1 Firasat

339 62 5
                                    

Angin dingin di pagi hari membaluti tubuhnya yang tidak berbaju. Sejuk itu menyucuk di kala fikirannya melayang. Retina mata menatap pantulan imej pada satah cermin bilik yang melekap pada pintu almari pakaian berkayu jati.

Apabila badan dikilas sedikit ke belakang, parut torehan pada tatu kala jengking hitam menjadi sajian. Dia yang hanya bertuala dihuni rasa kebimbangan. Entah mengapa hati menjadi tidak sesedap selalu.

Debaran dapat dirasa hingga ke kulit.

"Astaghfirullah..." bisik Salman Firash.

Satu pelukan dari arah belakang diterimanya. Lantas mata melihat pantulan pada satah cermin. Ada sepasang lengan berbaju kurung melingkar di bawah kawasan rusuk muda.

"Jauh abang mengelamun kebelakangan ni." Wanita itu membuka bicara. Hairan pada tingkah sang suami yang asyik merenung jauh ke dalam cermin. Baju yang telah disediakan di katil tidak jua tersarung pada tubuh. Seperti ada yang tidak kena.

"Abang rasa... Tak sedap hati, Aisyah," luah jejaka itu. Wajah diraup perlahan.

Balasan sedemikian mengundang senyuman nipis si mata hazel. Dia menyandarkan sisi wajah pada belakang tubuh suaminya. Telapak tangan pun naik mengusap dada lelaki yang bertuala itu. Mereka masing-masing berdiri berhadapan cermin bilik. "Kenapa ni?" soal bibir. Mata Aisyah terjatuh pada tatu di belakang bahu suaminya. Sejarah silam milik Salman Firash yang telah lama ditinggalkan mereka sejak bergelar suami isteri.

"Abang tak tahu." Buntu Salman. Dia sendiri tidak mengerti mengapa kebelakangan ini rasa tidak enak menjemput di setiap saat dan detik. Firasat bahawa perkara buruk akan terjadi dalam masa terdekat kuat mencengkam.

Aisyah meleraikan pelukan. Dipimpin tangan lelaki itu bagi berlabuh di birai katil. Baju t-shirt kosong yang ada berhampiran diambil lalu dia menyarungkan pada tubuh suaminya. Tuala kecil pula digunakan  bagi mengesat sisa air mandian yang masih di helaian rambut hitam Salman.

Hubungan suami isteri yang pernah dilanda masalah dahulu dibaiki mereka pada mana yang kurang. Memang pun Salman tersilap kerana terlalu melebihkan anak-anak berbanding isteri sendiri. Sedangkan isterinya terlebih mahukan segala kasih dan perhatian. Kini, semuanya bertambah lebih baik. Mudah-mudahan begitulah.

Barangkali rasa tidak enak di hati ini tidak membawa apa-apa petanda. Pujuk sanubari.

"Terima kasih," ucap jejaka itu pada gadis yang sedang khusyuk menyisir rambutnya. Betapa beruntung tuk mempunyai isteri selembut Aisyah. Dia menarik pinggang gadis itu buat berlabuh di atas pehanya. Sementara tiada gangguan 'raksasa-raksasa kerdil', mereka selamat buat bermanja.

"Aisyah yang patut ucap terima kasih pada abang."

"Kenapa pula?"

"Sebab cintakan Aisyah sepenuh hati," kata Aisyah. Dia bahagia. Bahagia sepanjang melayari bahtera bersama. Sikat rambut digenggam. Salman sedang mendakap erat. Memutik rasa cinta untuk lelaki yang asyik memberikan rasa selamat walau di mana diri itu berada

"Itulah kerja abang."

Pipi gebu Aisyah merona merah.

"Nak lunch dengan abang hari ni?" Salman menyoal sambil mengelus pipi wanita itu. Sudah merah dek malu dengan suami sendiri.

"Sempat ke? Abang nak kena ambil Ahmad balik sekolah..."

"Lupa pula kita ada anak. Kalau macam tu... Kita dinner malam ni, boleh?"

"Boleh. Dinner dekat mana?"

"Nanti abang bawa sayang. Tempat rahsia," bisik jejaka itu. "Ahmad dan adik-adik... Kita tumpangkan rumah papa dan mama. Abang nak berdua dengan Aisyah Qomar malam ni."

UNTUK KE SYURGA 3✓[New story] |هجرة Where stories live. Discover now