TANGAN MENGGALI isi beg nak mencari GDC. Ah sudah... jangan la tinggal kat bilik. Orang ada tutorial ni. Karang nak pakai. Baru karang terkial-kial. Apa barang nak kira Engineering Maths pakai congak kepala? Huii... aku tak sehebat tu kut! Tangan dan kepala pada beg. Kaki melangkah juga. So, apa yang jadi lepas tu tak boleh nak salahkan sesiapa kecuali diri sendiri.
BAM! Langgar pintu utama The Hub.
"A... doi...." Sebelah tangan cepat menekup dahi yang dah terasa sengal berdenyut. Mujur keliling ni dah lengang. Malu mak oi!
"Uh... okay?" Tiba-tiba ada suara menegur.
Haiya... ada pulak yang nampak. "I'm fine. I'm fine." Dash berpaling pada yang bertanya. Eh? Kenapa aku rasa macam kenal?
Lelaki yang menegurnya tu turut sama memandangnya dengan kening terangkat tinggi.
"Sett?" Teragak-agak suaranya keluar.
"Dash?"
"Sett." Dia mengulang sekali lagi. Apabila yakin lelaki di depannya kini memang orang yang disangka. Jatuh dari langit mana pulak ex-classmate aku ni?
"Dash."
Sepi seketika.
"Aku tak tau kau kat sini?" Sett angkat kening sebelah.
"Aku pun tak tau kau kat sini?"
"Kau kat sini? Ke kat Robert Gordon?" Kot la saja lepak sini.
"Sini. Kau?"
"Sama."
Diam sejenak. Sama-sama baru nak mencerna tentang kawan lama yang dah lebih dua tahun tak jumpa dan tak dengar berita.
"Kau buat course apa?" Sett tanya.
"Engine." Dash jawab sepatah. "Kau?"
"Medic."
"Congrats."
"Thanks. You too."
Dash angguk. "Tapi kenapa aku tak pernah tau? Aku pernah nampak budak-budak medic yang duduk Hillhead. Tak pernah nampak muka kau?"
"Aku tak duduk sana." Sett senyum segaris. "Aku duduk off-campus."
Sekali lagi sepi mengambil ruang.
"Lee pun ada kat sini, kau tau? Aku selalu jumpa dia kat masjid waktu solat Jumaat." Sett kembali buka mulut. "Dia buat engineering jugak."
Badan terasa keras sekejap mendengar nama sepatah tu. Dash mengangguk kecil tanpa angkat muka.
Sett meneliti riak di wajah Dash yang berubah. Bukan berubah gaya macam kalau nama Lee disebut di depannya waktu zaman sekolah. Berubah gaya lain. Macam muka orang menahan ngilu. Apa gerangan?
Budak medic memang tak kenal sangat dengan budak engine. Sebab jarang jumpa. Budak medic di kampus Foresterhill. Budak engineering di King's Campus atau nama lainnya Old Aberdeen. Kalau jumpa pun mungkin waktu solat Jumaat (untuk yang lelaki la), dan waktu raya (tapi sini belum la nak raya lagi). Pendek katanya waktu event Malaysian Students Association of Aberdeen (MSAA) la. Aberdeen sekarang dah ramai jugak orang Melayu. Walau masih tak seramai tempat lain macam London. Tapi jenuh jugak la kalau nak kenal semua satu-satu.
"Aku memang tak tau apa cerita kau lepas habis sekolah." Sett senyum segaris sambil angkat sebelah bahu.
"Aku pun."

YOU ARE READING
Anthem
General FictionEverybody has a past. Everybody lives a present. And everybody deserves a future. Published April 2013, ISBN 9789670508629 Goodreads : https://www.goodreads.com/en/book/show/17800555-anthem