Bab 54

1K 95 23
                                    

"ASSALAMUALAIKUM, mama. Assalamualaikum." Kepala Zinnirah terjengah ke kiri kanan di hadapan pintu rumahnya itu. Pintu terbuka besar, gerangan mamanya tiada.

"Maaa? Mama ada ke di dalam?" Sekali lagi dia memanggil ibunya. Sudah seminggu dia berkampung di rumah nenek, Puan Khalidah masih tidak membenarkan dia pulang ke rumah itu. Dia juga tidak tahu kenapa.

"Ya, sabarlah. Aduh kau ni." Puan Khalidah yang masih bertelekung terus menjeling Zinnirah yang masih tegak berdiri di depan pintu rumah itu.

"Sorry, mama." Sengih.

"Kau ada apa datang sini? Aku dah suruh tinggal rumah Nek Timah, kan? Tak faham bahasa ke?" Laju mulut itu menyoal si gadis itu.

"Ni, Ji ada masakkan masak lemak telur itik kegemaran mama. Mama makanlah dengan baba nanti." Ujarnya sambil menghulurkan sebekas masak lemak itu kepada mamanya.

Puan Khalidah hanya memandangnya dari atas ke bawah sebelum mengeluh berat. Namun, tangan itu lantas menyambut huluran daripada Zinnirah.

"Dah, pergi balik." Mata itu mencerlung tajam memandang wajah polos Zinnirah.

"Ji balik dulu mama, assalamualaikum." Zinnirah tersenyum tawar sebelum berpaling daripada mamanya. Bila mama nak cakap elok-elok dengannya?

Sebaik saja bayangan Zinnirah hilang dari pandangan mata, pintu rumah ditutup rapat. Kaki melangkah pantas ke dapur lalu bekas itu dibuka tudungnya. Bau aroma itu mencetuskan gendang lapar dalam perutnya. Tudung saji ambil lalu ditudung lauk itu, ruang tamu ditujui.

"Kau tak tahu nak berputus asa ke Zinnirah?" Keluhan kecil terlepas dari bibirnya.

Rasa bencinya kepada gadis itu kian terhakis? Dia pun tak tahu apa yang sudah terjadi pada dirinya ketika itu.

Rasa bersalah mula menghurung diri. Teringat pergaduhan kecilnya antara Encik Alwie sebelum dia benar-benar menghalau gadis itu ke rumah Nek Timah. Walaupun pada awalnya gadis itu keras mempersoalkan dirinya, namun dia tetap menghalau gadis itu.

Sekali lagi wanita itu mengeluh panjang.

Flashback

"Abang buat apa dalam bilik budak tu? Ini kali kedua saya nampak awak keluar dari bilik budak tu jam 3-4 pagi macam ni. Abang buat apa semasa budak tu tidur?" Puan Khalidah yang berdiri di hadapan bilik Zinnirah terus menegur suaminya yang berkelakuan pelik sejak dua menjak ini.

Tangan disilang ke dada. Wajah Encik Alwie yang terkejut itu ditatap penuh curiga.

Suasana masih sunyi tanpa jawapan.

"Idah tanya abang ni, jawablah." Gesa Puan Khalidah yang menonong mengikut suaminya dari belakang.

"Bisinglah Idah, abang tak buat apa pun." Rambut digosok laju, bingit dengan suara isterinya.

"Jangan tipu saya abang, abang buat apa dengan Zinnirah!" Suara itu hampir tinggi.

"Eh, sejak bila kau kisah pasal budak tu pula ni? Lantak aku lah nak buat apa pun pada dia. Jangan bisinglah." Encik Alwie terus merenung tajam wajah isterinya itu. Pagi-pagi begini sudah buat dirinya serabut.

Tuala yang bersangkut di belakang pintu diambil. "Abang...abang rogol dia ke?" Soalan itu terus menghentikan tindakan Encik Alwie sebelum dia mendengus kuat.

"Kau cakap apa ni?" Tiada lagi lemah-lembut dalam pertuturan Encik Alwie.

"Jujurlah abang, abang ro-rogol dia ke?" Bergetar bibir itu menahan rasa.

"Kalau ya kenapa? Ada kacau dengan kau ke?" Hampir hancur berkecai hati Puan Khalidah mendengar pernyataan yang keluar daripada mulut suaminya itu.

