14

49 12 0
                                    

Erika mula mengeliat malas untuk meregangkan segala urat sendinya kerana terlalu lama menghadap kertas soalan Matematik tersebut. Kepala digerak-gerakkan apabila dia merasakan tengkuknya agak lenguh.

Segera dia bangkit berdiri. Sudah beberapa jam dia di perpustakaan itu dan sekarang dia merasakan punggungnya cukup kebas. Benar-benar terlalu fokus mengulangkaji. Itu pun kerana beberapa kali dia dimarahi Thaqif.

Kepala dipanggung lalu menoleh ke sisinya. Kelihatan Erika yang sedang sibuk meregangkan tubuh. Siap berdiri lagi. Thaqif terhibur sendiri dengan kelakuan gadis itu.

Terjongket sebelah kening Erfan melihat tingkah adiknya itu. Gaya macam nak buat senam robik saja di dalam perpustakaan itu.

"Tak malu eh orang pandang? Kau jangan nak buat poco-poco dekat sini ya. Baru hadap nombor sikit dah macam itu gayanya." tegurnya dengan wajah datar.

Bebola mata digulingkan tanda menyampah apabila mendengar sindiran jejaka itu. Erika bercekak pinggang sambil menatap Erfan.

"Ada nampak muka aku kisah? Tak ada, kan? Jadi tutup mulut kau." Wajah mengejek ditayang lalu dia kembali menggerakkan tubuhnya.

Sakit hati Erfan mendengarkan balasan gadis itu yang cukup menyakitkan hati. Dirinya sudah malas ingin bersuara lagi. Dia kembali mengulangkaji.

Tersenyum bangga Erika dibuatnya apabila dapat mendiamkan mulut abangnya yang serupa bertih jagung itu. Kerjanya nak membebel saja. Bosan dia dibuatnya.

"Dah siap, ke?" soal Thaqif mencelah pergaduhan mulut adik-beradik tersebut.

Pantas Erika kembali melabuhkan punggung di atas kerusi. Kepalanya diangguk laju dengan senyuman lebar. Kertas soalan yang sudah penuh dengan jalan kerja itu ditolak ke arah Thaqif.

Thaqif mula mencapai pensel dan kalkulator. Dia begitu ralit menyemak kertas soalan tersebut.

Tangan menopang kepala sambil memerhati jejaka itu. Erika tersenyum-senyum sendiri melihat Thaqif.

Erfan yang perasan dengan tingkah adiknya itu menatap gadis itu dengan wajah datarnya. Tanpa rasa serba salah tangan gadis itu yang digunakan untuk menopang kepala itu ditariknya.

Hampir saja kepala Erika mahu terhentak ke atas meja. Wajah selamba abangnya itu ditatap. Dia cuba mencapai jejaka itu yang duduk di hadapan Thaqif tetapi Erfan dengan senyuman sengetnya begitu tangkas mengelak.

"Kau memang sengaja." bisik Erika geram.

Erfan tidak peduli. Dia hanya tersenyum sinis apabila dapat membalas semula perbuatan adiknya. Siapa suruh buat dia sakit hati?

"Sudah. Jangan bergaduh." marah Thaqif perlahan. Kertas soalan milik Erika dipulangkan kembali.

Erika kembali duduk di tempatnya. Dia menjeling Erfan geram. Sakit hatinya dengan lelaki itu.

"Semua betul. Nanti dekat rumah buat lagi banyak latihan. Mana yang tak faham boleh tanya Qif." tutur Thaqif lalu beg sekolah gadis itu yang berada di atas meja dicapai. Kertas tersebut disimpan ke dalam beg sekolah gadis itu.

"Jom, makan. Eri lapar." ajak Erika laju. Alat tulisnya dikemas lalu dihulur ke arah Thaqif. Dia tersengih apabila jejaka itu membantunya mengemas barang-barangnya.

"Boleh. Jom, Fan." balas Thaqif. Buku di hadapan Erfan ditutup.

Erfan melepaskan keluhan. Kepalanya dianggukkan. Buku-buku yang digunakan buat rujukan itu dikemasnya untuk dikembalikan ke rak semula.

Beg disandang ke bahu. Erika menanti Erfan dan Thaqif yang memulangkan buku yang sudah digunakan mereka itu ke tempat asal.

"Jom." Erfan menarik pergelangan tangan Erika.

Perut ditepuk perlahan apabila dia sudah pun kenyang. Erika terlebih dahulu melangkah keluar dari kedai makan tersebut.

"Nak aiskrim." pintanya apabila Erfan dan Thaqif sudah pun memunculkan diri selepas membuat pembayaran.

"Kita pergi 7 Eleven." ajak Thaqif lalu menunjuk ke arah kedudukan kedai serbaneka tersebut.

