0 4

84 15 0
                                    

HARI AHAD minggu itu Yura dan mak ke kenduri jemputan Mak Cik Besah yang tinggal di simpang jalan sebelum lorong masuk ke kawasan rumah mereka. Anak bongsu dia kahwin.

Umur 20 tahun. Baru habis STPM. Belum dapat keputusan, jodoh sampai dulu.

Yura macam biasalah, pakai kebarung labuh dia. Antara baju kurung dengan kebarung, dia lebih suka kebarung. Tampak moden namun tetap sopan.

Nampak saja badan dia macam ni, tapi dia suka berfesyen. Muka tak pernah sememeh setiap kali nak keluar ke mana-mana.

Bukan dia nak berlagak diva atau apa, dah terbiasa sejak kerja hotel. Bekerja dalam bidang perhotelan, penampilan sentiasa dititikberatkan. Walaupun dah beberapa tahun bidang perhotelan ditinggalkan, dia tetap dengan tabiatnya yang suka menjaga penampilan.

Dia dan mak masih mencari meja. Ramai betul orang. Mak Cik Besah jemput satu kampung ke?

Berapa ribu agaknya kos untuk kahwin semeriah ini?

“Hah, dua beranak ni. Sampai pun!”

Yura dan mak saling menjeling. Bukan tuan rumah yang menegur, tapi jiran tuan rumah. Zaleha Becok.

Haih! Yura mengeluh dalam hati.

Jumpa dengan Mak Cik Leha dulu sebelum jumpa rezeki, alamat boleh hilang selera makan.

Entah apa kali ni orang tua tu mahu kutuk Yura. Biasanya kutukan tak lari jauh tentang fizikal Yura.

“Baru sampai ni, hah. Baru tengok-tengok meja kosong,” balas mak. Mata melilau cari meja. Seperti Yura, mak pun malas melayan Zaleha Becok.

“Orang cuba datang awal sikit. Tak adalah macam rusa masuk kampung.”

La, kenduri mula pukul sebelas sampai pukul tiga, nak datang awal buat apa? Bukannya tuan rumah masak rewang. Mereka datang makan dan salam kaut aje pun. Datang pukul berapa pun tak mengapa asal masih dalam waktu majlis.

Mak dan Yura diam. Malas nak membalas.

Zaleha tilik Yura atas bawah. Tak kurus-kurus budak Yura ni. Patutlah susah benar lekat jodoh.

Kepala tergeleng-geleng.

“Kamu bila nak bertudung, Yura? Eloklah tutup pipi montel kamu tu dengan tudung.  Tak adalah nampak sangat kamu tu gebu.”

Ewh, mak cik bawang ni. Saja je cari alasan nak bergosip pasal dia.

Orang bertudung kerana Allah, bukan sebab nak tutup lemak kat pipi. Jawapan itu dalam hati saja.

Dalam hati kerana dia tahu apa pun alasannya, tetap akan salah di mata manusia mahupun Tuhan. Kenyataannya aurat memang wajib ditutup.

“Alhamdulillah, mak cik. Montel, gebu dan mulus.”

Mak senggol Yura. Menjawab pula. Tak nampak mata Zaleha Becok dah terjegil?

“Mulus kat dunia buat apa kalau kat akhirat nanti kena campak dalam api! Bangga sangat dengan benda tak betul tu.”

Zaleha Becok kalih pandang ke wajah mak. Suka betul la sibuk urusan orang.

“Milah, kamu tak tegur ke anak kamu ni? Umur dah lanjut pun tak pakai tudung lagi. Dah la gemuk. Anak dara tua! Kalau macam ni punya perangai, siapa yang nak? Menjawab cakap orang tua. Orang tegur benda betul. Menjawab macam tak belajar agama. Tak kesian ke mak dengan arwah abah kamu, Yura? Dah tua-tua tayang aurat lagi?”

Oh, bengkak hati Yura. Tegur dia saja sudahlah. Kenapa nak malukan mak dan sebut nama arwah abah pula?

Muka mak merona. Pasti mak malu dengan teguran pedas Zaleha Becok.

