Prolog

804 61 2
                                    

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Seteguk air perahan jus lemon diambil lelaki berpakaian serba gelap yang setentang dengannya. Jaket kulit, cermin mata gelap jenama Rayban dan kumis nipis di atas bibir.

Betapa ketat wajah Salman terhidang, memerhatikan tindak tanduk lelaki berkenaan. Tiada air yang mampu menyejukkan panas di hati. Di atas meja terdapat dua gelas air buahan, ia tidak disentuh Salman Firash. Hadirnya dia ke kafe itu semata-mata untuk mendapatkan jawapan kepada panggilan misteri pagi tadi.

"Salman Firash... Bekas anak buah Mat Shah. Posisi kau sebagai apa dalam kumpulan?" Lelaki berbangsa cina itu meletakkan gelas ke atas meja kaca. Daripada luaran, dapat dijangka Salman tidak akan bersetuju. Arahan sudah dikeluarkan pihak atasan, mahu tidak mahu dia akan memaksa Salman untuk menurut.

"Kau nak apa?" Lontaran soalan maut bermula. Silap hari bulan, penumbuk sulung Salman akan menjemput wajah lelaki asing berkenaan. Dia masih cuba bertenang. Pantang disebut nama Mat Shah, bergeledak darah di pembuluh. Urat pelipisnya naik tersembul di kulit.

"Aku polis."

Papp

ID polis diletak ke meja. Polis berpangkat inspektor itu cuba melengahkan masa agar mereka mampu berbincang.

"Aku tak nak bekerjasama dengan pihak polis." Jelingan tajam Salman menikam mata Inspektor Chow tanpa segan silu. Mata hitam itu seperti sedia membunuh sesiapa sahaja yang berani mengungkit sejarah silam yang sudah lama terkubur. Dia bersumpah tidak akan teragak-agak mengancam nyawa mereka yang menjadi musuh.

"Terserah pada kau. Tapi jangan kata aku tak ingatkan... Yang mereka sedang sasarkan Zack!"

Berdesup tikaman menghiris hati. Salman terkelu seribu bahasa.

"Merepek." Sepatah dijawab. Dia tidak akan mudah tertipu dengan taktik bodoh sebegini. Mana mungkin rahsia mereka sudah diketahui. Mustahil!

Semua tahu bahawa dia dan Zack telah mati.

Salman, mati ditembak Mat Shah.
Zack, mati dalam sebuah kemalangan.

Perancangan sempurna mereka ini bertahan bertahun-tahun lamanya. Mereka sudah memulakan kehidupan baharu dengan gadis pilihan masing-masing. Dunia kecil tersendiri, sambil mengecapi kebahagian sebagai seorang lelaki. Lelaki yang punya isteri solehah dan zuriat penyejuk mata.

Degupan jantung menjadi kencang. Salman cuba menafikan kenyataan itu dengan akal logiknya.

"Mungkin Mat Shah tak tahu kau masih hidup... Tapi Mat Shah tahu yang Zack masih hidup. Sekelip mata kehidupan kawan baik kau boleh musnah.. Sekelip mata." Inspektor Chow menyilangkan kaki. Jarinya sedang bermain dengan penyedut minuman pada gelas.

"Kau saja reka cerita, bukan? Supaya aku jadi kambing hitam polis." Hambur Salman. Vermilionnya naik membentuk senyuman tidak puas hati.

"Up to you."

Tidak semena-mena meja dihentam dengan buku lima Salman. Inspektor Chow berlagak tenang. Gelas airnya dipegang, takut tertumpah seperti nasib gelas jus buahan yang lagi satu.

Salman jadi bengang. Kaki bertindak membuka langkah besar tanpa menghiraukan mata-mata yang sedang memandang. Yakin kedatangan Inspektor Chow tidak bersendiri. Pelanggan kafe yang lain ini pun seolah-olah polis penyamar, yang menyasarkannya mulai saat itu.

Lelaki tinggi lampai berkenaan menghumbankan diri ke dalam perut kereta Hondanya. Dia sedang kusut. Bahkan nalurinya berasa tidak sedap. Enjin kereta dihidupkan dengan sekali pusingan kunci. Berderum bunyi tekanan pedal minyak.

Apakah episod bahagianya akan berakhir berganti duka?

Dia punya anak dan isteri. Begitu jua Zack. Khabaran kedatangan Mat Shah tidak boleh dibawa bergurau. Ada nyawa yang akan menjadi taruhan.

Wajah-wajah insan tersayang saling berganti.

Sesuatu perlu dilakukan.

***

Untuk ke Syurga 3

mempersembahkan

UNTUK KE SYURGA 3✓[New story] |هجرة Where stories live. Discover now