PROLOG

957 24 4
                                    

Lelaki itu datang ke apartmennya dengan membawa sepucuk Colt Anaconda. Persis senjata yang ada disimpanannya. Siapa yang menghantar lelaki itu ke sini? Pablo? Mustahil. Dia dongak ke atas. Pandang siling dapur. Di situ tersembunyi duit lebih satu juta ringgit. Sebab itukah?

Cawan diletak semula atas meja. Hujan di luar kian menggila. Dia keluar dari dapur. Di ruang tamu, dia memandang belakang kepala lelaki itu yang sedang duduk di sofa. Di kaca tv, Jack Torrance dan keluarganya baru tiba di Hotel Overlook. Jam di dinding menghampiri pukul dua pagi.

Dia menarik tali-pinggang yang dipakainya. Hujung tali pinggang itu dililitkan ke tangan kanannya ketat-ketat. Lalu dia menapak perlahan mendekati lelaki itu dari belakang. Namun kehadirannya disedari lelaki itu yang menoleh ke belakang mahu melihatnya. Sepantas kilat yang memercik di luar, dia menjerut leher lelaki yang duduk di sofa itu. Membunuh orang dengan cara menjerut leher sebegini bukanlah kegemarannya.

"Bertenang..." ucapnya perlahan sambil memandang wajah lelaki itu yang mula memucat dan tangannya meronta-ronta - cuba melepaskan jerutan di lehernya. "Kau tak sepatutnya masuk ke sini," katanya lagi. "Kau nak ambil duit tu, kan?"

Lelaki yang tinggal separuh nyawa di sofa itu tidak mampu untuk menjawab dengan jerutan di lehernya yang semakin ketat. Kakinya melunjur ke hadapan – menendang-nendang lantai. Tangan kiri cuba melepaskan ikatan yang menjerut di leher, tangan kanan meronta-ronta, memukul-mukul lelaki yang berdiri di belakang sofa. Sia-sia. Di sinikah pengakhirannya? Di sinikah akan tamat riwayatnya? Dia belum mahu mati lagi. Hayatnya tidak sepatutnya berakhir begini. Dengan sisa nafas yang masih ada, dia mencapai Colt Anaconda yang tersisip di pinggangnya. Ditarik dan diacukannya ke atas.

Dilatari bunyi guruh yang berdentum dan darah yang melimpah dari lif merah Hotel Overlook, muncung pistol itu pun meletup. 


(Preview) PADA WAKTU WAKTU YANG TERHAPUSWhere stories live. Discover now