Bukit Fraser

2.2K 176 1
                                    

Kali ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.

Nekad meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.

Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.

Fazlin sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.

Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.

Jangka waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka sekeluarga.

Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.

"Nampak tak apa yang saya nampak?" kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.

"Benda tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke dalam hutan dekat selekoh tadi..." kata Ghazli lagi sambil meraut muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang dikenali sebagai pontianak.

"Patutlah abang diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya."

Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.

Creepy Pasta | Malay VersionDonde viven las historias. Descúbrelo ahora