2015
ARIANA NAZIRA kelihatan agak tenang memandu dengan perlahan sebuah kereta peronda polis yang menyusuri sebatang jalanraya lengang menghampiri sebuah rumah banglo dua tingkat yang terletak di kawasan perumahan Bukit Tunku.
Bukit Tunku menyimpan seribu satu rumah tinggal. Lebih-lebih lagi, rata-rata rumah di situ adalah jenis binaan banglo serta rumah-rumah agam yang sudah terbina megah sejak zaman pemerintahan kolonial. Disekelilingi suasana gelap dan sunyi, tidak hairanlah kawasan itu sering menimbulkan perasaan yang menyeramkan kepada setiap pengunjung yang datang tiba.
Kereta peronda Honda Civic 1.8 yang dipandu Ariana akhirnya tiba ke tempat yang dituju, lalu diberhentikannya dihadapan rumah banglo tersebut. Beberapa buah kereta polis yang lain sudah pun tiba lebih awal lagi. Juga kelihatan sebuah van ambulans telah berada di situ. Sekeliling rumah itu telah siap dipagar dengan pita kuning amaran bagi menghalang orang awam dari masuk ke kawasan berkenaan.
Sambil tangan menarik handbrake, Ariana merenung rumah yang dibina pada tahun 1960an itu. Satu helaan nafas yang panjang dilepaskan, sambil mata tidak lekang memandang ke arah rumah itu. Banyak kenangan pahit manis terlintas di dalam ingatannya tatkala dia melihat rumah yang satu ketika dulu menjadi tempat dia berkongsi tawa dan gembira, hiba dan sengsara.
Ariana menoleh pada kerusi penumpang keretanya. Dicapai tag namanya yang baru lagi dicetak, ditelitinya seketika, lalu disarungkan ke leher. Segelung getah disimpulkan di belakang, mengikat rambutnya menjadi tocang. Topi polis dicapai dan dipegang pada tangan.
Ariana melihat dirinya dari dalam cermin pandang belakang kereta itu. Wanita jelita itu memakai uniform polis yang kemas. Dua paku tersemat di bahu. Baju diperbetulkan sedikit sebelum pintu dibuka. Kasut boot berkilat melangkah keluar dari kereta Honda Civic 1.8 tersebut, sambil topi ditelangkupkan ke kepala. Entah kenapa tiba-tiba titisan-titisan hujan renyai dikala senja Maghrib mula membasahi topi dan uniform yang sedang dipakainya.
Ariana melangkah menuju ke rumah banglo tersebut, mata menoleh ke kiri melihat dua van pihak media dari Buletin Utama dan Astro Awani baru sahaja tiba.
Ariana tidak menghiraukannya kemudian terus melangkah masuk ke dalam rumah berusia hampir setengah abad itu. Walaupun sudah dimakan usia, tapi bangunannya masih tegap berdiri. Lapisan cat diluaran tidak seindah yang diingatinya masa zaman remaja dulu. Pokok-pokok bunga yang menghiasi taman rumah sudah lama diganti dengan batu-batan yang tidak bernyawa.
Mata Ariana liar melihat keadaan di dalam rumah. Ianya bersih, tidak bersepah. Tiada sebarang tanda pencerobohan pun. Tiada sebarang tanda yang menunjukkan berlakunya sebarang penganiayaan. Boleh dikatakan semua peralatan berada pada tempatnya.
Beberapa pegawai dari jabatan forensik sedang sibuk menjalankan tugas. Ada yang mengambil gambar, ada yang meneliti, ada yang memberus serbuk pewarna untuk mengambil sampel cap jari.
Seorang pegawai menghampiri Ariana, menghulurkan sarung tangan getah. Ariana mengangguk senyum sambil mengambilnya, kemudian terus disarungkan pada kedua tangannya.
ʻʻArianaʼʼ suara Asisten Superintenden Polis (ASP) Kader Musa kedengaran dihadapannya. Lelaki tegap berusia 40 tahun itu sedang berdiri di anak tangga di antara tingkat atas dan bawah, kedua tangan memegang railing. Tidak seperti Ariana, ketua Jabatan Siasatan Jenayah itu, atau singkatannya CID, hanya berpakaian preman dengan kemeja kuning dan seluar hitam.
ʻʻTuanʼʼ Ariana berdiri tegak sambil memberikan tabik hormat kepada ketuanya.
ʻʻRelaks. Ni bukannya padang kawat. Senang diri, Inspektorʼʼ balas ASP Kader. ʻʻMasih pakai uniform lagi?ʼʼ tanya Kader sambil melihat Ariana masih berpakaian seragam penuh, sedangkan majlis pengtauliahan pangkat Inspektor dan Detektif telah lama selesai pagi tadi.

YOU ARE READING
Ariana Book One: ʻʻJenayah Keghairahanʼʼ
ActionARIANA NAZIRA Seorang pegawai polis yang muda, baru sahaja ditauliahkan dengan pangkat Detektif Inspektor di Jabatan Siasatan Jenayah, Polis DiRaja Malaysia. Ikuti liku-liku pegawai jelita ini dalam menangani kes pembunuhan beliau yang pertama. Kes...