Bab 1 + 2

3.5K 53 5
                                    


1 – Hari #01

Pasangan lelaki dan perempuan di tempat duduk sebelah tergelak lagi. Entah kali ke berapa aku sudah lupa. Jenuh aku berikan mereka jelingan maut menyuruh mereka hentikan perbuatan tidak senonoh tanpa bajet di dalam panggung wayang yang hampir kosong ini. Kecelakaan apalah yang menimpa nasib aku yang menyebabkan aku terpaksa duduk sebaris dengan si perempuan yang lebih asyik seluk tangannya ke dalam celah kangkang jeans si lelaki yang sedang asyik menguli nasi lemak dua puluh sen milik perempuan itu. Kecelakaan apalah pula yang aku memilih untuk tonton filem ini pun aku tidak tahu.

Mungkin disebabkan fahaman rasional bawah sedarku yang mahu menyokong filem tempatan (yang berkualiti sahaja!) menyebabkan aku terpanggil untuk beli tiket wayang untuk filem yang dilakonkan Redza Minhat dan awek cun yang aku sudah lupa namanya siapa itu. Dua (atau mungkin tiga?) orang budak perempuan yang sah-sah merupakan muka-muka tidak asing di kampus di baris depan aku tak habis-habis hendak terjerit-jerit kegembiraan setiap kali datangnya adegan yang ada Redza Minhat. Gedik. Kalau hendak diikutkan hati mahu saja aku lempar kelongsong bertih jagung ini ke arah budak-budak perempuan itu agar mereka bawa mengucap dan bertenang.

"Pathetic," aku mencebik. Sebutir bertih jagung hangus masuk ke dalam mulut. Sedikit pahit, tetapi manisnya masih ada walaupun terasa sedikit lemau bila dikunyah. Bertih jagung GSC jarang sekali sedap. Yang dijual di kaunter itu selalunya yang sudah lama dimasak. Lainlah kalau kau ke TGV, aku gemarkan bertih jagung bersadur karamel cair di sana.

Di dalam panggung ini hanya ada aku, pasangan yang sakan beromen di sebelah dan budak-budak seuniversiti yang aku kira hanya menonton sebab minat 'abang gigi besi' itu. Aku pegang kelongsong kertas berisi bertih jagungku. Sudah sepertiga habis kukunyah telan. Mujur filem itu sudah hampir benar ke penghujungnya. Aku tahu kerana ini merupakan kali kedua aku menonton filem yang sama. Filem ini bagus juga sebenarnya, entah kenapa di mana silapnya ia tidak laku. Kisah seorang lelaki yang dirundung kemurungan yang mahu bunuh diri dan akhirnya bertemu sebuah agensi bebas yang kononnya menyediakan perkhidmatan untuk 'membunuh' individu yang bernawaitu serupa.

Filem itu akhirnya tamat dan aku bergegas kutip beg sandang yang aku tinggal di bawah tempat duduk dan segera keluar dari panggung. Pundi kencingku penuh berisi Coke saiz besar yang aku cicip berselang dengan kunyahan bertih jagung tadi dan aku benar-benar tidak tahan mahu terkencing. Sesampainya di tandas, aku seorang sahaja yang masuk ke sana dan aku buru-buru masuk ke kubikel yang kosong. Ada sesuatu tentang air kencing yang mengalir masuk ke dalam lubang jamban di tandas yang kosong itu yang menyebabkan aku berasa amat tenteram. Usai kencing dan menarik pam tandas, aku bercadang untuk duduk sekejap di atas mangkuk tandas itu buat seketika.

Apalah yang menantiku kalau aku buru-buru pulang awal sekalipun. Rumah flat di tingkat lima yang aku sewa di Seksyen 13 di Bandar Baru Bangi itu akan masih berada di situ, kosong dengan berisi perabot paling minimum. Melangkah masuk ke dalam pintu utama rumah itu kau akan bertemu dengan ruang tamu lapang, hanya ada dua sofa dua tempat duduk, satu berwarna biru, satu berwarna merah darah, kedua-duanya diperbuat daripada PVC yang kulitnya sudah menggelupas dan terkopek-kopek di bahagian penyandar dan perehat tangannya. Ada karpet segi empat sama warna coklat yang sudah lusuh di tengah-tengah sofa yang berlainan warna itu. Tiada televisyen kerana tuan rumah yang menyewakan rumah itu tidak sediakan satu dan aku sendiri tidak mampu dan tidak bernafsu untuk menonton televisyen. Maju beberapa langkah ke hadapan dan segera toleh ke kiri dan kau akan lihat sepetak ruang yang dijadikan dapur. Ada peti ais namun kau bakal kecewa jika kau lihat ke dalamnya. Yang ada hanya dua botol air sejuk, sebungkus coklat Daim (yang aku baru makan dua-tiga butir sahaja) yang Sha hadiahkan kepadaku ketika dia pergi melancong ke Langkawi bulan lepas dan kotak leper berisi (mungkin) dua potong piza keju sisa yang aku tidak larat hendak habiskan kelmarin. Di ruang dapur itu juga ada dapur gas namun sudah hampir sebulan tidak berganti. Pertama, aku malas, dan keduanya aku sendiri jarang memasak. Jadi buat apa hendak diganti?

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 18, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

(preview) SASAR - sebuah novel Syaihan SyafiqWhere stories live. Discover now