Bab 23

17 3 0
                                    

Kewujudan Ferrari Purosangue berwarna merah di tempat letak kereta IPD Sibu selalu menjadi perhatian para perokok di smoking area; kerana pondok tersebut berhadapan dengan tempat letak kereta. Sambil merokok dan bersembang hal semasa, mereka juga menikmati alam sekeliling.

Selain keretanya yang menjadi tarikan, pemiliknya juga turut menjadi perhatian. Namun apabila disebut latar belakang si pemilik, semua mencebik sambil berkata 'tak hairan pun'.

Dari kejauhan kelihatan si pemilik yang memerangkap anak tunggal timbalan Pesuruhjaya polis Sarawak sedang keluar dari perut Ferrari. Orangnya tinggi lampai mungkin dalam anggaran 183 m bersamaan 6 kaki, dan kepalanya hampir saja mencecah bumbung ruangan pejalan kaki. Namun Calvin tidak mengendahkan ketinggian bumbung itu. Dia berjalan megah penuh gaya dengan gaya rambut k-pop yang membuatkan para wanita di luar sana lemah semangat jika terserempak dengannya.

Kebetulan rakan setugas Calvin yang bekerja jabatan siasatan jenayah komersial sedang melepak di smoking area sementara menunggu waktu masuk kerja. Perbualan mereka terpadam saat Calvin melintasi mereka, seolah-olah lelaki itu malaikat maut yang sedang meronda.

Namun ada sesuatu yang membuatkan mereka tercengang antara percaya atau tidak, lelaki yang terkenal dengan panggilan drakula itu menguntum senyum ke arah mereka. Dan senyuman yang lebar itu membuatkan wajah Calvin bercahaya terang penuh seri.

"Korang nampak tak? Nampak tak?" Edwin mulai kecoh setelah Calvin berlalu beberapa meter.

"Semalam pun dia senyum kat aku masa kami berpampasan kat toilet," kata Mazlan tidak mahu kalah.

"Haa...jangan korang hairan, kalau dia tiba-tiba joint kita merokok kat sini...hehehe," sampuk Radzif tergelak sakan.

"Dia memang ok pun, cuma dia jenis lambat bergaul. Tapi kalau kena dengan gaya, dia boleh masuk air macam kita," kata Jonas, malas mengumpat Calvin.

"Kau ni asyik back-up dia je, yang korang tu dah serasi ke? Aku tengok korang asyik berkepit je," Perli Edwin. Kalau topik Calvin dibangkitkan, Jonas pasti menyebelahi Calvin.

"Kami kan rakan setugas. Mestilah selalu meronda bersama. Kau ni..." keluh Jonas.

"Haih, korang ni tak habis-habis lagi. Jom lah masuk, kang ada yang kena maki dengan Rikishi," sampuk Radzif ingin beredar.

Mendengarkan nama Rikishi, semuanya bangkit mengekori Radzif. Itu nama jolokan ketua mereka, ...Robert yang terkenal dengan sikap bengis dan tubuhnya yang gempal.

Pagi itu berlalu seperti biasa. Disebabkan Calvin menghadiri mesyuarat, Jonas terpaksa keluar meronda sendirian. Ketika dia kembali ke balai, Calvin sedang bergegas keluar bersama beg sandang.

"Kemana? Kelam kabut nampak...." sapa Jonas di pintu masuk.

Dia ingatkan Calvin terus berlalu seperti biasa apabila di sapa, namun tidak hari ini. Lelaki itu berhenti dan menjawab sapaannya; "Saya ambik cuti half day. Ada keja sikit."

Jonas mengangguk faham sebelum Calvin menyambung langkah. Sebenarnya Jonas ingin bertanyakan khabar sepupunya, namun masa dan tempat tidak sesuai. Calvin juga melarangnya bercakap tentang Angela di balai.

Calvin berlari anak ke kereta. Dia mahu cepat sampai ke rumah. Tidak sabar menatap wajah cantik sang kekasih yang pada ketika ini mungkin sedang menyediakan makanan tengah hari. Tidak dinafikan, Angela memang suka memasak. Gadis itu memasak tiga kali dalam sehari. Kadang-kadang Angela membuat kuih muih untuk minum petang, dan lebihannya dihidangkan waktu malam.

Dia mengagak hobi Angela adalah memasak. Jadi petang ini dia mahu mengajak Angela keluar membeli barang keperluan dapur di samping mencari perkakas dapur yang kurang. Manalah tahu gadis itu ada keinginan membuat kek atau menu yang lain tetapi tidak ada perkakas.

Dia berharap Angela tidak bosan di rumah. Dia mahu menjadi seperti bekas kekasih Angela dahulu; menuruti segala kehendak Angela jika itu membahagiakannya. Dia akan cuba. Malah dia akan menjadi lebih baik dari Zhang Min.

Keasyikan berangan sambil memandu menjadikan Calvin kurang peka kepada keadaan sekeliling. Dia tidak sedar, sebuah Perodua Bezza sedang mengekorinya dalam jarak dekat sejak dari Jalan Oya lagi.

Hari ini dia tidak dapat memandu seperti di litar sepang memandangkan keadaan trafik agak sesak. Jadi, perjalanan mengambil masa hampir setengah jam.

Ferrari Purosangue merah memasuki kawasan apartment Hann's Residence, begitu juga Perodua Bezza tersebut.

Leon memberhentikan kereta tidak jauh dari Ferrari yang diekorinya sejak tadi. Nampaknya dia tidak silap lagi apabila melihat si pemilik keluar dari perut kereta.

Seorang lelaki tinggi lampai memakai jaket dan berkulit putih seperti artis K-pop. Ya, itulah dia! Tak silap lagi. Memang itu lelaki yang bersama Angela tempoh hari; yang berlawan dengannya dan hampir menembak dia. 'Ketemu kau akhirnya....pasti minah tu bersama kau,' gumam Leon sambil keluar dari kereta.

Dia mengekori lelaki itu hingga ke pintu masuk lif. Dia sempat berkongsi lif bersama dua orang penghuni yang lain. Wajahnya ditundukkan sepanjang berada dalam lif. Dan apabila lelaki Ferrari keluar, dia pun keluar.

Setelah keluar dari perut lif, Leon tidak mengekori lagi. Dia berdiri di situ memerhatikan rumah mana satu dimasuki lelaki itu. Setelah lelaki itu masuk, baru dia berjalan ke sana, memastikan nombor rumah di samping melihat-lihat petanda di sekitarnya. Tiada sandal perempuan di muka pintu. Dia membuka rak kasut di sebelah. Dua pasang kasut berjenama mahal dan sepasang kasut jingga! Ya, itu dia! Itu kasut pekerja lab bawah tanah! Leon seakan ingin menjerit. Sah, Angela memang berada di dalam.

Dia lantas mengeluarkan handphone mahu menangkap gambar kasut tersebut. Saat itu juga panggilan dari Richard masuk. Leon segera beredar dari situ.

"Woi, mana kau? Datuk cari kau!" Pekik Richard dalam talian.

Saksi (complete)✅Where stories live. Discover now