Bab 4

5.3K 131 5
                                    

DULANG di tangan aku pegang dengan kejap. Seteko air teh dan tiga buah cawan berserta sepiring cucur udang dan sepiring sos cili yang terhidang di atas dulang tersebut membuatkan aku berjalan perlahan-lahan dan berhati-hati sambil mata bersilih ganti memandang dulang dan jalan di depan. Bimbang kalau tersilap langkah langsung jatuh dulang yang kutatang.

"Boleh ke, Adra?" Terdengar mak su menyoal.

"Boleh," balasku pendek tanpa menoleh. Mata masih fokus pada jalan. Leceh benar menatang dulang ni. Apatah pula untuk dihantar kepada tiga sekawan anak teruna yang bersantai di ruang tamu.

Aku pun tak tahu siapa tetamu itu. Waktu aku turun ke dapur sebentar tadi, mak su cuma mengatakan ada dua orang kawan Ajmal datang ke rumah. Tidak pula mak su mengatakan siapa. Tapi aku meneka Amir dan Azhar.

Terpinga-pinga aku sewaktu mak su menyuruh aku mengangkat dulang ke depan. Aku, anak dara kena hantar minuman kepada anak teruna? Biar betul, mak su? Rasa tak patut benar. Tapi tak adalah pula aku mengatakan sebegitu kepada mak su. Dah mak su minta tolong, takkan aku nak menyombong pula. Sudahlah makan minum free kat sini.Adoi la...

"Amboi, sopannya anak dara," sakat mak su di belakang. Dia ketawa kecil kemudiannya. Pasti dia berasa lucu melihat pergerakanku yang perlahan mengalahkan kura-kura itu.

Aku menahan rasa geram dalam hati. Aku menoleh kepada mak su sekilas.

"Bukanlah. Adra takut tumpah air ni," sanggahku.

Begitu berhati-hati aku mengambil langkah. Rasa tension pula. Sudahlah rasa malu turut singgah dalam hati apabila mengenangkan tetamu tersebut lelaki. Patutnya Arissa yang bawa air itu ke depan. Dia sudah tentu kenal kawan-kawan abangnya. Tapi... Jangan haraplah. Arissa tengah bergembira 'berkubang' di atas katil. Asal petang aje tidur. Entah apa yang penat sangat aku pun tak tahu.

Langkahku hampir mencecah pintu dapur apabila Ajmal tiba-tiba muncul di depanku. Terperanjat aku. Nasib baik tak jatuh dulang yang kupegang. Dia yang memegang tuala di tangan dengan begitu santainya mengelap rambutnya.

Aku pandang dia dengan geram.

"Tak boleh jalan slow sikit ke? Nasib baik tak bertembung. Kalau tak, habis air tumpah," omelku kepadanya.

Dia kelihatan tercengang. Mungkin tengah memikirkan apa tak kena dengan aku yang tiba-tiba membebel kat dia tak tentu pasal.

"Awak tu mata letak kat mana? Orang jalan mata kat depan bukan kat bawah," bidasnya.

Bulat mataku memandangnya. Tak puas hati sebab dia membalas kata-kataku.

"Saya tengok bawah sebab tengok dulang okey. Dulang berisi minuman petang untuk dihidang kepada Tuan Syed dan kawan-kawannya," ujarku berdramatik. Langsung memerli dirinya. Cuba memberitahunya secara halus bahawa aku tak rela menghidangkan air untuk dia dan kawan-kawannya tapi rela dalam terpaksa akibat disuruh oleh mak su.

"Amboiii, sedapnya bahasa..." sindirnya meleret.

"Sedap ke? Oh, terima kasih." Aku menayangkan senyuman olok-olok kepadanya.

Aku mula menapak tetapi dia menghalangku dengan mendepakan tangannya. Apa lagi ni?

"Tepilah."

Dia diam tak bersuara. Hanya matanya memandang aku dari atas ke bawah. Berderau darahku melihat pandangannya. Kalau bukan sebab aku tengah pegang dulang ni mahu aku cari garpu cucuk mata dia biar buta.

"Mak su, tengok Ajmal ni dia duk renung Ra." Selamba aku mengadu kepada mak su.

Bulat matanya mendengar aku mengadu tentang dirinya. Mungkin dia tidak menyangka aku akan berbuat begitu.

Sungguh, Saya Cintakan AwakWhere stories live. Discover now