01

71 7 4
                                    

Melaka, Malaysia
Tahun 2023

BUNYI cengkerik, katak dan binatang-binatang nyaring menguasai suasana malam yang makin kelam. Nasuha mengelap lensa kamera telefonnya sebelum kembali merakam  keadaan rumah terbiar tempat dia berada kini.

"Okey, guys. 20 mata memandang. Walaupun 20 sahaja tetapi kepada para viewers terima kasih sebab dah support channel kita. Jadi jam sekarang menunjukkan pukul 2 pagi. Kita sekarang berada di banglo lama Bukit Wangi. Orang kata dekat sini banyak terlihat penampakan budak. Jadi marilah kita terokai tempat ni dan pastikan sama ada dakwaan tu benar atau tak. Jangan lupa tekan like dan share live ni ya guys!"

Dhia, ketua pasukan paranormal Tiga Pemburu memulakan mukadimah untuk siaran langsung. Seorang lagi ahli pasukan mereka yang bernama Zati memberi isyarat agar mereka masuk ke dalam rumah. Di antara mereka bertiga, Zati adalah ahli pasukan yang paling alim. Yang mengetuai misi paranormal mereka memang kebiasaannya adalah Zati. 

Dhia menelan air liur.

"Saya takut sebenarnya ni. Tapi tak pe, jom kita ikut Zati."

Penerokaan mereka diketuai Zati,  Dhia dan Nasuha di belakang sekali selaku jurukamera. Mereka berjalan di tingkat pertama rumah itu dengan berhati-hati. Dhia berborak dengan para penonton, Zati terkumat kamit membaca surah dan Nasuha pula tenang tidak bersuara merakam keadaan sekeliling.

Tang!!!

Bunyi tin dibaling kedengaran menyebabkan Dhia terus memeluk Zati.

"Weh, apa tu!"

"Dia dah hadir. Aku dapat rasakan dia dah hadir."

"Dia hadir dari mana tu? Bagitahu dulu. Aku nak rakam."

Hihihihihihi! HIHIHIHIHI!

Bulu roma Dhia dan Zati tegak berdiri. Nasuha masih tenang merakam tingkat satu tersebut, cuba mencari entiti yang dimaksudkan oleh Zati.

"Weh, Zati! Yang kau menggigil juga kenapa? Buatlah sesuatu!"

"Nak buat apa? Kalau aku buat sesuatu nanti dia lari pula! Kitakan nak rakam dia!"

"Dah tu kalau dia tiba-tiba serang kita macam mana?!"

"Kau seranglah dia balik!"

"Kau gila?!"

Lensa telefonnya dihalakan Nasuha ke arah tangga di ruang tamu. Pada ketika itu, sesusuk lembaga hitam muncul di layar skrin. Komen di dalam siaran langsung mendadak naik disebabkan penampakan tersebut. Nasuha mengecilkan matanya cuba mengenal pasti apakah identiti sosok tersebut. Namun keadaan di rumah banglo itu terlampau gelap untuk dia mendapatkan imej yang jelas. Dia berpaling ke arah dua orang sahabatnya yang masih bergaduh.

"Weh, ada benda dekat tangga," ujar Nasuha selamba.

Pergaduhan di antara Zati dan Dhia terhenti. Mata mereka berdua membulat dan mereka saling berbalas pandangan. Isyarat diberi dan tanpa berfikir panjang, mereka terus buka langkah seribu.

"LARI!"

"Lari weh lari!"

"Woi! Haish diorang dua ni." 

Nasuha menunduk, segera mematikan siaran langsung pada telefonnya. Namun tatkala kepala diangkat kembali, ternyata dua orang manusia yang tadi bersama dengan kini sudah lesap dari pandangan. Dia merengus.

Dasar kawan. Langsung tidak setia. Tidak mahu berlama di situ, Nasuha akhirnya berlari sendiri cuba mencari jejak rakan-rakannya.

Hilang sahaja kelibat si tiga orang sahabat, sosok hitam yang dilihat Nasuha tadi mula turun dari tangga. Satu demi satu anak tangga dijejak dan dia kemudian berjalan menuju ke ruang tamu.

HA [Hold]Where stories live. Discover now