UATN - BAB 1

4.8K 85 5
                                    

BAB 1

"Aku terima nikahnya Puteri Nur Aina binti Megat Azami ......"

"Sah...sah"

Itu sahaja yang didengari Puteri Nur Aina dengan jelas. Lain-lain ayat amat kabur di pendengarannya. Mungkin bagi hadirin yang tidak ramai itu, ucapan yang penuh nada yakin itu begitu jelas sekali didengar oleh setiap orang. Tetapi tidak untuk telinganya, kerana di dalam kepalanya sendiri terlalu banyak terisi dengan agenda-agenda lain, sehingga menjejas prestasi pendengarann kala ini.

Mungkin Kalimah yang terucap itu, amat dinanti-nanti oleh berjuta-juta wanita dalam dunia ini. Saat bergelar sebagai isteri kepada seorang lelaki ! Ya...Saat yang paling bahagia, setelah merentasi alam remaja. Namun dia juga masih di alam remaja! Umur baru melewati sembilan belas tahun, dan mula hendak menjejaki awal dua puluhan. Masih tidak layak untuk mendengar kalimah yang ditujukan khas untuk dirinya.

Namun, perkahwinan ini bukanlah paksaan . Dia sendiri yang bersetuju. Dia sendiri yang rela hati menerima. Mulutnya sendiri yang berkata 'ya' kepada bakal ibu-bapa mentua yang merangkap emak-bapa saudara angkat. Kepalanya sendiri yang mengangguk apabila diulang sekali lagi tentang persetujuan mengenai pernikahan ini, dua minggu yang lalu. Ternyata, bukanlah paksaan! Jangan menyalahkan sesiapa! Keputusan adalah dari dirinya sendiri.

"Kak Puteri....Tuan Kadi tengah berdoa"

Mazni , sepupu angkatnya berbisik perlahan , secara sopan meminta untuk sama-sama menadah tangan mengaminkan doa. Maznilah satu-satunya manusia yang paling dikenali di majlis ini. Yang paling rapat. Itupun secara sembunyi dia datang dari kampung , dengan alasan ke rumah kawan baik . Yang lain-lain, kebanyakannya tidak dikenali langsung, kecuali ibu-bapa mentua serta lelaki yang telah sah bergelar suaminya kini . Iskandar Hafiz. Itupun dikenali tiga minggu yang lalu!

Opps! Ada seorang lagi yang amat dikenalinya, yang hadir ke sini, Uncle Yahya, peguam peribadi arwah datuk. Dengan restu peguam tersebut juga , dia telah bergelar isteri kini. Dia tahu sebab lain kenapa peguam itu dijemput untuk melihat majlis yang amat tidak gemilang ini. Majlis yang seharusnya dihiasi dengan senyum tawa dan diselangi usik mengusik . Namun yang kelihatan, cuma wajah-wajah mencuka dan tertekan!

"Puteri....Iskandar dah di depan , untuk batal air sembahyang. Cuba angkat sikit muka tu...."

Dia tidak berapa pasti suara siapakah itu, tetapi rasa-rasa suara wanita yang baharu sahaja menjadi ibu mentuanya. Agak tegas kedengaran, walaupun dengan nada yang seperti berbisik.

Tanpa sebarang perasaan dia mengangkat wajah. Waah....Tiba-tiba ingin berdebar pula dada ini. Sebentar tadi bagus sahaja kelakuannya! Apabila melihat sesusuk tubuh tegap di hadapan dan mata bertentangan, beralih arah pula rasa. Hissh! Mesti kuat ! Perasaan, jangan sekali terpedaya !Jalan berliku masih menunggu di hadapan!

"Puteri.....Jari tangan kanan"

Wanita itu bersuara lagi. Tanpa berlengah, dia menghulurkan jari manis tangan kanan . Sebentuk cincin berlian bermata satu di sarungkan ke jari manisnya. Cantik terletak!. Memang padan di jari yang runcing. Dia sedikitpun tidak mahu memikirkan berapakah harganya . Takut nanti menyakiti hati sendiri!

Terasa dahinya dikucup lembut . Aahh! Teringin juga lelaki ini untuk mengucupi dahinya? Ingatkan tidak sudi! Bukan perempuan impiannya ! Namun inikan upacara pembatalan air sembahyang ? Kenalah melakukan seperti yang dibuat orang lain. Mungkin itu alasannya.

" Puteri.....salam suami".

Suara itu lagi. Dia akur, Mencapai tangan yang di hulur dan menciumnya. Beberapa saat sahaja sudah selesai. Tidak susahpun!

USAI...AKU TERIMA NIKAHNYAWhere stories live. Discover now