BAB 68

3K 312 103
                                    

     SHAFQI memandang wajah sembab Marissa. Air mata wanita itu masih menitis lebat. Ingin sekali diseka, tapi Shafqi sedar status Marissa. Dia tidak boleh sesuka hati menyentuh wanita itu. Nanti apa pula kata Marissa?

"Saya tak sangka yang dia sanggup curang dekat belakang saya, Shafqi. Patutlah dia tak pernah pun nak call saya masa kat Johor. Rupa-rupanya, dia tengah berfoya-foya dengan pekerja dia sendiri," luah Marissa sambil tersedu-sedu.

"Awak yakin yang Harraz curang?" soal Shafqi, sengaja menguji Marissa. Dia tidak boleh terlalu gelojoh dalam mendapatkan wanita itu kembali. Strategi harus dibuat dengan rapi. Kalau boleh, dia tak mahu rancangannya gagal.

Marissa mengangguk lemah.

"Awak tengoklah ni. Bukti dah cukup jelas kan? Tapi, dia sendiri masih nak nafikan. Saya pun tak faham kenapa dia beria sangat tak nak mengaku. Sedangkan dah jelas dia salah."

Telefon pintarnya dihulurkan kepada Shafqi. Gambar dan video yang diterimanya tadi ditunjukkan kepada lelaki itu. Biar Shafqi melihat dengan kepala matanya sendiri.

Shafqi mengoyak senyuman sinis dalam diam. Cekap betul adiknya membuat kerja. Tak sia-sia rancangan yang telah diatur oleh Nana. Dari amatan Shafqi, dia rasa Marissa dah terpedaya dengan bukti palsu ini.

Puas.

Puas melihat keregangan hubungan suami isteri itu. Tak lama lagi, pasti akan berantakkan. Dan itulah peluangnya untuk memiliki Marissa semula.

"Saya simpati dengan awak, Marissa. Tak sangka Harraz macam ni. Sanggup dia duakan awak? Dah ada isteri yang cantik dan sempurna ni pun masih nak mencari yang lain. Huh, dia dengan Damian sama je. Dua-dua kaki perempuan." Fitnah Shafqi. Kedengaran nada suaranya juga tidak berpuas hati.

Makin bertambah kerutan di dahi Marissa. Tidak faham dengan bicara lelaki itu. Namun tidak pula dia bertanya. Entahlah, tak ada kudrat lagi untuk dia membuka mulut. Hatinya terlalu sakit.

"Saya dah minta Harraz untuk lepaskan saya. Tapi dia berkeras tak nak ceraikan saya. Saya terseksa, Shafqi. Muka dia pun saya tak sanggup nak pandang. Setiap kali saya nampak Harraz, segala perbuatan dia seolah-olah berulang tayang kat dalam kepala saya ni."

Pandangannya dilontarkan ke arah jalan raya yang sesak dengan beribu kenderaan. Tidak tahu kenapa Shafqi yang dipilihnya untuk meluahkan segala rasa. Sedangkan, boleh saja dia ke rumah Aini dan mengadu pada rakan baiknya itu.

Tapi Marissa tahu, Aini akan membela Harraz. Jadi, diambil keputusan untuk bertemu dengan Shafqi. Walaupun masih baru hubungan persahabatan mereka, namun Marissa sangat selesa dengan lelaki itu.

"Bercerai? Awak biar betul, Marissa? Takkan sampai macam tu sekali awak buat keputusan?" Shafqi bertanya, berpura-pura terkejut. Irisnya membulat besar. Walhal, gembiranya tak usah dicakap. Sungguh, dia memang sejenis manusia yang hipokrit dan pandai berlakon.

"Apa pilihan yang saya ada? Awak nak suruh saya bermadu? Saya tak sanggup, Shafqi. Lebih baik saya pergi dari hidup dia daripada bermadu dengan Natalia," keluh Marissa seraya memandang redup Shafqi di sebelahnya.

"Saya sayangkan dia, Shafqi. Tapi kenapa dia sanggup buat saya macam ni?" Kelopak mata semakin berat menahan air mata. Kalau ada baldi tika ini, dah penuh agaknya baldi itu dengan air matanya.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now