CPA - BAB 4

843 26 1
                                    

BAB 4

LETIH ronda-ronda, pusing-pusing ukur jalan Amyza balik ke kediaman khas mereka yang disediakan oleh pihak syarikat. Banglo dua tingkat dengan enam bilik dilengkapi kolam renang dan taman yang luas. Pohon-pohon hijau merendang mencantikkan halaman rumah mereka. Tetapi semua itu sudah tidak memberi makna lagi. Yang tenang dan damai kelihatan berserabut dan menyesakkan. Tidak nampak kebahagiaan dan kegembiraan lagi dalam rumah yang cantik ini.

Amyza mengesat setitis air mata yang tiba-tiba muncul lagi. Diatur langkah perlahan untuk menaiki tangga. Baru sahaja kaki jejak tangga pertama dia berhenti. Kelibat Khairi yang tiba-tiba muncul di situ membuatkan darahnya kembali menyirap. Perasaan marah kembali merentap-rentap hatinya.

"Siapa betina tu?" Soalnya dengan nada benci . Si suami hanya dilihat melalui ekor mata. Kelihatan Khairi tersentap dengan pertanyaannya.

"Dia bukan betina... Nama dia Dewi. Dewi Citra. Jangan panggil yang bukan-bukan. Dia wanita baik, jadi tolong hormat dari awal-awal".

Bersungguh-sungguh Khairi membela kekasihnya. Layak perempuan itu tersangat suci, tak boleh dikutuk atau dikritik di hadapannya. Kekasih lebih tinggi nilai dari taraf seorang isteri. Si isteri sakit hati, sedih tidak dipedulikan. Untuk kekasih, namapun tak boleh disebut yang tak-tak elok. Huh...

Amyza tidak dapat menahan air mata yang sudah menderas mengalir. Nyilu benar hatinya bila diri tidak berharga lagi untuk seorang suami. Sembilan tahun susah payah bersama. Dan tiba-tiba si suami mengaku tidak punya rasa cinta lagi terhadapnya. Ada perempuan lain yang lebih hebat telah mengisi ruang hati suaminya. Menggantikan diri dia yang masih lagi wujud di hadapan mata.

Perlahan Amyza meyambung langkahnya semula. Satu-persatu anak tangga didaki dengan hati yang rawan. Sepanjang perkahwinannya saat inilah yang sangat merobek-robek perasaannya. Rasa macam tidak percaya boleh berlaku pada dia . Ternyata dia telah diduakan. Dia tak pernah syak apa-apa sebelum ini. Dia terlalu yakin dengan cinta Khairi.

Amyza masuk ke bilik Hanna Azza , satu-satunya permata hati dalam rumah ini. Satu-satu juga hasil cinta setinggi langit antara dia dengan Khairi . Azza itu cantuman nama Azfar Khairi dan Amyza. Hasil penyatuan jiwa mereka. Itu dulu. Sekarang ini, rasa cinta yang tinggi itu telah pecah berderai-derai lalu jatuh bersepah ke bumi melata , malah dipijak dengan tapak kasut sendiri. Hukhukhuk...

Kaget Amyza bila Hanna terlebih dahulu menghampirinya di luar bilik dan menelek wajah mama.

"Kenapa mama nangis?" Tanya si kecil

Cepat-cepat Amyza menyapu air mata lalu meggelengkan air mata. Kepala ligat memikir alasan untuk Hanna. " Mama tak nangis. Mata mama masuk habuk tadi". Jawapan klise seperti dalam drama-drama Melayu dan Sinetron Indonesia juga yang mampu difikirnya. Asal nangis saja, mata masuk habuk. Dalam novel-novel Melayu pun banyak. Macam tak ada idea lain dah penulis skrip dan penulis novel ni.

Amyza melutut untuk menyamakan ketinggian dengan si anak. Melihat wajah suci ini, hatinya semakin walang. Apakah nasib Si Hanna nanti? Khairi membuat keputusan seolah-olah Hanna tidak wujud antara mereka.

Hanna mengelap air mata Amyza dengan jari kelinkingnya. Dipeluk mama dengan penuh kasih sayang. Ingin sekali berkongsi kesedihan mama. Namun dia tidak tahu apa-apa, apatah lagi untuk memahami perasaan yang mama tanggung.

