Bab 1 - 3

4.7K 58 17
                                    

         

1.

Ketika aku sedang cuba menyelesaikan kes seorang warga Korea yang kehilangan pasportnya di Bali, aku sempat mengatur temujanji dengan seorang lelaki yang sangat kacak yang aku kenali melalui Facebook. Namanya Hans.

"Miss Ratu, tolong update kesnya secepat mungkin, ya?" ujar bosku Mr. Hong yang tiba-tiba muncul di depan pintu bilik.

"Saya sedang cari berita jenayah di sekitar Jakarta, tuan. Mana tahu ada orang Korea yang dilanggar kereta..." ujarku tergagap-gagap sambil cepat-cepat menutup tetingkap pelayar web yang memaparkan profil Facebookku dengan segera.

Bos membeliakkan matanya. Dia tahu aku berbohong. Bekerja dengan bekas pegawai tinggi polis Korea ini bukan hal yang mudah. Apatah lagi kalau bekerja sebagai setiausaha bahagian undang-undang di sebuah kedutaan besar. Dan meskipun jawatannya adalah setiausaha, tapi aku dituntut untuk berpenampilan tegas dan bukannya cantik. Jadi aku ucapkan selamat tinggal pada rambut indah ala Pantene dan kasut tumit tinggi yang anggun. Bos gemar mendesak dan kejam, mungkin kerana kerja kami berkaitan dengan undang-undang serta jenayah yang dilakukan warga Korea.

Aku sempat bertukar nombor telefon dan PIN Blackberry dengan Hans. Pada foto profilnya, dia sangat tampan. Ah, entah-entah itu gambar artis atau siapa-siapa. Sedangkan aku sendiri menggunakan gambar patung Hello Kitty, supaya diriku kelihatan seperti seorang gadis comel yang misteri.

Masalahnya jika aku menggunakan gambar sebenarku, pasti tidak ada seorang pun yang akan mahu bertemu denganku. Sumpah! Bukannya aku sering mengajak lelaki keluar bersama – I'm not that cheap, ya – tapi aku perlu segera mencari seorang teman lelaki. Dan dalam kesibukanku menguruskan pekerjaan, aku hanya sempat berkenalan dengan lelaki dalam dunia maya.

Sebelum waktu kerja berakhir, aku sudah di dalam bilik air pejabat yang sangat dingin suhunya. Aku berdiri di depan cermin, tapi bukan untuk melihat penampilanku. Aku tidak suka melihat cermin kerana cermin akan membuatkan aku jadi lebih gemuk. Dengan ketinggian 166.5 cm, aku rasa berat 45 kg sebenarnya sangat ideal. Masalahnya berat badanku bukan 45 kg tapi 65 kg (kadang-kadang boleh jadi 70 kg, especially saat aku sedang stress).

Aku cuba menyisir rambut yang separas bahu ini sekemas mungkin. Rambut yang agak kasar ini memang selalu menyusahkan. Kemudian aku mengesat wajahku dengan tisu tandas yang dibasahkan. Tiada yang menarik tentang wajahku, kecuali senyumanku yang kurasa mirip Julia Roberts – meskipun orang lain tidak pernah mengakuinya.

Selepas puas memaki diri sendiri di depan cermin ("Kenapa kamu gemuk? Kenapa rambutmu buruk??"), aku cepat-cepat keluar dari bilik air itu. Aku tidak mahu terlewat untuk temujanjiku.

Petang itu, aku dan Hans berjanji untuk bertemu di pintu selatan Plaza Indonesia yang sesak. Dia lewat 30 minit, sehingga aku sempat berprasangka buruk padanya. Entah-entah dia orang gila yang memakai gambar orang lain, kemudian tidak akan muncul semasa temujanji sambil mentertawakan aku dari jauh, atau dia seorang perogol bersiri yang sedang mencari mangsa. Namun selepas sekian lama menunggu, akhirnya dia muncul.

Sebenarnya aku berharap dia memiliki paras biasa (atau hodoh) seperti abang-abang pemandu ojek yang selalu bersiul-siul mengurat perempuan di tepi tembok. Malangnya aku tersalah sangka, kerana lelaki yang muncul itu memang 100% sama dengan wajah di gambar profil BBM di telefonku. Orangnya tinggi lampai dan bertubuh sederhana, malah aku dapat melihat dadanya yang bidang di sebalik kemejanya yang jarang itu. Kulitnya sangat bersih, alis serta matanya tajam seperti helang yang angkuh. Dan hidungnya sangat mancung, dan rambutnya yang berkilat itu sedikit berombak.

Jadi persoalannya, kenapa lelaki setampan ini mahu berjumpa perempuan seperti aku?

"Lama kamu menunggu?" soalnya dengan suara yang agak parau. Wajahnya serius.

(preview) ENAK - sebuah novel Nuril BasriWhere stories live. Discover now