Sebenarnya perangai Zaleha Becok memang begitu. Kalau nak tegur atau laser orang, dia tak pandang kiri kanan. Dia main redah asalkan hati dia puas.

Yura tahan bibir daripada menjawab. Kalau dia menjawab, makin panjang cerita nanti.

Mereka datang nak berkenduri, bukan nak main tarik tudung dengan Zaleha Becok.

“Hurm, anak akak si Zura tak datang ke?” Mata mak melingas mencari Azura, anak si Zaleha. Mana tahu kut terselit di celah tetamu lain.

Sibukkan anak orang. Macamlah anak dia sempurna sangat.

“Sibuk.”

“Oh, hari Ahad pun sibuk. Kerja ke?”

“Yalah. Tak kerja tak ada duit.”

“Sibuk cari duit nak kahwin agaknya. Dah ada tarikh ke? Boleh saya dengan Yura tulis dalam kalendar. Maklumlah, anak orang baik-baik mesti cepat dapat jodoh, kan. Dah baik, solehah, kurus... Rajin kerja. Tak gitu, Kak Leha?”

Mak ketawa kecil. Halus sindirannya.

Entah betul Zura kerja atau tak. Anak Zaleha, si Zura memang jarang muncul bila ada kenduri.

Pernah sekali Zura hadir bersama Zaleha Becok ke kenduri orang kampung. Zura di situ tak lama mana pun, Zaleha buat perangai. Tak boleh kawal mulutnya daripada menyindir tetamu lain. Nyaris nak bergaduh hari itu.

Sejak itulah Zura tak nampak bayang bila ada kenduri. Mereka buat spekulasi Zura malu dengan tingkah emaknya yang macam murai tercabut ekor.

Tak boleh senyap. Ada saja benda tak elok nak dikomen.

“Diam pula, kak. Dah ada ke calon menantunya?”

Sakit juga hati mak bila orang mengata anak dia. Sebagai seorang wanita muslim, Yura memang jauh daripada kata sempurna. Namun sebagai seorang anak, bagi dia Yura dah cukup baik.

Dia dah jalankan kewajiban sebagai ibu untuk menegur. Dah usia begini, takkan dia nak pukul Yura?

Zaleha Becok jawab soalan mak dengan dengusan. Dah tak ada modal nak membalas, barulah wanita tua itu meninggalkan mereka.

Sedap sangat mengata anak orang. Anak sendiri tak ingat, dah masuk 32 tahun belum kahwin. Asyik berkepit dengan lelaki, kahwinnya tak juga.

Bicara mak menerbitkan senyum pada bibir Yura. Sesekali mak bela dia, rasa makin kembang badan dia yang dah sedia kembang. Jangan sampai terkoyak baju dia sudah.

“Tak payah nak senyum-senyum. Itu baru orang yang tegur, kalau Allah tegur macam mana?”

Berubah wajah Yura. Sentap! Baru nak bangga, mak pun dua kali lima dengan Zaleha Becok. Suka perli dia!

Mak tinggalkan dia untuk ambil makanan. Dia berdiri di situ seperti patung cendana.

Betullah tu yang mak cakap. Baru orang tegur, pipi dah merona. Belum lagi Allah tegur dengan bagi balasan dosa. Api neraka lagi... Negeri. Namun kengerian itu tetap tak memaksa Yura patuh pada suruhan Allah yang satu itu.

Bukan dia tak belajar agama. Dia tahu kewajiban menutup aurat. Dia pun tahu dosa membiarkan rambutnya dipertontonkan pada lelaki ajnabi.

Tahu tapi tak buat. Bila dikata jahil, marah. Begitulah manusia. Lalai dalam menyayangi dunia.

“Yura, sini ada meja kosong!” Mak gamit Yura.

Yura terkesiap. Bergegas dia hampiri meja yang mak maksudkan. Dia duduk, biarkan mak ambil makanan dulu.

Sambil itu merenung kembali bicara mak.

Dosa dia tak tutup aurat, apakah akan terpalit sama pada arwah abah. Macam mana kalau perjalanan abah ke syurga nanti dilambatkan disebabkan dia?

CIK MANIS PIPI GEBU Donde viven las historias. Descúbrelo ahora