13

9.9K 1K 91
                                    

TING!
BUNYI notifikasi mesej masuk. Brayan yang fokus menyelak helaian dokumen langsung mengalihkan perhatiannya ke arah telefon canggih yang terletak di sebelah kanan. Buat seketika, dia menoleh ke arah Teo yang masih berdiri sambil memegang telefon. Mulutnya daripada tadi tak henti membebel. Sekejap dia dongak kepala memandang skrin besar yang memaparkan jam setiap penerbangan. Lagi beberapa minit sahaja mereka akan bertolak masuk ke dalam pesawat itu. Namun, masih ada lagi beberapa pekerja yang belum tiba.

"Hish! Mana diaorang ni? Tak takut kena pecat ke huh? Dah tahu nak pergi outstation, bukannya nak tiba awal dekat sini! Bos pun dah sampai lima minit awal dari korang tau? Geram betullah aku!" Bebel Teo, geram sambil jari-jemarinya mendail nombor telefon seorang demi seorang. Semuanya kena 'ceramah' apabila panggilan diangkat. Mana tidaknya? Ada yang baru nak mandi, ada yang baru nak masuk keretalah, apalah. Tak menepati masa langsung!

Tergeleng-geleng kepala Brayan melihat si Teo. Kemudian, dia kembali mencapai telefon canggih yang berbunyi tadi. Tertera nama Nayra jelas di skrin. Kening Brayan automatik berkerut.

"Nayra?"

Mengapa pula isterinya tiba-tiba sahaja menghantar mesej? Takkan baru bertolak dah rindu? Malas hendak berfikir panjang, hujung jari pun bergerak ingin menekan mesej yang terpapar itu. Tiba-tiba...

"Abang!" Sapa seorang budak lelaki yang tidak dikenali. Berdiri di hadapan Brayan dengan muka menahan tangis.

Sekali lagi kening tebal itu berkerut. Siapa pula budak ini?

"Ya?"

"Boleh tak abang betulkan tali ni? Dia tiba-tiba tercabut sendiri. Saya takut mak saya marah kalau nampak nanti sebab baru beli." Adu budak kecil itu, sambil menghulur topeng berbentuk nuka beruang yang sudah terputus sebelah tali.

Melihat mukanya yang hendak menangis. Brayan langsung mencapai topeng itu.

"Boleh. Kejap ya." Dia meletakkan telefon canggih itu ke sebelah. Melupakan sebentar tentang mesej yang dihantar oleh Nayra tadi. Kemudian, tali yang terputus itupun diikat.

Budak kecil itu menunggu.

"Abang nak pergi mana?" Soal budak kecil itu, sambil-sambil dia melihat Brayan yang masih mengikat tali itu menjadi ketat. Sekilas anak mata bergerak melihat beberapa beg bagasi yang dibawa. Banyak. Pasti hendak pergi ke tempat yang jauh.

"London." Jawab Brayan sepatah.

"Abang nak buat apa pergi sana?"

"Kerja."

"Kerja apa?" Petah pula dia menyoal.

Sekejap Brayan mengangkat muka memandang budak kecil itu. "Ukir patung."

"Wah! Saya suka patung. Abang buat patung yang macam mana? Dekat rumah saya banyak patung yang mak beli. Ada patung beruang, patung Ultraman..."

"Abang pun suka patung waktu kecil dulu." Kata Brayan.

"Ya ke?"

Brayan angguk kepala. Teruja budak kecil itu mendengar. Tak sangka, ada juga orang dewasa yang minat patung sepertinya.

Lantas, Brayan kembali menunduk melihat ke bawah. Tali yang terputus tadi sudah elok diikat dengan kemas. Baru sahaja dia hendak menyerahkan topeng itu kepada pemiliknya semula, tiba-tiba kepalanya diserang denyutan.
Automatik sebelah tangan naik memicit dahi. Muka berkerut.

THE SPLIT : BRAHMSWhere stories live. Discover now