Bab 2

8.2K 168 2
                                    

TEAM BUILDING kali ini diadakan di Janda Baik. Berlangsung selama dua hari satu malam. Mulanya aku tak nak ikut dengan alasan, aku malas. Tapi, Cik Dalila mendesak sebab dia tak ada kawan. Kak Liza, adik nak bertunang. Suzi pula bagi alasan datuk dia tak sihat. Kak Midah, faham-faham ajelah kalau orang sudah berumah tangga. Kalau boleh, setiap tahun dia nak beranak. Tengah mabuk lagi tu. Kesimpulannya, nak tak nak, aku kena ikut serta memandangkan Cik Dalila tu tak berapa ngam dengan pekerja bahagian lain. Kalau tidak, aku bakal memalukan bahagian kewangan, begitu hasutan Cik Dalila.

Oh Tuhan, berilah aku kesabaran yang tinggi. Jangan sampai aku jadi Hulk Hogan atau manusia seangkatan dengannya sehingga menghilangkan kewarasan aku sebagai manusia. Sungguh, aku kalau sebut saja team building, boleh jadi orang lain.

Sejak aku bekerja di syarikat yang menguruskan hal penghantaran dan kontena, rasanya tak kurang lima atau tujuh kali aku mengikuti team building. Tapi hasilnya masih sama. Pi mai, pi mai tang tu juga. Aku anggap team building ni tak ada apa-apa faedah. Macam main-main saja. Dan satu lagi, membuang duit syarikat sungguh. Hasilnya kosong. Sikap pekerja, termasuklah aku sama juga. Tak ada yang berubah. Prestasi kerja? Asal buat kerja agaknya. Janji gaji jalan. Yang malangnya tetap syarikat kerana mempunyai pekerja seperti kami. Bukan seorang dua ada sikap begitu, hampir lapan puluh peratus pekerja. Susahlah nak dibentuk walaupun adakan team building atas bulan sekalipun aku rasa tetap tak ada sebarang perubahan.

Elok sampai, kami kena mendaftar terlebih dahulu. Syarikat kami ada tiga cawangan. Pelabuhan Klang, KL dan Kuantan. Setiap cawangan pula mesti menghantar tiga puluh peserta.

Selepas diberi kunci bilik, kami diberi taklimat mengenai keselamatan sepanjang berada di resort berkenaan. Kemudian dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Aku, Cik Dalila dan Fatin, budak HR diletakkan di dalam kumpulan Anak Dara Tua. Kurang ajar betul nama kumpulan. Macam tak ada nama lain. Tapi satu pembaharuan ialah, kali ini kumpulan tidak lagi bercampur lelaki dan perempuan. Dan setiap kumpulan pula ada sepuluh orang ahli.

Memang pelik sungguh nama-nama kumpulan kali ini. Aku rasa pihak penganjur acara memang sudah kehabisan idea. Selain Anak Dara Tua, ada nama-nama lain yang agak sensasi. Antaranya Bujang Terlajak, Suami Orang, Isteri Orang, yang tak ada Duda Orang dan Janda Orang saja. Gila betul. Konon nak bergurau, tapi memalukan betul.

"Eh, kau orang tak ada nama lain ke nak letak?" Aku tanya dengan kuat. Hilang sabar sebenarnya bila tengok nama kumpulan. Yang tidak-tidak. Rasanya ramai pandang aku sebab suara aku tak payah pakai pembesar suara, semua boleh dengar. Berani kerana benar, takut kerana malu.

"Saja suka-suka, cik. Kita nak enjoy," jawab budak lelaki yang membahagi-bahagikan kami kepada beberapa kumpulan.

"Suka kepala hotak kau orang. Ini kes memalukan. Kali ni cawangan mana yang handle semua benda ni? Pakai otak ke tidak?" Aku tanya lagi. Suaraku masih kuat. Dengan harapan pihak berkenaan mendengar. Ini bukan perkara main-main. Serius punya perkara. Kalau tidak aku takkan berbunyi. Ingat aku anak dara tua sangat ke?

Budak lelaki yang aku kira lepasan sekolah itu diam. Nampak malu alah. Sebenarnya aku bukan marah dia, aku marah pihak berkenaan saja. Kalau dia nak terasa, suka hati dialah. Itu dia punya pasal!

"Kalau rasa-rasa tak boleh nak jadi tuan rumah, baik jangan offer diri. Buat orang naik angin saja." Aku sambung membebel. Sekadar nak puaskan hati sendiri.

"Jadi, cik nak nama kumpulan apa?" Seorang lelaki di belakangku bertanya. Mungkin orang berkenaan. Aku tak toleh belakang, tapi aku pandang seorang kakak dari cawangan Kuantan. Bukan aku takut nak pandang orang belakang aku, tapi kalau buat darah aku tambah mendidih, baik jangan tengok. Itu namanya kes mencari pasal.

Cik Calla Lily Dan Encik TengkuWhere stories live. Discover now