Bab 1

1.8K 70 0
                                    

Rasa ini bukan dibuat-buatRasa ini anugerah dari TuhanApa yang aku perlu buat Memagari rasa itu dengan tiang imanSesungguhnya cinta itu milik setiap insan...Ogos, 2014.

"ANTA sabarlah. Adik ana tu masih muda dan masih belajar lagi. Kalau dah jodoh tak ke mana." Terngiang-ngiang kata Abdul Rahman di cuping telinga Muhammad. Tangannya yang diletakkan di atas dahi dijatuhkan. Muhammad tak dapat lena. Entah apa yang sudah melanda hatinya. Hatinya begitu tak keruan semenjak dua menjak ini. Apakah hatinya telah dilanda tsunami cinta?

Muhammad bangun dari perbaringan. Sia-sia saja dia berkalih badan ke kiri dan ke kanan. Lena tak juga datang. Muhammad duduk di birai katil pula. Mindanya mengimbas semula peristiwa di rumah sahabat baiknya, Abdul Rahman...


"Mak dan ayah kamu macam mana? Mak cik tak naklah nanti kamu saja yang beria-ia mahukan anak mak cik tapi mak dan ayah kamu dah ada calon lain."


"Mak dan ayah saya tak kesah mak cik, pak cik. Mereka serahkan soal jodoh kepada saya. Lagipun yang nak kahwin tu saya. Mereka faham. Mereka terima siapa saja yang saya pilih asalkan saya berbahagia dengan pilihan saya."

"Muhammad, kami bukan tak sudi bermenantukan Muhammad tapi anak mak cik tu masih muda lagi. Belum pandai uruskan rumah tangga."

"Yang tu saya faham mak cik. Dia boleh belajar. Lama-lama pandailah." Masih lagi Muhammad berminat.

"Tapi anak mak cik bukan saja tak pandai urus rumah tangga, anak mak cik tak berpendidikan tinggi."

"Saya pun tak punya kelulusan akademik yang tinggi, mak cik. Sekadar pelajar madrasah." Muhammad merendah diri.

"Khadijah juga tak cantik." Zulaikha menyambung kata.

"Mempunyai al-Quran dalam dada, merupakan satu kelebihan yang tiada tandingannya. Tentu saja Khadijah lebih cantik dari segala-galanya, mak cik. Itu sudah mencukupi bagi saya."Apa pun alasan yang diberi, hati Muhammad sedikit pun tak goyah. Bagi Muhammad, sudah cukup sepadan dirinya dengan Khadijah. Dia seorang hafiz, Khadijah pula hafizah. Sekarang ini dia sedang mendalami ilmu agama, begitu juga Khadijah. Tiga tahun lagi dia bakal menjadi seorang maulana. Khadijah pula bakal alimah. Insya-Allah. Bukankah begitu padan sekali mereka berdua?

"Macam inilah... Memandangkan kamu pun masih belajar, apa kata kamu habiskan dulu pengajian kamu? Jika masih ada jodoh, selepas tamat belajar nanti kamu datanglah lagi."

LAMUNAN Muhammad terhenti. Nafasnya dihela panjang. Apa tak sudikah umi dan abi Abdul Rahman bermenantukan seseorang yang bakal menjadi maulana? Abdul Rahman pula, tak mahukah beriparkan sahabat sendiri? Hati kecilnya tertanya-tanya. Banyak sungguh alasan yang keluarga Abdul Rahman beri.

Atau aku ini sekadar budak kampung? Tak layak buat Khadijah, anak kepada seseorang yang bergelar doktor?


Muhammad kembali bermenung. Sepanjang persahabatannya dengan Abdul Rahman, tidak pernah dia mendengar Abdul Rahman meninggi diri. Walaupun anak orang berada, Abdul Rahman hidup biasa-biasa saja. Tidaklah bermewah-mewahan. Pakaiannya tidak juga daripada material yang mahal-mahal. Sama saja dengan apa yang pelajar-pelajar lain pakai. Bahkan ketika datang berziarah ke rumah Abdul Rahman, dia mendapati rumah umi dan abi sahabatnya itu pun biasa-biasa saja. Besar tapi tidak pula dilengkapi dengan perabot-perabot mewah. Umi dan abi Abdul Rahman pun begitu ramah-tamah melayan kedatangannya. Walaupun kedua-duanya menggunakan ganti nama I dan you ketika berbicara sesama mereka, tapi kedua-duanya mengekalkan hidup cara sunnah. Tidak pula makan bersudu garpu malah makan bersila di atas lantai yang beralaskan seperah. Umi Abdul Rahman walaupun berkelulusan luar negara dalam bidang psikologi tapi dia sekadar menjadi suri rumah dan pendidik kepada anak-anak sepenuh masa. Patutlah Abdul Rahman begitu tertib orangnya. Pasti dididik dengan begitu sempurna.

