Jahit

201 8 4
                                    

Zahir fokus pada mata jarum ditangannya itu. Tenang dan teliti setiap jahitan yang dibuat. Bagi Zahir, setiap jahitan dari mata jarum jahitan tangan adalah seni. Dan seni itu hanya orang-orang tertentu sahaja mampu menafsirkannya.

Ramai yang berpuas hati dengan hasil kerjanya. Bukan seorang dua yang sanggup untuk bayar sehingga 4 angka untuk sepasang baju jahitan Zahir. Dia begitu berbakat.

Bakatnya dalam seni jahitan mula diasah sedari umurnya 10 tahun lagi. Meskipun adik beradik mengejeknya, mengatakan bukanlah kerja seorang lelaki untuk menjahit, namun dia tetap gigih mengasah bakat menjahitnya. Ibunya tidak pernah sekali menghalang, bahkan menggalakkan minat anak bongsunya itu.

Sehingga satu tragedi yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya, dan meninggalkan dia seorang diri. Peristiwa yang telah menjadikan dirinya seorang yatim piatu, terpaksa membesar di rumah anak-anak yatim.

Dan dia setia dengan mata jarumnya. Kehilangan orang yang tersayang mengubah hidupnya. Dari periang kepada seorang yang tidak banyak berkata-kata. Satu sifatnya adalah dia tidak boleh diganggu ketika dia bersama mata jarumnya. Mata jarum itulah hidupnya. Dia harus fokus.

Tetapi, di bengkel tingkat bawah rumahnya itu, sepasang mata memerhati ke arahnya. Dari dalam gelap, mata itu kelihatan bersinar. Zahir mula tak tentu arah. Dia harus lakukan sesuatu.

Kedua belah tangannya mengigil. Anak matanya turut menzahirkan keadaan diluar normal. Jahitannya tidak dapat diteruskan lagi. Dia tahu sepasang mata itu memerhatikannya. Dan dia juga dengar bunyi dari arah mata yang bersinar itu.

Dia memandang ke atas. Bengkel jahitannya itu dipenuhi dengan baju-baju tempahan yang telah siap dijahit, bergantungan di dinding. Dia menarik nafas dalam. Dalam keadaan sebegini dia harus tenang. Dia sudah biasa berada dalam keadaan seperti ini dan semestinya dia mampu mengawalnya.

Dia tahu apa yang patut dilakukannya.

Kakinya menapak menuju ke arah sebuah almari kaca. Dia merenung lama ke dalam isi kandungan almari itu. Di dalam almari itu tersimpan sebuah karya seni jahitannya yang paling istimewa.

Sedikit saja lagi...

Hatinya berbisik. Dia mengusap cermin almari itu dari luar. Tombol almari ditarik perlahan-lahan. Kotak besi dicapai dari dalam almari kaca itu. Zahir tersenyum sendirian. Hilang rasa serabutnya sebentar tadi. Dia kembali tenang.

ibu, sedikit saja lagi. Lepas ni Zahir boleh peluk ibu. Zahir rindu ibu.

Ditangannya kini bukan lagi mata jarum jahitan baju tempahan pelanggan. Sebilah pisau tajam yang dicurinya dari bilik bedah dikeluarkan dari kotak besi itu. Ditiliknya ketajaman mata pisau itu.

Langkahnya kini bertukar. Dia menuju ke arah sepasang mata yang memerhatikannya itu. Mulut disumbat dengan kain basah. Zahir merapatkan pisau bedah tajam,
merapati wajah wanita muda itu.

Maafkan aku Zila. Aku rindukan ibu.

Kulit wajah wanita itu disiat teliti oleh Zahir. Sedikit sahaja lagi wajah ibunya akan lengkap dijahitnya. Dan wajah Zila, wanita bergelar teman wanitanya menjadi korban rindu Zahir kepada ibunya.

-end-

KoleksiTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang