Bab 1- 3

2.6K 27 3
                                    

1

Ishibashi

"Kau tak benci muzik, kau hanya penat dengan orang," kata Halim.

Ketika itu, kami berada di Summer Sonic, Osaka, sedang ligat membincangkan perihal muzik itu sudah mati. Aku menghirup minuman ionik Pocari Sweat sehingga habis titis air yang terakhir, sambil memikir kebenaran yang cuba dikatakan oleh Halim. Aku telah berhenti dari mendengar muzik artis-artis baru. Aku skeptikal. Aku pesimis. Aku tak dengar radio, dan aku tak tonton YouTube. Setiap kali ada orang membicarakan perihal band-band baru di Facebook ataupun Twitter, aku pejam mata, aku skrol ke bawah lekas-lekas.

Muzik dah mati. Ia muktamad. Tak payah bincang-bincang.

Ah, aku patut mulakan kisah perjalanan aku ke Osaka ini dengan hari pertama aku menginjak kaki ke sini. Hari pertama, hari kedua dan seterusnya. Ini pelancongan yang dibiaya. Namun, masa yang aku miliki terlalu terhad. Tak usah rasanya aku ceritakan perihal kerjaya aku yang lain itu agaknya. Aku sentiasa menulis dalam keadaan sukar. Depresi adalah ilhamku; inspirasi untuk terus menulis. Maka dengan tidak teragaknya, aku memutuskan untuk menaip lima buah novel dengan serentak, termasuk apa yang anda baca sekarang. Maka, bolehkah anda memahami betapa tertekannya aku dengan kehidupan yang begitu mendesak ini?

12 haribulan Ogos 2015.

Aku masih tersangkut di pejabat kontraktor utama, menyudahkan pelan kualiti pembinaan yang baru sahaja diperolehi formatnya. Kerjanya tak siap, tetapi aku berbohong akan e-mailkan dokumen itu apabila tiba di lapangan terbang nanti. Aku nak cuti, peduli apa akan kerja bertimbunan yang merepek begitu. Pukul 4 petang, dengan pembohongan yang tak langsung buatkan aku rasa bersalah, aku memecut kereta balik ke rumah membelah lebuhraya KESAS.

Kerja mengkayakan orang lain dan membunuh diri sendiri tak wajar diteruskan sehingga mudarat diri.

Aku sempat berpesan dengan Halim agar mengemaskan apa-apa pakaian yang ada, untuk disumbat dalam beg. Ini adalah pelancongan luar negara pertama aku dan aku tak tahu apa yang aku nak buat. Tak bersedia mental langsung. Hanya tiket dan dokumen perjalanan sahaja yang membolehkan aku bertolak disediakan.

Sungguh serabut. Tipikal aku. Apa boleh buat?

Kami tiba ke lapangan terbang KLIA 2 pada pukul 8 begitu, dengan penerbangan ke Kansai akan berlepas pada pukul 1 pagi. Sementara itu, aku sempat membuat draf peta minda untuk novel Gesek dan Tirani semasa makan malam di sebuah food court yang boleh tahan jugalah kepelbagaian makanannya. Aku makan claypot yang mi-nya tak begitu banyak dek kerana mengeras hangus di tapak. Draf peta minda itu siap dengan lakaran yang otak aku faham. Untuk masa itu sahaja. Apabila kami masuk ke balai perlepasan, aku buka laptop dan mula menaip. Aku belek peta minda yang aku buat tadi dan mendapati ianya sampah. Tanpa mempedulikan draf peta minda itu, aku meneruskan kerja-kerja penaipan untuk bab 4 novel Gesek.

Aku tak tahu pada mulanya, kenapa seorang gadis dengan kostum rusa yang indah ukiran tanduknya muncul dalam imaginasi tatkala kami berada di hadapan pintu masuk balai perlepasan yang belum dibuka. Ia salah satu imaginasi aneh yang acapkali datang dalam penulisanku dan aku tak teragak-agak memasukkannya dalam novel Gesek ini.

Apabila aku perhatikan dalam kilasan bayangku pada cermin pintu balai perlepasan, aku nampak bayangan gadis dengan kostum rusa itu.

Abaikan.

Dengan pantas aku taipkan watak gadis dengan kostum rusa itu mati dahsyat dengan kepalanya terpenggal. Sebaik sahaja aku usai menaip pengakhiran tragisnya, aku lihat cermin pada pintu tadi, dan bayangan gadis itu lenyap. Aku menarik nafas lega. Aku hentikan kerja-kerja penaipan cerita untuk seketika.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 28, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

(petikan) JEPUN - sebuah novel Lokman HakimWhere stories live. Discover now