BAB 4

189 18 0
                                    

"APA... apa..." Lidah Tihani tergagap-gagap. Sungguh! Dalam ramainya manusia di muka bumi, bukan wajah ini yang dia jangka nampak di sini.

Bukan Alexander Aryan!

Riak muka Alex berubah serius. Dia meliarkan pandangan ke segenap wajah Tihani. Tudung sudah terbang entah ke mana. Rambut berserabai. Leher merah. Dahi benjol. Pipi lebam. Hidung berdarah. Bibir pecah. Dada turun naik dengan ganas. Jelas menunjukkan betapa Tihani cuba menyedut sisa-sisa udara.

Renungan Alex dialihkan pula kepada mata Tihani. Basah dan meleleh-leleh dengan tangisan. Sekelipan mata, jantungnya terasa pedih. Melihat Tihani begitu, sama seperti dia yang disakiti.

"Sorry. I datang lambat." Antara dengar tak dengar, Alex bersuara.

Lidah Tihani kelu. Tidak tahu reaksi apa yang patut diberi. Otaknya terasa biul. Rasa terkejut kerana hampir mati, bercampur aduk dengan rasa terkejut kerana kemunculan Alexander Aryan.

"He... he... he..."

Tihani tersentak. Terus, dia menoleh kepada sang penyerang yang sudah pun bangkit dari lantai dan kini membelakangi mereka. Bahu lelaki itu bergerak-gerak, bersama bunyi tawa yang semakin lama semakin kuat.

Juga, semakin jahat.

"Malam ini..." Suara mendatarnya berbunyi di celah-celah tawa. "Memang menarik."

Usai menyudah kata, dia memusing badan dan menyerbu ke arah mereka. Tihani membeliakkan biji mata. Cepat-cepat, dia mengengsot badan. Mahu menjauh. Mahu menyelamatkan diri.

Namun, Alex lebih laju bertindak. Dia meluru ke hadapan dan melompat tinggi. Tendangannya tepat mengenai dada sang penyerang. Sekali lagi, lelaki itu terperosok ke belakang.

Buat pertama kali, Alex menghadap muka sang penyerang yang bertutup topeng hitam. Hanya menampakkan dua biji mata dan mulut. Alex senyum sinis. Huh, dasar jantan pengecut! Bukan main membelasah wanita, tetapi rupa sendiri tidak berani ditunjuk.

"You don't really think I would let you touch her again, do you?" Nada suara Alex sedingin salju. Keras tidak berperasaan.

Sindiran Alex tidak berbalas. Sebaliknya, sang penyerang membetulkan tegak berdirinya. Bahkan, dengan cukup selamba, dia menyapu bekas tapak kasut yang melekat di bahagian dada baju.

Alex tidak terus menyerang. Matanya tajam merenung muka bertopeng yang kini setentang dengannya. Aura gelap membuak-buak keluar. Bahkan, Alex seperti dapat menghidu bau darah.

Bibir di celah topeng itu, herot sebelah. Penuh kesinisan.

"This is really interesting." Dia bertutur.

Dahi Alex berkerut sedikit.

"Kau memang tak sama macam orang lain."

Terlepas gelak halus dari mulut Alex.

"Dunia akan jadi terlalu membosankan, kalau aku juga macam orang lain."

"Huh, patutlah," sinis sang penyerang seraya melangkah setapak demi setapak ke hadapan.

Alex tidak berganjak.

"I can smell it. The devil inside you."

Kening Alex terjongket sebelah.

"Well, everyone is a devil."

Serentak dengan bicara itu, Alex bergerak ke hadapan. Sang penyerang mengambil tindakan sama. Kaki masing-masing diangkat tinggi. Alex melibas tendangan ke muka lelaki itu hingga terhentak ke belakang. Melihat lawannya yang terhuyung-hayang, Alex mengambil kesempatan dan menerajangnya. Lelaki bertopeng tersungkur, tetapi secepat itu juga dia bangkit semula. Tangannya diayunkan tepat ke perut Alex. Kemudian, dia melompat dan menghentak bawah rahang Alex dengan kepala lutut. Kepala Alex terdongak ke atas.

AKU LELAKIMU: THE WHITE OBSESSIONWhere stories live. Discover now