Bab 7

263 16 0
                                    

DENGAN berbantalkan kitab, Khadijah tidur dengan nyenyaknya sedangkan para pelajar yang lain tekun mendengar ustazah mereka mengajar. Namun sesekali ada juga mata-mata yang menjeling ke arahnya. Kemudian mereka berpandangan antara satu sama lain dan tersenyum mengejek. Mereka sudah masak sangat dengan situasi itu. Orang pergi kelas untuk belajar tapi Khadijah tidur!

"Bangun!" Pelajar yang duduk di sebelah Khadijah mengejutkan Khadijah yang begitu nyenyak tidur.

Apabila Khadijah tidak juga bangun, pelajar itu goncang pula bahu Khadijah. Agak kuat juga dia menggoncang.

"Bangun, Khadijah!"

Namun seperti tadi Khadijah tak juga bangun. Dia tidur mati.

Tok-tok! Meja kecil tempat letak kitab milik Khadijah diketuk. Kuat juga ketukannya sehingga Ustazah Khaulah yang sedang mengajar di depan memandang.

"Khadijah tidur, ustazah!" beritahu pelajar itu.

"Biarkan dia!" Ustazah Khaulah berkata.

"Asal datang kelas, dia tidur. Baik tak usah datang kelas kalau macam tu." Pelajar yang lain pula kompelin. Dia sudah naik meluat dengan sikap Khadijah.

"Biarkan... Bila dia sudah bersedia nanti, pasti dia akan belajar. Insya-Allah." Ustazah Khaulah berkata lagi.

Pelajar yang kompelin tadi mengerenyot bibir. Kemudian dia toleh kepada Khadijah. Bukan saja sakit mata, hatinya pun sakit sekali melihatkan Khadijah yang begitu lena sampai tak sedar orang memperkatakan tentangnya.

Bukan main lagi kau, ya! Mentang-mentanglah ustazah tak tegur. Hati kecilnya merungut-rungut.

"Shaukat!" Ustazah Khaulah melaung apabila dilihatnya pelajar yang kompelin tadi tak sudah-sudah memandang Khadijah. Siap tunjuk muka tak puas hati.

"Labbaik, ya ustazah." Lekas-lekas Shaukat pandang gurunya.

"Orang yang berjaga sepatutnya memberikan tumpuan kepada guru yang sedang mengajar."

"Naam (Benar)." Shaukat mengangguk perlahan. Dia termalu apabila ditegur oleh gurunya. Apatah lagi ada suara nakal yang mentertawakannya.

KHADIJAH menapak perlahan menuruni mata tangga. Usai saja kelas, dia bergegas keluar. Tak sabar hendak balik ke dorm. Jarak di antara kelas dengan dorm tidaklah jauh cuma agak penat sedikit kerana terpaksa turun naik tangga. Sayang sekali Darul Zahra yang agak besar dan boleh dikatakan moden itu tidak mempunyai lif mahupun eskalator. Jenuhlah mendaki. Sudahlah kelas di tingkat atas sekali, bilik pun dia dapat tingkat atas juga.

Pap!

Kitab-kitab yang Khadijah pegang bertaburan di tangga. Tak semena-mena tubuhnya dilanggar orang. Mujurlah dia tak jatuh tersungkur.

Khadijah segera pandang ke arah pelajar yang melanggarnya tadi. Namun Khadijah tak dapat mengecam kerana terlalu ramai pelajar. Mereka semua baru saja selesai kelas dan hendak kembali ke dorm masing-masing. Sejurus, Khadijah terpandangkan sekumpulan pelajar yang berbisik-bisik dan tertawa sesama mereka. Namun muka mereka tak kelihatan kerana muka mereka bertabir.

"Awak okeykah Khadijah?"

Khadijah pantas menoleh ke belakang sebaik sahaja dia mendengar seseorang menegurnya. Di belakangnya berdiri Tasneem yang sedang tersenyum memandangnya. Kali ini dia dapat cam sebab Tasneem menyelak tabir mukanya. Mungkin sengaja tayang muka supaya Khadijah kenal dia.

