BAB 2

15.5K 809 37
                                    

"AULIYA, kau kat mana?"

Sapaan Haura itu menyedarkan Auliya yang berada di belakang rumah. Langsung badannya dipalingkan ke arah tingkap dapur. Kelihatan Haura yang sedang mencari kelibatnya di sekitar ruangan rumah.

"Aku ada dekat belakang ni. Tengah sidai baju." Langkah kaki ditala terus ke pintu belakang berdekatan dengan dapur itu. Auliya yang sedang menyidai pakaian itu hanya diperhatikan oleh Haura sambil bersandar pada dinding.

"Kau pulang hari ini ke?" Auliya berpaling ke arah Haura. Dia melorek segaris senyuman. Sudah tiga hari dia bermalam di rumah sewa Haura seperti yang selalu dia lakukan apabila suaminya pergi outstation.

" Abang Zaf balik dari outstation hari ni so aku perlu ada kat rumah sebelum dia sampai." Selesai menyidai baju, Auliya melangkah masuk ke dapur. Haura membuntuti langkah sahabatnya itu.

"Dia ada berkasar dengan kau lagi tak?" Soalan Haura itu mematikan perbuatan Auliya yang sedang menuang air ke dalam gelas. Pandangannya dikalihkan ke arah Haura. Auliya bertindak mendiamkan diri. Apa pun jawapan yang dia berikan, Haura tahu yang dia berbohong.

"Sampai bila kau nak tahan dan seksa diri kau Auliya? Dah nak masuk empat tahun tau korang kahwin. Sampai bila kau nak seksa hati dan perasaan kau untuk hidup dengan orang macam Zafran tu? Sekali pun dia tak pernah anggap kau sebagai isteri tau? Suami jenis apa tu?" Bicara Haura bagai bidikkan peluru. Auliya tidak salahkan Haura. Sedikit sebanyak apa yang Haura ucapkan itu ada benarnya.

"Dah jodoh aku tertulis macam tu Haura. Aku tak ada kuasa nak melawan takdir. Kalau tak kerana aku terima cadangan umi untuk gantikan Kak Aafiyah dulu, semua ni tak akan jadi. Kalau dulu aku cuba jadi selfish dan tolak cadangan tu, mesti Abang Zaf dah bahagia dengan orang lain." Itulah jawapan yang seringkali meniti di bibirnya. Kalau tidak kerana dirinya, semua ini tidak akan berlaku. Jadi, dia terima semua ini dengan hati yang terbuka. Perit, tetapi dia perlu telan jua.

"Kau bagi jawapan lapuk Auliya. Sampai bila Zafran tu nak terus hidup dengan bayangan arwah Kak Aafiyah? Kak Aafiyah dah tak ada lagi pun semua ni jadi sebab arwah yang lari dari majlis. Kau pula hanya mangsa keadaan yang terpaksa menjadi pengantin perempuan ekspres. Sepatutnya kau yang ada depan mata ni sebagai isteri sah dia, patutnya dia peduli. Ini tak, naik tangan lagi ada lah!" Jelas Haura menghamburkan rasa tidak puas hatinya. Sakit hati apabila dia ketahui bagaimana layanan Zafran terhadap Auliya selama ini.

Kalau tidak kerana dia ke rumah Auliya dan Zafran pada malam itu, pasti dia tidak tahu bahawa kebahagiaan yang dipamerkan oleh suami isteri itu adalah palsu. Kalau tidak kerana lebam pada wajah Auliya, dia tidak akan tahu bahawa Zafran sering kali naik tangan pada Auliya.

"Kau nak tunggu apa Auliya? Tunggu dia sepak terajang kau? Kalau dia dah berani angkat tangan pada kau, tak mustahil kaki pula yang akan sampai. Please lah Auliya. Jadi selfish sikit. Bukan untuk orang lain. Tapi untuk kebaikan kau juga. Aku tak nak masuk berita kawan aku meninggal sebab kekerasan rumah tangga." Tajam tetapi penuh dengan nasihat bicara Haura itu. Dia tidak mahu Auliya terus-terusan menjadi mangsa kekerasan rumah tangga.

"Dia takkan lepaskan aku Haura. Dia dah pernah pesan dekat aku. Bukan aku tak pernah minta dilepaskan. Pernah. Tetapi talak tu terletak pada lelaki. Pada suami dan pada abang Zaf." Buat apa hidup berumah tangga kalau dipenuhi dengan dendam? Bukan dia tidak pernah meminta akan penceraian tetapi Zafran berkeras tidak mahu melepaskannya.

