Bab 1 - 5

5.2K 78 24
                                    

         

1

    Nama aku Fisha. Nama panggilan aku, Fisha. Nama manja aku pun Fisha. Entah nama Fisha tu serasi atau tak dengan aku. Nama tu cantik. Semua orang kata begitu. Aku suka atau tak nama tu? Kalau dah tak suka nama tu, takkan aku nak guna? Okeylah... nama sebenar aku Mek Fesah. Berasal dari Kelantan. Nama tu diberikan oleh mek dengan ayoh. Nama adik-beradik aku yang lain semua ada Mek kat depan pangkal nama, Mek Lijah, Mek Hasnah, Mek Mina dan akhir sekali, Mek Sara. Itupun sebab ada orang putih datang melawat kampung kami dengan alasan nak menemubual ayoh dan mek yang merupakan pengusaha batik yang berjaya. Namanya Sara McGavyer. Aku cakap dengan mek supaya tak letakkan nama Mek kat depan nama tu. Sara pun cukuplah. Ada juga anak mek yang namanya macam nama orang putih. Tapi mek menentang habis-habisan. Mek kata panggilan nama Mek tu memang sejak turun-temurun. Siap dia kata, aku nak kena tulah ke kalau langgar adat?

Sekarang ayoh dan mek dah tak ada. Bukan keluar rumah pergi mana-mana. Mek dan ayoh memang dah tak ada dalam dunia ni. Mek dan ayoh yang sangat aku sayangi telah menemui ajal dalam kebakaran di kilang membuat batik milik ayoh. Kerugian ayoh dan mek dianggarkan menghampiri 1 juta. Tapi yang paling rugi kami berlima beradiklah. Ayoh dan mek terbakar dalam kebakaran yang meragut nyawa hampir seratus orang. Sekarang aku dan Mek Sara tinggal di banglo peninggalan ayoh dan mek di Jalan Lundang. Rumah yang cukup besar untuk kami berdua.

    Mek Lijah, Mek Hasna dan Mek Mina tidak lagi pulang ke kampung melawat kami berdua. Bertahun-tahun aku yang kena jaga Mek Sara yang sedang sakit tenat. Tubuhnya kurus kering dan wajahnya yang cantik semakin hilang ditelan kesakitan yang payah diceritakan. Apabila aku cuba nak hubungi adik-beradik lain dengan mengiklankan dalam suratkhabar, Mek Sara tak bagi. Dia kata buat apa aku nak cari adik-beradik yang langsung tak ambil berat pasal kami berdua. Setelah duit insurans mek dan ayoh dibahagikan, mek yang bertiga itu terus mengikut suami masing-masing. Mek Sara kata cuma aku keluarganya yang tinggal sekarang. Entahlah... suatu hari nanti aku harap kami berlima beradik dapat bersatu macam dulu, mas mek dan ayoh masih hidup.

Wajahku di cermin kupandang lama. Apa yang aku lupa nak letak ya? Celak hitam pekat aku capai lalu meletakkan segaris di kelopak mata. Di hujungnya itu sengaja aku lentikkan. Ha... barulah boleh keluar sekarang.

"Kak Mek!" Oh sekejap ya, nanti aku cerita lagi. Sekarang ni Mek Sara panggil aku. Biasanya rutin aku setiap pagi sebelum keluar memang begitulah, siapkan apa yang patut. Bila dah mandikan dia, baharulah aku senang hati. Mek Sara sekarang dah tak larat nak bangun macam dahulu. Paling aku kasihan pada pakwenya merangkap bakal tunang, Ali. Hari-hari datang bawa doktor dan dukun untuk cuba menyembuhkan penyakit Mek Sara...

2

"Mek Lijah tulung siak kakok awok tu. Ado ore nok maghi tengok. Buke cale-cale oghe hok nok maghi ni. Anok Pok Seme roti cana hok kijo doktor di Kuala Lumpur nuh." Mek yang mengunyah sirih memuncungkan bibir ala-ala Angelina Jolie. Bersungguh benar mek nak bermenantukan doktor yang berkelulusan luar negara tu. Aku senyum malu-malu kucing. Oh, yang bercakap tadi tu mek yang dah lama meninggal. Tapi jangan risau, ni bukan bermakna mek aku hidup balik. Aku gunakan teknik imbas kembali dan juga tidak membuat alih bahasa untuk ceritaku. Dah memang aku anak jati Kelate.

"Mek... okey dok?" Mek Lijah yang mengambil kursus persolekan itu menayang hasil mekapnya pada mek yang sedang menggobek sirih. Mek tengok muka aku lama-lama lepas tu senyum-simpul.

"Comey sikik mek maso mudo-mudo dulu."

    "Mek meme comey," Mek Hasna memuji. Dia yang paling mewarisi kecantikan mek. Matanya yang bundar itu memang seiras betul dengan mek.

"Bilo demo maghi sini, mek?" Giliran Mek Lijah menyoal.

"Pete nati pukul tigo. Doh habih mekap tu, gi kemah rumoh apo hok patuk. Mek doh suruh Cik Nab mung masok pulut kuning denga daging." Mek Hasna menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda arahan mek tadi akan dibereskan dengan segera. Dalam rumah tu memang Mek Hasna yang paling rajin. Kalau ada dia di rumah, memang licin berkilat rumah tu. Bilik dia yang paling cantik antara kami berlima. Kalau urusan masak-memasak, serahkan sahaja pada Mek Lijah. Dia masak paling tip top. Kalau dah ada di dapur, susah dia nak keluar. Bermacam eksperimen masakan dia cuba. Daripada masakan tradisi kepada masakan barat. Aku masih ingat masa mula-mula mek berjinak-jinak makan spaghetti. Kena penangan hasil tangan Mek Lijah, mek dah lupa pada nasi kerabu dan nasi dagang. Hampir setiap hari dia order spaghetti karbonara. Amboi, mek!

(preview) COMEY - sebuah novel Noor Azlin & Nur FarahidaWhere stories live. Discover now