chapter ٣٧

9.3K 975 38
                                    

NEUN
The cold angel

Negara Qeouland.

Mereka duduk mencangkung. Neun memerhati setiap sudut. Deria pendengaran dan penglihatan menjadi lebih peka dan berjaga-jaga. Ibu muda di tepinya harus dijaga dengan baik sehingga bantuan sampai.

Bantuan?

Siapa yang akan hulurkan bantuan?

Entah dapat, entah tidak Neun pun tidak tahu. Jika tiada yang hadir dia akan melangkah untuk Permaisuri Qeouland. Dia sudah melalui pelbagai misi di negara orang, tiba saatnya darah dia mengalir demi memperjuangkan tanah air sendiri.

Keluar saja dari lorong mereka, ada tempat letak kereta usang. Mereka tunduk diam dan seminit telah hanyut, bunyi tapak kaki berjalan pergi dari situ. Neun angkat kepala, sempat dia jenguk kawasan sekitar.

Selamat.

“Kita akan bergerak ke kereta-kereta itu, jalan dengan perlahan…” suruh Neun sambil berbisik. Mereka pun berjalan sembari menundukkan badan, Tengku Raiha di depan manakala Neun mengikut dari belakang. Dari sebuah kereta ke sebuah kereta mereka lintas dengan bukaan kaki yang cermat dan penuh berhati-hati agar dapat mengurangkan bunyi derapan orang berjalan. Lagi-lagi waktu malam yang semakin menginjak subuh.

Satu kesilapan, nyawa bakal pemerintah Qeouland akan terputus. Satu kesilapan, nyawa Tengku Raiha bakal dizalimi bekas suaminya. Satu kesilapan, kredibiliti Neun akan disoal.

Satu kesilapan… semuanya bermula dengan satu ralat, culas, khilaf dan gawal meruntuhkan masa depan sebuah negara.

Dalam Neun tidak sedar, boleh meranapkan masa depan tiga buah negara.

Tuk-tuk!

Refleks telinga Neun dengar sesuatu, dia membesarkan langkah lalu bahu Tengku Raiha dia hambat ketat ke dalam pelukan. Justeru dia cekap mengheret Tengku Raiha ke sebuah kereta yang paling dekat dengan mereka, berhenti kepala Tengku Raiha dia lindung.

“Boss, she's not here!” sebutir-sebutir perkataan dari corong telefon seorang lelaki.

“Tak, aku tahu dia ada berdekatan sini. Dia bawa anak dia, kalau lari pun mesti sekitar sini saja. Cari sampai dapat. Kita tak akan balik tanpa dia dengan budak kecik tu, faham?”

“Faham boss!” bulu tengkuk Tengku Raiha menegak. Mereka mencari dia dan Putera!

“Teruskan pencarian!” punat merah lelaki itu tekan, matikan panggilan. Arahan dari pihak atasan wajib dibereskan. Tangan merogoh ke dalam saku untuk mengambil kotak rokoknya.

Bibir gelap akibat terlampau kuat menyedut asap mengepit sebatang rokok, pemetik api membakar hujung puntung. Dia merokok supaya dapat mengusir amarah di hati.

“Tak guna punya perempuan, dah lari istana menyusahkan aku. Kau fikir dapat lari dari aku ke? Dalam mana pun kau menyorok, aku boleh hidu.” Perempuan itu licik tetapi dia lebih lagi!

Sudah sebulan dia mencari kedudukan Raiha. Mengesan dan menjejaki keberadaan seorang perempuan yang licik yang dibesarkan oleh protokol istana dan tidak mudah diperdaya bukan senang bagi dia.

Pelbagai cara yang dia gunakan. Melalui rakaman cctv yang dipasang di kaki lima. Menyoal orang awam. Semua sia-sia. Tidak memberikan keputusan positif. Baru tadi dia menerima maklumat ada orang yang menjumpai Raiha dan seorang bayi. Nahaslah dia jika Raiha hilang lagi.

"Hachumm!"

Raiha menekup mulut. Badan mula menggigil. Kini, keselamatan mereka dalam bahaya. Sepasang mata Neun membulat tetapi dia masih menunduk, diam di kedudukan mereka.

NEUNWhere stories live. Discover now