PULUT UNTUK ALANG

3.3K 58 64
                                    

1. Gayah Tabur

Gayah melihat wajahnya di cermin. Barisan giginya yang putih diamati. Siapa sangka susunan cantik giginya ini dulunya sangat buruk berterabur. Kerana keadaan giginya itu dululah dia mendapat jolokan 'Gayah Tabur'.

Gelaran itu suatu masa dulu pernah membuatnya menangis. Terlalu rendah diri itu rasanya, bagaikan tiada nilai. Sudahlah kulitnya hitam legam, giginya pula jadi bahan ketawa orang. Jangan kata senyum, membuka mulut pun Gayah tidak ada keyakinan. Apabila di kelilingi dengan orang yang ada rupa, Gayah rasa buruk sekali dan sekadar menjadi perosak pemandangan di dalam ruangan yang sama.

Tetapi Tuhan itu sangat adil. Walaupun Gayah tidak cantik, dia dikurniakan dengan otak yang cair. Gayah pandai. Tamat saja pengajian dalam Sarjana Muda, Gayah sambung belajar selama dua tahun di Australia untuk Master.

Wang yang dikumpulnya sedikit demi sedikit, ketika bekerja secara sambilan di sebuah restoran makanan segera suatu ketika dulu, digunakan sebagai perbelanjaan untuk membuat pendakap gigi.

Dua tahun setengah Gayah memakai pendakap gigi, sehingga pertuturannya terjejas. Ketika itu, rasa rendah dirinya lebih teruk dari keadaan asal giginya. Rasa seperti mulutnya itu penuh dengan besi.

Selepas digelar Gayah Tabur di bangku sekolah, dia digelar 'Gayah Gigi Besi' pula setelah berada di universiti. Pada ketika itu siri telenovela Yo Soy Betty La Fea begitu popular di kaca televisyen. Mengisahkan seorang wanita bijak tetapi hodoh. Gayah disamakan dengan Betty yang langsung tidak menarik kerana hanya memakai pendakap gigi.

Di tambah lagi dengan baju-bajunya yang tidak seranggi rakan-rakan sekuliah yang lain. Gayah tidak pernah kelihatan bergaya ataupun berfesyen. Tiada gunanya kalau melaram cantik kalau fizikalnya buruk. Hanya akan dianggap badut semata-mata untuk menghiburkan orang lain. Tambahan pula, Gayah tidak berduit untuk membeli pakaian-pakaian yang cantik.

Kalau pada zaman persekolahan dia menjadi bahan ejekan kawan-kawan lain, ketika berada di universiti pula dia menjadi bahan ketawa. Nama Gayah akan digunakan sebagai rujukan untuk bahan-bahan jenaka. Ada juga dua tiga orang rakan-rakan sekuliah Gayah yang memakai pendakap gigi, tetapi tidak pernah pula dilihat Gayah sebagai bahan ketawa sepertinya. Mungkin kerana wajah mereka lebih cantik atau lebih lawa. Juga mungkin disebabkan mereka tidak semiskin Gayah.

Hanya setelah berada di Australia barulah Gayah rasa aman. Dia tidak diberi lagi nama-nama yang menyakitkan hati walaupun ada masa-masanya, ada mat saleh yang memandangnya semacam. Tak tahulah apa yang mereka lihat. Hendak kata kerana giginya, gigi Gayah sudah cantik. Sebelum ke Australia lagi dia sudah buka pendakap gigi. Hendak kata orang di sana tidak pernah jumpa Asia, orang Asia pun berlambak ada di Australia! Mereka pelik tengok rupa yang hodoh itu agaknya!

Namun itulah hakikatnya, dunia hanya memandang rupa fizikal seseorang. Bukan pada hati atau kepintaran akal. Hati dan akal jatuh ke tempat kedua selepas rupa. Itulah kenyataan pahit yang pernah diterima Gayah. Dia sendiri pun, boleh dikatakan bijak pandai sehingga setiap semester mendapat anugerah dekan. Tidak cukup dengan itu, Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Dengan Kepujian dan Anugerah Naib Canselor. Sewaktu di Australia pun, Gayah memang cemerlang. Satu-satunya dari benua Asia. Ada orang lain kisah? Tidak, sama sekali!

Tetapi itu semua sudah berlalu. Gayah kini bukan lagi Gayah Tabur atau Gayah Gigi Besi. Kini dia dipanggil 'Rogayah Deraman', ataupun hanya sebagai 'Cik Rogayah'. Tiada lagi nama-nama yang akan membuatnya sakit hati.

Siapa juga sangka, Gayah kini bekerja sebagai seorang wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen swasta. Dia dipandang tinggi. Rata-rata rakan di bangku sekolahnya yang pernah mengejeknya dulu, hanya kerja dan tinggal di kampung. Sudah berkahwin dan beranak-pinak. Begitu juga dengan rakan-rakan universiti yang sampai sekarang, masih susah untuk percaya yang dia adalah Gayah yang sama yang mereka kenal suatu masa dulu.

PULUT UNTUK ALANGWhere stories live. Discover now