"Auliya, Malaysia ni ada undang-undang tau. Apa gunanya ada mahkamah syariah tu? Dia dah lakukan kekerasan pada kau tau? Kau boleh buat tuntutan fasakh. Dia tak nak lepaskan kau juga, kau guna hakam." Bukan Haura mahu menghancurkan rumah tangga sahabatnya sendiri. Tetapi dia tidak tega untuk melihat Auliya yang sering kali dikasari oleh Zafran. Tiga tahun Auliya menyembunyikan perkara tersebut. Dia sendiri tidak tahu bagaimana Auliya boleh bertahan selama itu.

"Kau cintakan Zafran?" Soalan cepumas yang Haura utarakan. Menyebabkan Auliya tergamam seketika. Cinta? Dia tak pernah cintakan Zafran tetapi dia cuba untuk memupuk perasaan itu untuk hadir. Tetapi bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi kalau hanya dia yang berusaha sedangkan Zafran langsung tidak ambil kisah.

"Buat apa nak teruskan perkahwinan yang tak ada perasaan cinta Auliya? Berapa tahun lagi kau nak pendam? Sampai masa kau pun akan give up. Sebelum jadi benda yang lebih buruk lagi, baik kau angkat kaki. Kau kena pertahankan hak kau sebagai wanita dan isteri. Jangan buat Zafran terus-terusan pijak kau. Sampai bila kau nak jadi isteri atas kertas dia?" Haura masih menasihati Auliya. Dia harapkan sedikit sebanyak apa yang dia sampaikan itu Auliya hadam dan fikir-fikirkan. Dia mahu sahabatnya itu mencari kebahagiaannya sendiri.

MENJELANG petang, Auliya bergerak pulang dari rumah sewa Haura untuk kembali ke rumahnya. Dalam perjalanan, Auliya singgah di pasar raya untuk membeli barangan dapur. Memandangkan Zafran ada meninggalkan duit belanja rumah, jadi dia ingin membeli bahan basah untuk dimasak buat makan malam memandangkan suaminya juga akan pulang dari outstation.

Tiba di rumah, kelihatan sebuah kereta Peugeot sudah terparkir di garaj rumah. Menandakan Zafran sudah tiba lebih awal daripada Auliya. Auliya turut meletakkan keretanya di sebelah kenderaan tersebut sebelum keluar dari perut kereta. Barangan dapur yang dibeli tadi diambil dan langkahnya ditala menuju ke pintu rumah.

"Assalamualaikum.." ucap Auliya sambil melangkah masuk. Kedua tangannya menjinjing bakul plastik pasar raya. Hening sahaja keadaan rumah mereka itu.

"Kau dari mana ni? Aku telefon dari tadi tak berjawab." Zafran bersuara sebaik melangkah ke ruang tamu apabila menyedari kepulangan Auliya. Matanya tajam mencerlung ke arah isterinya itu. Salam yang diberikan oleh Auliya dibiarkan tidak berjawab.

"Sorry. Bateri telefon saya habis." jawab Auliya sebaik memeriksa telefon bimbitnya yang tidak dapat dihidupkan. Dia terlupa untuk memeriksa bateri telefonnya tadi sebelum dia bergerak pulang.

"Kau dari mana ni?" Wajah Zafran kelihatan tegang. Isterinya itu ditilik atas bawah. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Auliya melihat ke arah suaminya itu. Terang lagi bersuluh yang dia sedang menjinjing barangan dapur takkan itu pun Zafran tak nampak?

"Saya ada beritahukan yang saya bermalam kat rumah Haura sepanjang awak outstation? Saya baru balik dari sana. Alang-alang dah satu jalan, saya singgah pasar raya beli barang dapur." Malas Auliya mahu berperang mulut. Dijawab sahaja persoalan Zafran itu dengan sopan.

"Aku tanya je kan? Yang kau nak melenting tak tentu pasal kenapa?!" Tinggi nada Zafran daripada tadi. Auliya pula sudah terhinjut bahunya terkejut dengan nada Zafran yang tiba-tiba berubah.

"Mana ada saya melenting. Saya jawab baik-baik je kan?" Auliya mempertahankan dirinya. Mengikut ingatannya yang waras, dia tiada melenting pun. Nadanya juga tidak tinggi. Tidak tahu di mana salahnya. Ada je yang tak kena pada pandangan mata Zafran. Lumrahlah kalau hidup bersama lelaki bernama Zafran.

"Dah. Kau tak payah nak tercegat dekat sana. Kau siapkan makan malam. Aku lapar nak makan." arah Zafran sebelum membuka langkah meninggalkan Auliya di ruang tamu. Auliya hanya akur. Sebaik menyusun dan menyimpan barangan dapur, dia berlalu naik untuk solat asar seketika sebelum turun semula memasak untuk makan malam.

Kapten Hafiy Lutfan | HIATUSWhere stories live. Discover now