Bab 6

3.1K 83 0
                                    

Pandangan Hafiey terus sahaja terarah pada Amani yang tergesa-gesa mahu melarikan diri. Sudah la Amani yang membuka perihal perempuan bertopi depan tandas tadi di hadapan Fatin. Dan sekarang, Amani mahu melepaskan diri? Mahu membiarkan Hafiey seorang diri menjawab soalan Fatin? Senangnya!

Seketika kemudian, lapisan tebal mula terukir di wajah Hafiey. Anak matanya masih lagi terarah pada pelajar perempuan yang tidak dikenalinya itu. Ada sesuatu menarik perhatiannya di situ. Sampaikan soalan Fatin sebentar tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan. Malah, kewujudan Fatin di situ juga seperti sudah dilupakannya.

"Nanti!" halang Hafiey dengan tiba-tiba.

Fatin semakin tertanya-tanya dengan sikap pelik Hafiey. Anak matanya ikut memandang pada pelajar perempuan sebentar tadi.

Kaki Amani terhenti melangkah. Sangka Amani, dia sudah terlepas daripada perang dingin antara lelaki itu dengan kekasihnya. Rupa-rupanya Amani tersilap! Baru sahaja beberapa langkah diatur, Amani sudah terdengar suara lelaki itu menghalangnya. Nah! Apa lagi yang tidak selesai?

Melihatkan Amani sudah berhenti melangkah, Hafiey terus melangkah menghampiri pelajar perempuan itu. Ada sesuatu yang baru sahaja menarik perhatiannya.

Fatin yang melihat tingkah laku pelik Hafiey itu sudah mengeluh kecil. Entah apa pula yang hendak dilakukan oleh rakannya itu. Sungguh! Sepanjang persahabatannya dengan Hafiey, inilah pertama kali dia melihat tingkah laku Hafiey yang pelik itu. Sudahlah tadi berbual mesra dengan pelajar perempuan itu. Dan sekarang, Hafiey menghalang pelajar itu daripada beredar? Apa lagi yang mahu dicakapkan?

"Awak..." Kata-kata Hafiey terhenti di situ.

Amani tarik nafas sebelum perlahan-lahan mengalihkan pandangannya pada Hafiey yang sudahpun berdiri di sisinya. Entah bila dia berdiri di situ, Amani pun tak sedar. Tengok-tengok saja lelaki itu sudah berada di situ.

"Ya, saya?" jawab Amani perlahan seakan-akan tidak berminat untuk terus bersemuka dengan lelaki itu. Bukan dia tak perasan perubahan yang terlukis di wajah kekasih lelaki itu.

"Ini... Apa?" soal Hafiey. Spontan tangannya sudah menyentuh sesuatu di belakang Amani.

Amani yang terkejut melihat tangan Hafiey sudah pun bergerak di belakangnya lalu memusingkan badannya. Namun tindak balasnya itu seakan-akan memudahkan kerja Hafiey. Dalam sekelip mata, objek itu sudah pun berada di tangan Hafiey.

Anak mata Amani membulat sebaik saja melihat satu objek itu. Gulp! Dengan kepayahan, Amani telan liur. Perlahan-lahan anak mata Amani dialihkan dan akhirnya melekat pada wajah tertanya-tanya lelaki itu. Sudah! Rahsianya sudah terbongkar ke?

"Apa benda ni?" soal Hafiey buat kali kedua. Pandangan matanya sudah terarah tepat pada wajah pelajar perempuan itu. Entah kenapa wajah itu dilihatnya resah semacam seolah-olah ada sesuatu yang mahu disembunyikannya. Tapi... Apa, ya?

Amani gugup. Pandangan Hafiey juga Amani tak berani nak melawan.

"Apa benda ni?" soal Hafiey lagi. Kali ini nada suaranya dikuatkan sedikit berbanding sebelumnya. Malah, tangan Hafiey juga sudah digerakkan betul-betul di hadapan mata Amani. Objek yang diambil dari beg Amani itu jelas pada pandangan gadis itu. Topi itu bergerak ke kiri dan ke kanan mengikut gerakan tangan Hafiey.

Sewaktu Amani mahu beredar sebentar tadi, Hafiey ternampak objek itu terkeluar dari beg yang digalas di bahu gadis itu dan disebabkan itu la Hafiey menghalang gadis itu beredar. Dan kini objek itu sudah jelas di hadapan matanya. Topi! Rekaannya tidak asing lagi pada matanya.

Amani telan liur. Jawapan apa yang harus disogokkan kepada lelaki itu? Mahu ke dia percaya?

"Apa ni?" soal Hafiey lagi. Anak matanya sudah terarah tepat pada Amani. Keresahan dan kebisuan gadis itu benar-benar membuatkan hatinya jadi tidak sabar dan tertanya-tanya.

Sayang, Anak Mak!Where stories live. Discover now