Lama Hanna memeluk mamanya. Perlahan-lahan Amyza melepaskan tubuh kecil Hanna , dan tanpa sepatah kata dia menapak ke kamar kelaminnya.

Pang!

Pintu kamar dibanting kuat. Si kecil terpinga-pinga. Jarang mama kesayangan buat perangai kurang sopan ini. Jika mama marah pada papa sekalipun, mama tak suka hempas-hempas pintu. Selalu mama memesan pada Hanna, jika kita marah-marah sekalipun , barang-barang mainan atau barang-barang sendiri jangan dibaling-baling. Barang-barang itu semua tidak bersalah, malah boleh jadi rosak dengan perangai kurang asam kita. Tetapi pada petang ini... Apa sudah jadi? Mama sendiri menghempas pintu bilik dengan kuat sekali. Bisa runtuh tingkat atas rumah banglo pinjam ini.

Hanna berlari turun tangga. Diruang keluarga tingkat bawah, Hanna bertemu papa yang sedang tercari-cari kunci keretanya di atas meja konsul yang terletak di sudut dinding.

"Kenapa mama nangis pa?"

Khairi mengangkat bahu. Tak ada mood untuk dia jawab elok-elok pada Hanna. Rasa cinta pada Amyza telah pudar sepudar-pudarnya. Jadi apa yang berlaku pada diri Amyza tidak mendatangkan kesan apa-apa di hatinya. Lantaklah...Nak nangis ke, nak meraung ke, apa dia kisah. Sendiri punya diri sendiri jaga la. Seperti juga dengan air kopi. Sendiri nak minum sendiri buat kan. Tak perlu dia susah payah untuk meladeni perangai sentap-sentap Amyza.

"Pa pergilah pujuk . Kasihan mama..."

"Tak payah! Biarkan dia..." Balas Khairi garang. Dia sudah bersedia untuk pergi.

"Papa!" Bentak Hana. Sedih hati tidak dipedulikan papa.

Khairi berpaling pada anaknya. Tidak ada perasaan kasihan waktu ini. Dia hanya ingin pergi untuk jumpa Dewi. Biar tenang hatinya. Rumah ini panasnya membahang. Tak dapat bertahan.

"Nak apa lagi?" Bulat matanya pada si anak.

"Papa nak pergi mana?"

Khairi mendengus. "Keluar", sepatah jawapan serius untuk si anak. Terus dia meninggalkan rumah . Berderum-derum bunyi enjin kereta di halaman . Sekejapan keretapun memecut laju. Tidak peduli akan anaknya yang masih berdiri melihat di muka pintu.

Hanna keliru. Kenapa dengan papa? Serius dan garang yang amat. Mama pula nangis-nangis tahap tak ingat. Macam merajuk besar . Hanna? Ditinggal sendirian? Apa perlu Hanna buat?

Tak mengapalah...Jika papa tak mahu pujuk mama, biar Hanna yang pujuk. Kasihan mama. Selalunya jika mama merajuk , papa akan pujuk. Hanna tak pernah lupa , masa umur Hana empat dan lima tahun , Hanna selalu lihat papa dukung mama masuk bilik. Kadang-kadang Hanna curi-curi lihat dari celah pintu bilik, papa dan mama gembira sekali saat –saat itu. Mama terlentuk atas bahu papa. Mungkin badan mama berat, yalah orang dewasa kan, mestilah berat, tetapi papa sangat gigih dan gagah mengendong mama. Hanna suka saat-saat itu. Rumah mereka dibajiri kasih sayang dan kemesraan yang melimpah ruah.

Bila Hanna berumur enam tahun ke atas, Hanna tidak pernah lihat lagi papa buat begitu pada mama. Malah papa terlalu sibuk dengan kerja-kerjanya dan mama pula sibuk dengan halnya sendiri yang kekadang entah apa-apa. Namun bila tiba musim bercuti , mereka tetap gembira dan bahagia sekali.

Hanna naik ke atas semula. Dia cuba untuk masuk ke bilik mama, tetapi berkunci. Ketuk-ketuk beberapa kali, pintu tetap tidak dibuka. Waah... Marah benar nampaknya mama. Hanna berputus asa. Lantas Hanna masuk ke biliknya sendiri. Dia mula teresak-esak menangis.

Hanna Azza yang baru berusia tujuh tahun pun tahu erti kesepian dan rasa terabai...

CINTA PALING AGUNGWhere stories live. Discover now