Bab 3 (Cabaran Masing-Masing)

22 4 0
                                    

Empat hari menghadapi latihan industri dan mempelajari unit masing-masing, hari Jumaat akhirnya tiba sebagai penutup minggu sebelum melangkah ke minggu hadapan untuk terus bekerja. Beberapa orang pustakawan sudah mula menutup lampu manakala pelajar praktikal pula telah diarahkan untuk mengemas barang terlebih dahulu. Hanya Asyiela dan Farhan sahaja yang tinggal di kaunter kerana terlalu sibuk berbual.

"Eh, semalam kan saya baru masuk Unit Sirkulasi. Saya sedar setiap kali saya masuk bilik Audio Visual (AV) untuk mengambil bahan pandang dengar, pintu bilik itu sering terbuka dan tertutup sendiri." Iman berkata sambil memasukkan komputer ribanya ke dalam beg.

"Iya, betul! Sejak saya duduk Unit Sirkulasi pada Isnin hari itu, saya jadi takut bila ada pengunjung yang ingin meminjam bahan pandang dengar. Sebab nanti saya yang akan carikan di sana. Sudahlah bilik itu gelap gelita jika tidak memasang lampu," balas Suraya bersungguh-sungguh.

Zawani merengus kecil, menandakan bahawa dia sedang menahan tawa. Dua orang sahabatnya dipandang seketika. "Jangan negatiflah. Entah-entah engsel pintu rosak," ujarnya.

"Tak juga," suara Cempaka yang seram tiba-tiba menarik perhatian semua orang di situ. "Semalam saya berada di pejabat Unit Perolehan sebelum balik. Pada ketika perpustakaan sudah gelap sewaktu pustakawan sudah menutup lampu untuk balik, keadaan benar-benar sunyi di belakang sana itu. Waktu itulah saya mendengar bunyi orang berjalan," katanya dalam nada seram, membuatkan semua merinding.

Semua mendiamkan diri sambil memandang satu sama lain. Masing-masing kaku di tempat sendiri, hanya Iman sahaja bertindak memeluk lengan Suraya kerana gadis itu berada berdekatan dengannya.

"Janganlah buat cerita hantu Cempaka," tegur Embun, tidak terhibur.

"Apa? Saya berkata benar. Boleh buat novel ni, tajuknya 'Kisah Hantu di Perpustakaan.'" Cempaka bertutur dengan gaya tangan yang menunjukkan keterujaannya. Sahabat-sahabatnya pula sekadar memasamkan muka apabila suasana seram itu menghilang.

Secara tiba-tiba, mereka terdengar satu suara sedang mengekek ketawa tidak jauh dari mereka. Terus sahaja semua tersentak, berdiam diri di situ. Selepas beberapa saat, Zawani menjadi orang pertama menoleh ke arah punca suara.

"Kak Surianti, gelak apa di situ?" Geram Zawani berkata. Surianti yang berada di muka pintu pejabat pula tersengih-sengih.

"Macam-macam ya cerita kamu? Tapi apa yang Cempaka katakan itu betul. Di perpustakaan kita ini ada juga kisah seram dan pantang larang. Sebagai contoh, jangan masuk bilik AV lama-lama, nanti dengar bunyi-bunyi. Ataupun kata-kata orang tentang, 'Tatkala perpustakaan menjadi gelap, akan dengar bunyi tapak kasut berderap,'" Kini Surianti pula mengembalikan suasana seram itu tadi.

Tepukan kuat diberikan oleh Cempaka, teruja sekali. "Ha, kan saya sudah cakap! Saya masih belum gila," katanya dalam nada tidak puas hati.

"Tiada siapa pun yang cakap awak gila-"

"Apa-apa pun!" Potong Surianti dalam perbualan gadis-gadis yang bakal melalut itu. "Kamu semua kena berjaga-jaga apabila duduk dalam perpustakaan ini. Dunia kita bukan hanya ada manusia, malah kita berkongsi alam dengan makhluk yang lain."

"Alah akak, ini lagi menakutkan. Nanti tak pasal-pasal bertemu dengan makhluk lain semasa menyusun buku di rak," tutur Iqlil lepas. Sedar tidak sedar, dia direnung tajam oleh lima orang gadis.

Suraya mengeluh kuat sambal meraup wajahnya. "Awak ni Iqlil, janganlah berkata begitu. Nauzubillahiminzalik. Kalau jadi betul-betul, saya kurung awak dalam Bilik AV," tegurnya geram.

Semua tertawa dengan perbualan mereka hari itu. Apabila semuanya selesai mengemas barang, keenam-enam gadis itu bersama Surianti segera bergerak keluar untuk pulang. Melalui kaunter perpustakaan, mereka melambai ke arah pustakawan-pustakawan yang masih tinggal. Fahrina dan Rui sempat melambai gembira dari sebalik rak buku.

Mission IM120 : Perpustakaan Aksara, Latihan IndustriWhere stories live. Discover now