Muhammad tak pernah lihat wajah Khadijah, bahkan dalam gambar pun tak pernah. Namun hatinya tetap mahukan Khadijah. Dia sendiri pun tak tahu kenapa. Setelah ternampakkan Khadijah di dapur sewaktu dia datang menziarahi sahabatnya pada hari raya tahun lepas, hatinya terus tertawan walaupun pada ketika itu wajahnya terselindung di sebalik tabir.

Khadijah dan Muhammad... Kan best tu? Aduhai... Sejak pertemuan itu, Muhammad ditimpa penyakit angau. Sebenarnya sebelum terpandangkan Khadijah, dia sudah terdengarkan suara Khadijah terlebih dahulu. Beberapa bulan sebelum raya, dia ke rumah Abdul Rahman kerana sahabatnya itu tidak hadir ke kelas. Melalui telefon, dia dapat tahu Abdul Rahman demam.

Ketika mahu memberi salam, dia terdengar suara orang menyanyi. Pada mulanya dia sangka suara itu dari jiran sebelah rumah. Takkanlah sahabatnya memasang radio sedangkan dia demam. Lagu Inggeris pula tu. Kenapa tak dipasangkan saja bacaan al-Quran? Namun semakin dia mengamati, semakin hatinya meyakini bahawa suara yang menyanyi bukannya dari corong radio. Walau sedaplah juga di pendengaran telinga tetapi sumbangnya tetap ada. Setelah dia memberi salam, suara itu senyap terus.

Tersengih-sengih Muhammad tatkala kejadian itu diimbau semula. Suara itulah yang membuatkan dia teringat-ingat. Setelah Muhammad persembahkan munajat cintanya kepada Si Pemegang Takdir, keputusannya positif. Muhammad benar-benar yakin dengan petunjuk yang telah Allah beri. Tidak syak lagi, Khadijah merupakan calon isteri solehah. Jika uminya sudah kelihatan cukup sempurna, tentu saja Khadijah lebih lagi.

Ah! Cinta begitu menggamit-gamit.

Tapi... Bagaimana dengan Khadijah?

Muhammad meraup mukanya yang mulai basah. Meski Muhammad yakin dengan petunjuk yang diberi tapi di pihak Khadijah pula, dia tak pasti.

Jeda.

Tapi Khadijah kini sudah jauh beribu batu.

Ah! Apa dikesahkan jarak? Ikan di laut, asam di darat. Di dalam periuk bertemu juga.

"Kalau dah jodoh, tak ke mana..." Kata-kata Abdul Rahman diimbas. Kata-kata itu akan Muhammad genggam hingga jadi arang.

Pena kemudian diangkat lalu ditujah ke atas lembaran kosong nan sedia terbentang.

RASA

Aku rela tergapai-gapai dalam lautan rasa yang membaraAku juga rela dipanah petir asmaraNamun rasa yang bergelora tak akan melepasi pagar takwaBertiangkan syarak, berlantaikan imanRasa yang kian bercambah pasti diredai TuhanAku tak akan menyingkap tabir rasa iniMeski aku buta dalam lautan rasa yang menyalaCantik atau buruk, kamu tetap bersemadi di hati Mekar dan terus mewangi sentiasaAku pasti rasa ini bukan satu dosaSebaliknya rasa ini anugerah dari TuhanAkan aku pagari rasa ini dengan takwaBiar nafsu tak melangkaui rasaBiar rasa tetap pada lingkaran imanSelagi rasa itu tidak berselimutkan nafsuTakdir itu pasti menjadi milik akuDi ketika itu nanti hati aku dan hati kamu akan bersatu...

Buku coretan rasa ditutup... 

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now