Astaghfirullah. Astaghfirullah.

"Kenapa abang? Kenapa abang perlu buat macam tu pada dia? Zinnirah tu anak kita, abang sedar tak!" Naik seoktaf suara itu sebelum dia menumbuk perlahan dada suaminya.

"Selama ni tak pernah mengaku anak pun, kan? Jadi apa masalahnya aku berikan kasih sayang aku pada dia?" Terus terukir senyum sinis dihujung bibir Encik Alwie.

"Tak cukup ke abang... Abang dah ada saya... Abang dah ada Salwa... Kenapa perlu buat begini pada dia? Walaupun saya benci dia, tapi janganlah sampai jatuhkan maruah dia sebegini abang." Terjatuh terus air mata tuanya pada pipi kurus itu. Entah kenapa, sebu rasa hatinya mendengarkan khabar itu.

Encik Alwie yang berasa geram terus mengcengkam kuat pipi isterinya. "Kau dengar sini ya Khalidah, kalau aku tahu kau bagitahu sesiapa tentang hal ni, siap kau aku kerjakan. Kau nak ke diceraikan pada umur 50-an? Kau tak nak, kan? Jadi kau zip mulut kau elok-elok, kita berdua sama saja. Kita berdua sama-sama nak hidup budak tu hancur, jadi kau jangan nak berlagak suci sangat."

Genggaman dilepaskan. Kaki itu melangkah keluar daripada bilik dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Puan Khalidah hanya menahan esak di biliknya. Ya Tuhan, dugaan apa yang melanda keluargaku ini.

Kaki cuba dikuatkan sebelum dia bergerak ke bilik Zinnirah. Tombol pintu dipulas sebelum matanya terhidang dengan keadaan Zinnirah ketika itu.

Punggung dilabuhkan di sisi gadis itu sebelum rambut yang serabut itu dirapikan. Wajah yang comot dilap dengan tangannya sendiri. Air matanya sungguh murah pada ketika itu. Zinnirah betul-betul tidak sedarkan diri.

Sapu tangan di atas meja belajar gadis itu mencuri perhatian Puan Khalidah. Sapu tangan diambil sebelum didekatkan di hidung. Dengan pantas, dahinya berkerut sebelum diletakkan kembali ke atas meja.

Suaminya itu menggunakan kloroform untuk menidurkan Zinnirah? Allahuakhbar, sampai begini sekali...

Badan kembali dialihkan pada gadis itu. "Aku memang tak suka kau, Zinnirah. Tapi, aku pun tak sanggup nak biarkan suami aku jadi haruan makan anak. Kau betul-betul kena keluar dari sini..."

"Apa yang ada pada kau sehinggakan baba kau sendiri mahukan kau? Kenapa hidup kau penuh dengan bala, Zinnirah! Kucar-kacir keluarga aku disebabkan kau! Kenapa kau perlu wujud..."

Terus terasa lemah kakinya sebelum dia jatuh terduduk di hujung katil. Otaknya berserabut dengan masalah yang tiba-tiba ini.

Kepalanya berdenyut memikirkan hal ini. Ada anak perempuan seorang pun hanya tahu menimbulkan masalah pada dirinya.

Dia penat dengan ujian ini...

Tolong jauhkan dia daripada gadis ini, dia sudah tidak mampu mahu melihat wajah gadis itu. Dia mahu selamatkan suaminya daripada terjerumus dengan lembah dosa ini.

Tolonglah pergi jauh daripada hidup kami, Zinnirah...

End of flashback

"Kau dapat mana telur itik ni, Idah?" Teguran daripada suaminya itu terus mematikan lamunannya.

"Eh bila balik? Tak perasan pun." Ujar Puan Khalidah sebelum membuka telekungnya.

"Nak perasan apanya kalau tenung dinding tu macam nak tembus. Telur itik ni siapa yang bagi?" Soal lelaki itu sekali lagi.

"Zinnirah yang bagi..." Berat bibirnya terasa untuk menyebut nama itu.

"Dia balik ke? Mana dia? Dalam bilik?" Bertalu-talu soalan itu muncul daripada bibir Encik Alwie.

"Dia tak ada, ada rumah mak."

"Ingatkan dah balik."

Terasa panas hatinya mendengar keluhan yang keluar daripada bibir suaminya. Orang tua gatal.




SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now