BAB 4

29 6 0
                                    

Rambut berwarna coklat terbang sepoi-sepoi mengikuti arah angin. Pemilik rambut itu sedang mundar-mandir di hadapan perkarangan rumahnya. Kuku digigit, dahi berkerut, dan nafasnya tidak tentu.

"Jas? Masuk ke dalam dahulu. Nanti ayah keluar cari mereka. Ibu pun risau sangat ni. Katanya ada manusia dengan dia, kan? Ke manalah mereka pergi agaknya...," keluh ibunya.

"Kenapa abang tak balik terus ke rumah, ibu? Dia ingat kelakar ke main-main au cak au cak macam ni? Sekejap timbul, sekejap tidak. Jas tak suka," luah Jasmin pula.

Jasmin ini merupakan seseorang yang sangat sensitif. Seseorang yang dipenuhi dengan emosi yang sangat dalam. Andai dia tersepak akar pokok sekalipun, pasti ditangis. Dia kuat, tetapi dia memang mudah ditenggelami emosinya sendiri.

"Ayah pergi ke mana? Dia keluar dengan siapa, ibu?" soal Jasmin.

Dia melabuhkan diri ke atas kerusi rotan di ruang tamu. Ruang tamu yang cukup luas untuk melepaskan kerisauan. Aliran udara yang baik untuk mereka supaya mereka dapat menenangkan diri. Ibunya, Puan Menjalara sedang melipat baju-baju yang baru diangkat dari ampaian tadi. Diperhatikan keadaan anak bongsunya, Jasmin yang sedang panik.

"Jas, duduk sini."

Lantai kayu yang dialas dengan tikar buluh ditepuk perlahan.

"Tolong ibu lipat baju, inshaAllah ayah akan pulang bersama mereka nanti," pujuk ibunya.

Sengaja Puan Menjalara ajak Jasmin lipat baju. Untuk tenangkan fikiran dia. Walaupun hatinya sendiri sedang gundah-gulana, dia perlu kekal tenang supaya yang lain tidak turut panik bersamanya. Jantungnya berdegup kencang sejak berita kehilangan Nukman dan seorang manusia diuar-uarkan di Kampung Dumang.

Jasmin mengambil tempat di hadapan ibunya lalu mencapai baju-baju yang belum dilipat. Tangannya bergerak perlahan melipat pakaian-pakaian itu. Keluhan yang perlahan dilepaskan.

                      ———————————————

"Nuk," panggil Uwais.

"Ya."

"Macam mana nak balik ni?" soal Uwais.

Kaki kanan disilangkan ke atas kaki kiri, Nukman meregang-regangkan sendi-sendi kakinya sambil berbaring di pondok kayu itu. Tangan disilangkan lalu diletakkan di bawah kepalanya.

"Hmm." Nukman sedang berfikir. Kaki kanannya menggedik-gedik di atas lutut kirinya.

Oleh sebab Nukman terlihat sungguh tenang berbaring begitu, Uwais turut berbaring di sebelahnya. Merehatkan badan dan minda. Air kosong yang dihidangkan di dalam labu sayong itu mereka sudah habiskan, jadi memang baiklah jika mereka berehat selepas satu hari berjalan.

"Aku mulakan dengan muqadimmah dululah, ya?" kata Nukman.

Uwais mengangguk.

"Macam ni Uwais, aku tak tahu pun Sungai Qozav sedang mengering dan memang dah kering. Segala haiwan di situ pun sudah marah dan... kau lihatlah. Kita kena kejar dengan apa tengah hari tadi? Ular yang tinggal di dasar sungai itu, kan? Persoalannya, kenapa sungai itu kering? Patutlah bahagian sempadan Qozav dan Tembila ini langsung tiada penempatan dan aktiviti perdagangan," bicara Nukman.

𝐋𝐚𝐮𝐭 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐮𝐥𝐮𝐦 | 𝐎𝐆Where stories live. Discover now