Tasneem merendahkan tubuhnya lalu memungut kitab-kitab yang bertaburan. Sesudah itu dia tegakkan semula badannya.

"Biasalah budak-budak ni... Habis aje kelas, berebut-rebut nak balik ke dorm. Agaknya mereka tadi tu tak perasan terlanggar awak." Tasneem menerangkan tentang keadaan di situ.

Khadijah tak memberikan sebarang respons. Terlanggar atau dilanggar, Khadijah tak pasti. Apa yang dia tahu, dia sakit hati dengan perlakuan pelajar itu. Kalaulah dia tergolek tadi, tak pasal!

Tasneem hulurkan kitab-kitab yang sudah dipungutnya tadi kepada Khadijah. Kitab-kitab berpindah tangan.

"Than... Jazakillah khairan. (Semoga Allah membalas kebaikan kamu)." Sebenarnya Khadijah nyaris menyebut thank you tadi. Mujur dia tersedar dan cepat-cepat menukar ucapannya. Dia pernah bergaduh mulut dengan rakan-rakan madrasah di tanah air hanya disebabkan kata ucapan itu. Kata rakan-rakan madrasahnya dulu, lebih afdal ucapan diucap dalam bahasa Arab kerana ia berbentuk doa.

"Wa iyyaki. (Dan ke atas kamu juga)." Tasneem membalas.

Khadijah mengatur langkah. Dia mahu segera kembali ke dorm. Pakaian yang dia rendam sebelum ke kelas tadi tak sempat dicuci lagi. Dia bercadang hendak pergi menyelesaikan apa yang tertangguh.

Tasneem mengekori. "Awak tinggal dekat dorm mana?"

"Dorm Hassan." Khadijah menjawab. Seraya itu kakinya terus melangkah.

"Oh, saya dorm Hussien." Tanpa ditanya, Tasneem memberitahu ramah.

"Awak duduk bilik mana? Tingkat berapa?" Soalan-soalan diaju lagi.

"Saya tingkat satu." Tak perlu ditanya, Tasneem sudah memberitahu.

Hermmm... Untunglah tingkat satu. Tak payah panjat tangga.

"Awak?" Tasneem bertanya lagi apabila Khadijah masih tak menjawab soalan-soalannya sebentar tadi.

"Empat." Khadijah jawab acuh tak acuh.

"Jom pergi kedai." Tasneem mengajak apabila mereka telah tiba di koridor bawah. Mukanya penuh teruja. Entah apa yang dia seronok sangat, Khadijah tak tahu.

Khadijah geleng kepala. Bukan dia tak mahu tapi dia tak bawa duit, jadi macam mana dia hendak ke kedai?

"Jomlah!"

"Tak apalah... Saya nak balik ke bilik. Ada kerja sikit." Khadijah memberi alasan. Sesudah itu dia terus mengatur langkah meninggalkan Tasneem.

Tasneem tidak menahan. Kalau orang tak mahu, buat apa dipaksa. Dia perhatikan saja Khadijah berlalu pergi.

"Tak payahlah awak terhegeh-hegeh nak berkawan dengan budak sombong tu!"

Tak semena-mena, ada suara dari belakang menegur. Tasneem segera menoleh. Kemudian senyuman nipis dilarik.

"Tak baik tau awak cakap macam tu, Nadhir. Saya kesiankan dia tak ada kawan. Selalu saya nampak dia sorang-sorang." Tasneem berkata.

"Dah sombong, siapa nak berkawan dengan dia?"

"Cubalah husnuzon, Nadhir! Mungkin dia malu. Atau mungkin juga dia takut? Dia kan orang luar?" Khadijah dibela.

Nadhir mencebir bibir. Geram apabila orang luar dibela.

"Sebab orang luarlah dia kena merendah diri. Beramah dengan orang." Nadhir tak mahu kalah.

"Bukankah golongan Ansar itu meraikan Muhajirin, Nadhir?"

Terus Nadhir terdiam apabila disindir secara halus oleh Tasneem.

"Semoga Allah beri awak kefahaman, Nadhir." Tasneem turunkan tabir mukanya sebelum meninggalkan Nadhir terkebil-kebil sendirian.

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now