah diiktiraf sebagai seorang isteri. Sekalipun Jofri tidak pernah melupakan Amy malah saban malam dia akan menatap foto Amy di laptopnya. Hati isteri mana yang tidak terguris, tidak sakit dan tidak pedih apabila suami sendiri mengenangkan orang lain sedang isteri sendiri ada didepan mata.
"Banyak masak malam ni ke?" tanya Jofri yang baru balik dari pejabat. Itupun jam sudah menginjak jam sembilan.
"Saya masak apa yang ada kat dapur je?Awak nak makan ke? Saya hidangkan"
"Eh, tak apalah.Dah makan dah kat luar tadi" ujar Jofri.
Aku yang baru hendak bangun dari kerusi tidak jadi bangun.Kepalaku menerawang.Seingat aku kali terakhir kami makan bersama-sama dengan satu meja adalah sebulan yang lepas, itupun disebabkan kawan Jofri tumpang bermalam di rumah kami.Itulah kali pertama dan mungkin juga kali yang terakhir.Jofri mana sudi nak makan dengan aku.Aku bukanlah perempuan yang hendak dia jadikan isteri.Mungkin pada dia buang masa kalau makan bersama aku.
"Banyak kerja ke tadi?" sengajaku bertanya sedangkan memang saban malam dia pulang lewat.Malah kalau hujung minggu juga dia keluar.Katanya dengan kawan-kawan.Tetapi yang anehnya dia tetap pulang ke rumah walaupun lewat macam mana sekalipun.
"Banyak juga. Ada emergency meeting tadi"
Satu sebab kenapa aku masih boleh bersabar dengan Jofri adalah kerana dia tetap menjawab soalanku walaupun mungkin dalam hatinya malas untuk menjawabnya.Jofri juga tidaklah terlalu 'sombong' denganku dalam rumah. Cuma apabila sesekali dia sepertinya mengelak untuk duduk berdekatan denganku. Kalau aku di ruang depan mungkin dia di dapur atau dalam biliknya dan apabila aku di bilik saja barulah dia berlegar-legar dalam rumah.Selain tidak pernah bertegang urat denganku Jofri juga tidak pernah bertanyaku tentang apa-apa soal hati dan perasaan. Disebabkan itulah aku tertanya-tanya apa yang ada dalam hatinya.
"Awak nak keluar ke?" tanyaku sebaik melihat Jofri yang sudah membuka pintu utama rumah kami.
"Huh? Taklah, nak ambil barang tertinggal dalam kereta" jawab Jofri.
Aku menghantar pemergian Jofri sehingga dia menghilang.Aku tahu bukan itu sebabnya.Jofri banyak menghabiskan masa di kereta untuk berbual-bual dalam telefon dengan Amy.Aku sendiri pernah terdengar perbualan mereka.
"I tak tahu nak buat macam mana lagi.Semuanya dah berubah. Walaupun I terima tapi hati I tak tenang"
"Bagi I masa dulu. Nanti I fikirkan"
Begitulah ayat Jofri yang pernah aku dengar.Itupun curi-curi aku mendengarnya.Memang aku pilu malah tidak terkata peritnya di hati.Tapi aku sedar aku ini bukanlah siapa-siapa dalam hati Jofri maka dengan itu aku tidak perlu berjauh hati dengan sikapnya.
"Tak makan lagi ke?"
Aku kalih pandangan.Kali ini aku rasa hairan kerana Jofri tidak menghabiskan masa berjam-jam seperti biasa.Aku terus bangun apabila mengenangkan hal itu.Jofri mengekori langkahku.