Bab 4

2.6K 97 86
                                    

Pedih menyengat seolah-olah mencucuk menembusi kulit terus ke tulang. Perlahan-lahan Talhah membuka mata. Tangannya mengusap paha.

"Kau okey tak ni?" Irsyad duduk di hujung katil, mengemas sesuatu.

Kelopak mata dikelip beberapa kali. Cahaya lampu bilik terasa sangat terang. "Kau buat apa kat sini?"

"Aku nak kejut kau bangun solat subuh tadi." Matanya melirik ke arah paha Talhah. "Aku dah bersihkan luka, dan dah letak plaster juga. Luka dah kering dah tadi."

"Bagus juga aku tinggal dengan doktor ni." Talhah ketawa kecil.

"Kau pun doktor juga." Irsyad elus rambut Talhah perlahan. "Kalau ada masalah jangan simpan seorang, aku kan ada."

"Thank you, Chad." Senyuman tawar dihadiahkan pada Irsyad.

"Dah jom siap cepat, Pak Lang aku dah tunggu kat bawah. Kita pergi masjid sama-sama." Tangan Talhah ditarik perlahan, membantunya untuk duduk.


Pagi itu terasa lebih nyaman, seolah-olah kesedihan malam tadi turut pergi bersama pedih luka di paha.

Bau masakan memenuhi ruang dapur Mak Lang walaupun jam baru menunjukkan pukul 8 pagi. Talhah turut membantu apa yang patut.

"Kalau masak nasi lemak ni, biasanya Mak Lang suka masak sambal awal."

Talhah yang masih menghiris bawang menoleh memandang wanita yang tinggi separas bahunya. "Oh yeke? Kenapa?"

"Sambal ni, kalau kita panaskan selalu lagi sedap." 

"Nanti bolehlah Talhah belajar masak dengan Mak Lang." Manis sekali senyuman Talhah. Sememangnya Talhah sangat murah dengan senyuman.

Tak berapa lama, terdengar bunyi ketukan di pintu dapur. "Assalamualaikum." Sopan Irsyad menyapa. Baju jersi berwarna merah yang tersarung lencun dek peluh, menampakkan bentuk badan Irsyad yang kurus namun berotot tegap.

"Waalaikumussalam." Mak Lang menoleh. Talhah yang sedang memotong timun di sebelah turut menoleh memandang Irsyad.

"Lambat kamu balik hari ni. Jauh mana kamu berlari pagi ni?"

Irsyad ketawa kecil mendengarkan soalan Mak Lang. "Sampai lepas sekolah menengah depan sana."

Berkerut dahi Mak Lang. "Sekolah menengah tu tak adalah jauh mana. Budak-budak yang tinggal kawasan sini hari-hari jalan kaki ke sekolah."

"Iya betul. Ulang sepuluh kali. Cukup 19.5 kilometer." Irsyad mengangguk sambil melabuhkan punggung di atas bangku. Selalunya Mak Lang duduk di bangku tersebut kalau hendak siapkan tempahan kuih. Letih juga kalau kena berdiri.

Talhah tersengih. "Kenapa tak cukupkan 20 kilometer?"

"Aku takut kau mula makan dulu." Irsyad ketawa terkekek.

"Sudahlah pergi mandi dulu, nanti boleh panggilkan Pak Lang sekali."

"Pak Lang ada di mana, Mak Lang?" Irsyad sudah pun berdiri membuka pintu kabinet atas untuk mengambil cawan kaca.

"Ada di belakang rumah rasanya, tengah tengok pokok-pokok cili yang dia baru tanam minggu lepas."

Irsyad meneguk air kosong sambil mengangguk tanda dia mendengar kata-kata Mak Lang. "Irsyad mandi dulu ya?" 

"Ya, ya pergilah. Kami pun dah nak siap masak ni."

Talhah tak banyak bersuara, fikirannya sudah melayang memikirkan Raudhah.


Anehnya rasa,  aku hampir menyerah pada fantasi. Dunia di mana kau jelaskan saja bahawa kau cinta. Dan aku tanpa ragu mempercayainya. Dunia di mana kau mampu fahami bahasa cinta aku, dan dunia di mana aku mampu menghormati kehendakmu.

MatahariOnde as histórias ganham vida. Descobre agora