"Jom."

Baru saja Erfan ingin melangkah mengekori sahabat serta adiknya itu, telefon di tangannya bergetar menandakan ada panggilan yang baru masuk. Si pemanggil dilihatnya. Ibu.

"Kau orang pergilah. Aku tunggu sini saja." ujarnya.

"Okey." Thaqif mengejar langkah Erika yang sudah berada di hadapan.

Apabila tubuh kedua-dua orang itu sudah menjauh, barulah Erfan mengangkat panggilan. Telefon dilekapkan pada telinganya. "Hello, ibu."

Erika cukup ceria apabila dia sudah melihat susunan aiskrim di dalam peti tersebut. Matanya begitu rambang ingin memilih.

"Nak ini." Salah satu aiskrim perisa vanilla itu menjadi pilihannya lalu dihulurkan ke arah Thaqif.

Thaqif menyambutnya lalu dibawa ke kaunter untuk membuat pembayaran. Plastik dibuka dan aiskrim diberikan kepada gadis itu.

"Terima kasih." ucap Erika. Mereka berdua mula berjalan seiring untuk kembali kepada Erfan yang menanti.

"Impian Qif apa?" soal Erika penasaran. Tiba-tiba saja soalan itu terlintas di kepalanya. Dia ingin tahu tentang impian lelaki itu.

Qif tersenyum kecil. "Bahagia."

"Simple macam itu saja?" Erika mengerutkan keningnya.

"Hm. Impian Qif untuk terus bahagia. Cari kebahagiaan sendiri dan tak diatur sesiapa." jelas Thaqif penuh makna. Jujur hatinya yang paling dalam, dia inginkan kata-katanya itu bakal ditunaikan.

Langkah Erika terhenti apabila mendengar bicara jejaka itu. Pandangannya terhala ke arah belakang tubuh Thaqif yang masih melangkah.

Thaqif yang perasan Erika tidak lagi melangkah seiring dengannya, segera membalikkan tubuhnya. Wajahnya jelas hairan apabila tiba-tiba saja gadis itu memberhentikan langkah.

Erika merapati Thaqif. Pandangannya tepat menikam sepasang mata berwarna coklat itu.

"Qif sedih, ke? Ada orang atur hidup Qif? Siapa? Bagitahu Eri. Eri kan dah janji nak lindungi Qif. Tak ada sesiapa boleh ganggu Qif."

Senyuman pada dua ulas bibir itu mekar. Thaqif menggelengkan kepalanya. "Qif cuma cakap saja. Cepat jalan. Fan tunggu."

Erika mengejar langkah lelaki itu. Dia memandang sisi wajah Thaqif. Entah mengapa dia merasakan bahawa ada sesuatu yang membuatkan jejaka itu sedih. Dia dapat merasakan emosi Thaqif tidak berada dalam keadaan yang baik-baik saja.

Pantas tangan Thaqif yang memegang buku itu diletakkan tepat di hadapan wajah Erika. Takut-takut jika gadis itu terhantuk pada tiang lampu.

"Hati-hati." pesan Thaqif sedikit tegas. Risau jika gadis itu mencederakan diri sendiri kerana sikap cuai gadis itu.

"Maaf." Erika menayang sengih. Dia terlalu leka merenung jejaka itu sehingga tidak perasan yang dia hampir saja melanggar tiang lampu di hadapannya.

Mereka berdua kembali melangkah. Kali ini Erika tidak lagi merenung Thaqif. Pandangannya lurus ke hadapan. Tidak mahu jika dia bakal terhantuk di mana-mana kerana terleka.

Thaqif menoleh memandang gadis itu yang kembali senyap. Entah mengapa dia lebih suka jika mendengar Erika berceloteh itu dan ini daripada berdiam diri.

"Eri tanya Qif. Eri pula. Impian Eri apa?" Thaqif cuba kembali berbual apabila suasana di antara mereka sunyi. Dia lebih senang jika mendengar suara dan melihat senyuman gadis itu.

"Impian Eri nak tengok Qif bahagia." balas Erika ikhlas. Jika selama ini Thaqif tidak merasakan cukup bahagia, dia berharap pada hari yang akan mendatang jejaka itu benar-benar akan merasakan bahagia yang sebenarnya.

Langkah Thaqif terhenti. Belakang tubuh Erika ditatap. Dia merasakan terharu apabila mendengar kata-kata gadis itu. Akhirnya, senyumannya melebar. Kaki kembali menapak membawa langkahnya seiring dengan Erika. Beg yang disandang pada bahu gadis itu diangkat sedikit untuk mengurangkan beban yang dirasai gadis itu.


ForelsketWhere stories live. Discover now