ZULAIKHA

364 15 10
                                    

"Baik! Cikgu akan serahkan slip keputusan ujian pertengahan tahun kamu sekarang. Dan seperti biasa, Cikgu akan panggil nama mengikut kedudukan ujian." Lantang suara Cikgu Farhan menggema kelas 4 Alfa.

"Alamak..." Ada yang berwajah resah.

"Eh?" Ada yang meriakkan perasaan jengkel.

Sekalipun kelas hiruk-pikuk dengan paduan suara yang menadakan pelbagai reaksi. Mata Zulaikha kekal merenung pemandangan luar di sebalik jendela. Sama ada dia sengaja tidak mahu ambil peduli dengan keadaan persekitarannya...

"Baiklah... Tempat pertama... Seperti biasa..."

...ataupun...

"Nurul Zulaikha binti Adam."

"Ya." Zulaikha segera bangkit dari tempat duduk. Saat langkahnya menghampiri meja guru di hadapan, kedengaran bunyi tepukan dari rakan sekelasnya yang kian gemuruh dan lantang, menghangatkan suasana.

'Seperti yang dijangka...' Sejenak bibirnya mengukir senyuman nipis sebelum digantikan dengan air muka tenang. Ekspresi wajah sediakala buat gadis tersebut.

"Tahniah, Zulaikha. Sekali lagi kamu dapat tempat pertama. Cikgu bangga dengan kamu," ucap Cikgu Farhan, sambil menghulurkan slip kepada Zulaikha.

"Terima kasih, cikgu," Gadis tersebut membalas tenang, sebelum berjalan menuju kembali ke tempat duduknya. Dan pada saat itu juga, telinganya dapat menangkap beberapa suara membisik.

"Kau tengok muka dia. Menyampah aku! Berlagak macam bagus!"

"Alah, aku kenal dia sejak sekolah rendah lagi. Memang dari dulu dia pelajar cemerlang."

"Eh? Biar betul? Gilalah! Mesti budak skema."

"Memang pun. Dia mana ada kawan selain buku."

"Laa... kesiannya..."

Sekalipun suara mereka sumbang mengejek Zulaikha, gadis itu buat tidak endah. Usai duduk, Zulaikha meneliti slip keputusannya. 10A+. Sekali lagi, dia tersenyum. Namun kali ini, lebih lebar dari tadi. Dan lebih lama. "Tak sabar nak tunjuk kepada Mama dan Papa!" Monolognya bersuara teruja.

* * * * * * *

Kring!

Waktu sekolah akhirnya tamat. Sebaik sahaja Cikgu Farhan bergerak keluar dari kelas, para pelajar kelas 5 Alfa berpusu-pusu mengekori dari belakang, tidak sabar mahu pulang.

Zulaikha tenang, tiada gesa dalam langkahnya. Sambil berjalan menuju ke pintu kelas, Zulaikha mengerling ke arah dua orang pelajar perempuan dari kelas sebelah yang sedang berdiri di hadapan tempat duduk salah seorang rakan sekelasnya. Seorang pelajar perempuan berwajah anggun seperti seorang selebriti, manakala seorang lagi pula yang tinggi lampai dan tampak atletik.

Mereka bertiga sedang rancak berborak, sehingga rakan sekelasnya itu berhenti berbual dan memandang ke arah Zulaikha.

"Zulaikha!" Tiba-tiba, gadis bertubuh genit dan berwajah comel itu melambai ke arahnya, sambil berjalan pantas mendekati dirinya. "Zulaikha! Tahniah! Hebatlah awak, dapat nombor satu!" Gadis itu menyambung dengan nada suara penuh teruja. Wajahnya jelas mesra, namun ia tidak membuatkan Zulaikha rasa kurang selesa.

"Alhamdulillah... terima kasih, Farah." Pendek sahaja balasnya.

"Oh ya, Zulaikha! Apa kata awak ikut kami pergi makan nasi kukus Cik Yah? Dah lama kita tak keluar bersama-sama, bukan?"

Zulaikha menggeleng dan membalas dingin, "Maaf, ya, Farah. Saya kena pulang cepat hari ni." Dia kemudian berlalu pergi, tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan rapatnya.

ZULAIKHAWhere stories live. Discover now