Diperhatikan

2.3K 13 0
                                    

Kebelakangan ni hidup Aishah tak tenteram. Ke mana sahaja dia pergi dia dapat rasakan seperti ada seseorang yang mengekorinya. Baik ke kelas, ke tandas, ke kedai runcit, ke shopping mall sehinggalah ke rumah, dia dapat rasakan kehadiran seseorang. Namun apabila ditoleh kebelakang, tiada satu kelibat manusia pun yang kelihatan. Sudah hampir seminggu Aishah begini, hinggakan hendak berjaga lewat malam untuk study pun dia tak sanggup kalau berseorangan. Yang jadi mangsa sudah tentulah rakan sebiliknya, Liza. Mujur Liza bukan jenis pelajar yang pemalas.

Hari ini setelah tamat kelas Aishah menerima Whatsapp daripada Liza. Liza mengatakan bahawa dia terpaksa pulang ke kampung kerana emaknya tidak berapa sihat. Aishah mengeluh panjang. Dia sudah merasa tidak selesa kerana nampaknya malam ini dia akan berseorangan di bilik. Itulah perkara yang seboleh-bolehnya dia ingin elakkan. Tapi hendak buat macam mana, Liza perlu pulang juga ke kampung untuk menjenguk emaknya yang tidak sihat.

Aishah memandu pulang sendirian. Hari ini tiada rakan yang mahu menumpangnya. Mungkin mereka sibuk dengan ulangkaji ataupun sibuk dengan pakwe masing-masing. Aishah malas ambil tahu. Yang dia tahu sekarang perutnya agak lapar dan dia perlu singgah ke kedai mamak untuk membeli nasi. Saat kakinya melangkah ke dalam kedai mamak, Aishah merasakan ada orang sedang memerhatikan dia dari belakang. Namun seperti biasa, tiada sesiapa pun di belakangnya. Aishah cuma mampu bersangka baik. Mungkin juga ini mainan perasaannya. Lekas-lekas Aishah ambil nasi dan lauk serta membayarnya. Dia sudah mula berasa tidak selesa di luar.

Setibanya di bilik, Aishah terus merebahkan badannya di atas katil. Hari ini dia berasa sungguh mengantuk. Mungkin kerana berjaga malam tadi. Semasa kelas Encik Zamani tadi pun dia hampir-hampir terlelap, namun mujur dia dapat menahannya. Aishah bingkas bangun dan menuju ke bilik air untuk membasuh muka, dia hendak makan dan kemudian solat. Selepas itu mungkin dia akan tidur sebentar bagi menghilangkan penat. Hari masih lagi panjang, fikir Aishah.

Jam sudah menunjukkan angka 7. Setelah puas bermain badminton, Aishah menuju ke biliknya. Sudah lama rasanya dia tidak bersukan begini, maklumlah ada sahaja assignment yang perlu dihabiskannya. Memandangkan petang tadi dia mempunyai masa terluang, jadi lebih elok sekiranya dia mengeluarkan peluh. Selesai mandi dan solat Maghrib Aishah membuat sedikit assignment yang diberikan oleh Puan Zakiah. Itupun secara tak sedar sudah hampir ke pukul 11.30 malam dia menghadap laptop. Aishah mengambil keputusan untuk menyambung semula kerjanya esok hari sahaja. Dia mahu tidur awal memandangkan esok dia ada kelas pagi.

Waktu dirasakan sangat lambat berlalu. Sudah hampir 2 jam namun Aishah masih lagi tidak dapat melelapkan mata. Ada sahaja perkara yang kurang senang bermain di fikiran dia. Bila difikirkan balik, Aishah jadi takut. Habis diselubung satu badan dia dengan selimut gara-gara tidak mahu ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya. Tiba-tiba kedengaran langsir seakan diselak. Aishah yang sudah menggigil di dalam selimut tidak berani untuk menjenguk keluar dari selimut. Dia lebih rela berselubung dalam selimut. Namun setelah berkali-kali langsir tersebut diselak, Aishah beranikan diri menjengahkan kepalanya keluar dari selimut. Mujur tiada apa, mungkin hanya tiupan angin yang menyebabkan langsir itu terselak. Namun degupan jantung Aishah seakan berhenti berdegup apabila terpandang ke sudut bilik. Ada sepasang mata sedang memerhatikannya. Kelihatan seperti kelibat seorang perempuan memandang tepat ke arahnya. Perasaannya sama seperti sebelum ini, bila mana dia rasa seperti diekori dan diperhatikan.

Malam itu rupanya Aishah tidak berseorangan di bilik.

GilaWhere stories live. Discover now