Bab 1

3K 43 4
                                    

AKU pandang saja penuntut lain yang datang dan pergi di ruang kafeteria kolej. Masing-masing nampak kelam-kabut dan sibuk. Perasaan yang berserabut, jadi bertambah serabut apabila melihat keadaan begitu. Bersesak-sesak lagi rasa kepalaku. Waktu ini, aku sudah tidak boleh fikir apa-apa dan tak mampu buat sebarang keputusan juga. Semuanya seakan-akan kabur dan tidak membantu langsung.

"Dengar ke tidak ni?" Ray tanya lagi apabila aku buat tak dengar. Sakit telinga mendengar suara dia. Kalau tak memekik, gamaknya tak sah. Suara sudahlah tak sedap. Ingat status teman lelaki saja. Kalau orang lain, sia-sia makan penampar. Aku sudahlah serabut semacam. Dia pula main jerit-jerit. Macamlah aku duduk sebatu, walhal sebelah dia saja.

"Awak, saya dengar. Saya belum pekak lagi. Suara awak tu sebatu pun boleh dengar. Tak payahlah nak jerit-jerit." Geram sudah. Sejak akhir-akhir ini, Ray sangat mendesak. Jadi lelaki yang suka menguasai. Aku kena ikut cakap dia selalu. Dia saja betul. Aku semua salah. Dengan erti kata yang lain, aku tidak punya hak untuk bersuara. Jauh sekali berkongsi pendapat.

"Habis tu, macam semut tercekik gula-gula getah aje kenapa?" Ray gelak. Kemudian dia letak tangan di atas bahu. "Relaklah, sayang. Fikir positif saja. Selagi awak tak fikir secara positif, selagi itulah awak hanya fikir yang buruk-buruk saja."

Aku rasa nak tarik saja rambut ala-ala Jerry Yan itu. Boleh lagi dia gelak? Dia ni sayang aku ke tidak? Serupa tak sayang saja. Kalau sayang, bukan begitu caranya. Bukan sekali dua aku rasa tidak dihargai, bahkan sudah acapkali namun kerana sayang, aku bertahan.

"Awak, saya tengah serius nak terima kerja ni ke tidak. Boleh tak jangan main-main?" Aku tolak kasar tangan Ray. Boleh lagi dia suruh aku bertenang dalam keadaan macam ni. Tak membantu langsung. Jauh sekali nak memahami keadaan.

"Sayang, praktikal aje, kan? Paling lama pun enam bulan. Tak payah fikir apa-apalah. Terima aje kerja tu. Lagipun semua ni pihak kolej yang punya kerja. Awak tak boleh membantah. Kalau awak cakap lebih-lebih, nanti dituduh pula awak banyak songeh. Tak pasal-pasal pula karang kena tendang."

"Tapi kenapa saya kena buat praktikal kat sana? Macamlah tak ada tempat lain. Kan banyak lagi syarikat yang boleh buat praktikal? Kenapa harus syarikat rakaman? Saya tak berapa suka dengan syarikat yang terlibat dengan dunia hiburan ni. Saya tak tahu apa-apa. Kosong." Aku mengeluh. Bukanlah nak cakap dunia hiburan itu tak baik atau tak bagus, tapi aku malas mahu berurusan dengan manusia-manusia glamor. Payah nanti. Pasti selalu saja akan sakit hati.

"Semua orang pun bermula daripada kosong. Sebab itu namanya praktikal. Kalau terus-terus berpengalaman, itu memang luar biasa."

Adoilah, susahnya bercakap dengan orang tak faham bahasa ni. "Ray, masalahnya saya tak nak kerja kat situ. Saya nak kerja tempat lain. Awak faham ke tidak ni?"

"Saya faham. Kat mana pun bukan masalahnya. Yang penting pengalaman bekerja tu. Belum kerja lagi awak dah merungut bagai. Cuba dulu, barulah nak cakap banyak."

Aku pandang muka Ray. Hampir tiga tahun kami bergelar pasangan kekasih. Dan sudah tersenarai antara pasangan yang paling hangat di kolej. Beza umur kami hanya tiga tahun. Ray menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi. Maklumlah, bakal mewarisi perniagaan keluarga.

Tak malu juga mahu mengaku, Ray antara penuntut paling glamor. Faktor segak pasti saja membantu Ray mendapat gelaran tersebut. Digilai sebahagian penuntut perempuan. Tapi entah kenapa, dalam ramai perempuan yang terkejar-kejar akan dirinya, Ray pilih aku yang biasa-biasa saja. Ramai yang terkejut dengan pilihan Ray. Tapi nak buat macam mana apabila mamat ni bersungguh merayu.

Aku pula cakap, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kalau ada yang suka mahu serahkan hati, takkan nak tolak pula? Aku juga ingin menikmati rasa cinta. Tidak mengapalah kalau tidak kesampaian nanti kerana cinta itu juga tidak menjamin kebahagiaan yang kekal. Sesungguhnya, kesudahan yang gembira sesebuah cerita cinta itu sebenarnya adalah permulaan untuk cerita baru. Mungkin cerita bahagia... Mungkin cerita derita... Sebagai manusia, apa pilihan yang kita ada selain menerima apa yang sudah tertulis.

Vous avez atteint le dernier des chapitres publiés.

⏰ Dernière mise à jour : Aug 13, 2015 ⏰

Ajoutez cette histoire à votre Bibliothèque pour être informé des nouveaux chapitres !

My Indo ChickOù les histoires vivent. Découvrez maintenant