Sepanduk Putih

70 3 0
                                    


Kemeriahan waktu itu semakin terasa menjelang hampir tengah malam, setiap yang lalu saling menghadiahkan senyuman dan berbalas teguran. Ada sesuatu yang akan berlaku esok, ada sesuatu yang besar akan terjadi kali ini, demikian bisik hati kecilku. Saat aku ingin membuka mulut bertanya pada ayah sudah pula dia mengarahkan aku masuk tidur duluan, terkumat-kamit bibirku geram menunjukan ketidak puasan hati.

"Esok awak pegi dengan siapa Wong?" Lagi suara bapa masuk sayup-sayup dari jendela bilik.

"Gua suda bilang sama Ramesh kalu dia ok..ini macam kita jalan kaki saja." Jawab..entahlah siapa empunya suara.

"Cantik! Nanti lu panggil gua kalau Ramesh sudah sampai lu rumah. Kita jalan sama-samalah, lagi ramai lagi bagus." Balas ayah pula.

"Ok boleh. Lapas lu sambayang ayam kokok itu..baru kita jalan."

"Baiklah kalau begitu." Ujar ayah lagi.

Mendengar ayah menutup pintu hadapan cepat-cepat aku menarik selimut melitupi kepala tidak mahu dia melihat aku masih belum lelap lagi.

"Ammar.. dah tido ke?" Tanya ayah.

"Baru nak tido ayah." Segera aku mengeluarkan kepalaku menyahut pertanyaannya.

"Esok lepas solat subuh..jom ikut ayah."

"Ke mana ayah?" Pantas soalanku dengan hati berbunga-bunga.

"Ammar ikut ayah, esok Ammar tahu juga nanti," bersahaja jawapan ayah meninggalkan aku di bilik yang tidak berpintu itu.

Selang beberapa minit kemudian suara dari corong radio usangnya dapat kudengar dari tikar mengkuang yang dianyam nenek sebelum dia meninggal terkena peluru sesat orang British ketika mereka melakukan latihan kawat dan juga ketenteraan. Sedih bila teringatkan akan kejadian itu, umurku masih terlalu kecil untuk mengerti lagi. Ibu bagaikan gila meratap dan menjerit akan sesuatu yang aku sendiri tidak faham. Manakala ayah yang berair mata menggengam tangannya sekuat mungkin menahan sesuatu yang tidak dapat dikeluarkannya. Mujur orang ramai datang membantu, beramai-ramai mengangkat dan mengalihkan tubuh nenek yang sudah tidak bernyawa tanpa menunggu arahan dari ayah lagi.

Hidup terlalu susah waktu itu, ayah yang cuma bekerja mengilap kasut di tepi-tepi bangunan kota. Kekadang adalah juga seringgit hasil yang dibawa pulang, ada kalanya hanya dua puluh sen saja cukuplah buat beli minyak masak beberapa hari. Dalam pada itu ibu mengambil upah membasuh pakaian dari keluarga orang-orang British yang turut menetap di sini selepas tamatnya perang. Namun begitu duit upah yang diterima ibu habis diguna ayah membeli kertas dan kain putih, buat sepanduk katanya. Semua itu digunakan sebagai peralatannya mengikut perarakan yang diadakan setiap hari Jumaat dan Sabtu di hadapan pejabat orang putih serta jalan-jalan besar. Pernah sekali aku mengikut ayah ke perarakan itu, sudahlah panas mataharinya mengigit hingga ke tulang, aku yang kerdil ini hampir-hampir dipijak mereka ketika perarakan itu dileraikan oleh pasukan pengawal British.

"Go back to your country!"

"We want our land!"

"Bebaskan kami dari British"

Antara slogan yang dijerit-jeritkan mereka semua. Melayu, cina dan india semua sekali bergandingan tangan mara ke hadapan dengan rentak kaki yang sama, berbaris 8 orang sekaligus. Baris keduanya pula ditugaskan memegang sepanduk putih dengan tulisan jawi dan rumi dalam beberapa bahasa.

"Ayah..jomlah kita balik." Pintaku dengan menarik hujung bajunya.

"Ammar..ayah mahu Ammar ingat semua ini. Ayah dan semua orang di sini melakukan semua ini untuk Ammar dan adik-adik Ammar." Kata ayah menyeka peluhnya dengan lengan baju.

Kamu telah mencapai bab terakhir yang dipublikasikan.

⏰ Terakhir diperbarui: Aug 31, 2018 ⏰

Tambahkan cerita ini ke Perpustakaan untuk mendapatkan notifikasi saat ada bab baru!

Sepanduk PutihTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang