Saat-saat Terakhir Yang Mengharukan

2.6K 249 7
                                    

Kisah ringkas Rasulullah S.A.W di saat saat terakhir baginda yang dipetik dari sebuah buku yang berjudul Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah S.A.W oleh Nawawi Dusuki.

.....

Nabi S.A.W baru pulang dari satu perjalanan dan baginda merasakan badannya kurang segar. Atas permintaan baginda, isteri-isteri baginda mengizinkan tinggal di rumah Saidatina Aisyah.

Pada suatu ketika, baginda meminta Saidatina Aisyah memanggil para sahabat Nabi dan Saidatina Aisyah segera mengerjakannya. Tidak lama kemudian berkumpullah mereka dengan duduk di samping tempat berehat Nabi.

"Salam sejahtera dan selamat datang", demikian Nabi memulakan bicara. Semua yang ada terdiam dan mendengar dengan teliti kata-kata baginda.

"Saat perpisahan kita telah hampir", Nabi membayangkan apa yang akan terjadi.

Selesai baginda berkata-kata, salah seorang sahabat bertanya:

"Siapakah yang akan memandi Nabi?"

"Yang paling dekat dari keluargaku", jawab Nabi.

"Dengan apa kami kafani?", datang pertanyaan lagi.

"Kainku ini jika kamu mahu, atau kain Mesir ataupun Yaman", jawab Nabi.

"Siapakah yang akan menyembahyangkan?"

Belum sempat Nabi menjawab, kesedihan hati sudah merata. Tiba - tiba Abu Zar menangis kerana tidak sanggup menahan pilu di hati. Sahabat-sahabat yang lain turut menangis dan akhirnya Nabi sendiri menangis.

Dalam keadaan sedu-sedan itu, Nabi meneruskan bicaranya. Baginda terus menceritakan tentang memandikan, mengafani dan menyembahyangkan. Cara-cara dan betapa harus dikerjakan telah baginda gambarkan kepada sekalian sahabat yang hadir.

"Siapa yang akan memasukkan jasad Nabi ke kubur?", bertanya sahabat.

"Keluargaku, bersama sama dengan malaikat yang ramai, mereka melihat kamu tetapi kamu tidak melihat mereka", jawab Rasulullah S.A.W.

Suasana di tempat itu bertambah sedih. Abu Zar lebih tidak tertahan lagi lalu beliau keluar dari rumah Aisyah sesudah meminta diri. Suara Nabi dan menceritakan saat perpisahan itu amat menyayat hatinya.

Kekuatan Nabi makin berkurangan dan baginda terus tinggal di rumah Aisyah. Para sahabat bersedih hati dan demikian juga penduduk Madinah yang mengetahui hal itu. Sebelum ini Nabi S.A.W pernah bersabda dalam pidatonya di masjid yang menggambarkan baginda akan berpisah dengan umat dan dunia ini. Sekalian yang mendengar mengalirkan air mata dan merasa pilu dan sedih. Dan kini suasana kesedihan sudah merata rata di kota Madinah.

Tetapi kesedihan mereka berkurangan sedikit apabila kelihatan Nabi dipapah oleh keluarganya untuk bersolat jemaah di masjid. Baginda menyuruh Abu Bakar menjadi imam dan baginda solat di belakangnya. Selesai bersolat, terasa suasana gembira di kalangan sahabat dan mengharap kesihatan Nabi beransur pulih. Nabi kemudian menyampaikan amanat kepada yang hadir, terutamanya tentang perkara yang harus diperhatikan sepeninggalan baginda iaitu berpegang kepada al Quran dan Sunnah.

Sesudah itu, baginda dipapah kembali ke rumahnya. Di rumah Aisyah, keadaan baginda menjadi bertambah lemah. Akhirnya Nabi Muhammad, Rasul Allah, meninggal dunia ini di dalam rumah Aisyah. Terdengar suara Aisyah bercampur bingung dan sayup sayup terdengar suara Fatimah:

"Abatah, ya Abatah! (Bapaku o bapaku...!)

________________

Nabi Muhammad S.A.W telah wafat pada hari Isnin bersamaan 13 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah atau 8 Mei 633 Masihi.

Marilah sama sama kita sama sama selawat ke atas baginda dan keluarga baginda. Semoga kita semua akan dapat syafaat dari Baginda.

Allahummasollia'la Muhammad, waa'laali Muhammad.

TarbiahWhere stories live. Discover now