05 - Abah - Keperibadian

18 1 0
                                    


Bila bercerita mengenai keperibadian Abah, pasti setiap orang yang mengenalinya akan memberi pelbagai jawapan berdasarkan hubungan mereka dengan Abah. Sememangnya Abah mempunyai banyak sifat yang berbeza. Saya sendiri kadang-kadang sukar untuk menafsirkan sifat sebenar Abah. Namun saya cuba juga untuk senaraikan beberapa sifat keperibadian Abah yang saya sendiri tahu sepanjang hayatnya bersama saya.

1. Abah seorang yang pemurah. Biasanya dia jarang berkira dengan keluarga. Malah kadang-kadang dengan orang luar pun Abah tidak berkira. Pernah sekali ketika saya makan dengan Abah di sebuah warung di Shah Alam. Masa tu baru habis tengok bola Final. Ketika tengah sedap makan (sebab lapar bersorak tengok bola), datang seorang mak cik jual kerepek. Abah tanya harga dan terus beli. Abah pesan kalau ada mak cik atau pak cik yang menjual kerepek, beli saja walaupun harganya sedikit mahal dari biasa. Anggap saja kita tolong orang susah. Ada juga satu ketika Abah bawa balik set penggilap kuku. Bila ditanya kenapa beli, dia jawab sebab kesiankan orang tua yang datang menjual di pejabat tadi.

2. Abah seorang yang serba boleh. Abah mahir dalam bidang pertukangan dan pembinaan. Stor di rumah saya tu Abah sendiri yang merekabentuk dan buat tapaknya tetapi disudahkan oleh tukang rumah sebab Abah tak cukup masa nak siapkan. Reban ayam pun Abah yang buat sendiri. Setiap petang bila balik kerja dia akan buat sikit-sikit sampai siap. Selain itu Abah juga pandai gunting rambut. Rambut saya digunting oleh Abah sejak saya kecil sampai tingkatan 5. Lepas tu dia dah malas nak gunting rambut sebab matanya kurang nampak.

3. Abah seorang yang menepati masa. Kalau pukul 8 nak bertolak maka pukul 8 lah dia akan bertolak. Jangan sampai dia hidupkan enjin kereta, nanti dia akan hon sampai semua masuk dalam kereta. Lepas tu semua kena bebel sehingga sampai ke destinasi yang ingin dituju.

4. Abah tak suka tangguh kerja. Disebabkan saya seorang yang pemalas, selalunya saya akan bagi alasan untuk buat keesokan harinya dan dia akan jawab "kalau siapkan hari ni, esok boleh rehat". Dan saya terpaksalah buat apa yang disuruh. Keesokannya kena buat kerja lain pulak.

5. Abah seorang yang garang. Tapi abah garang bertempat. dan saya sebenarnya bersyukur kerana ketegasan Abah yang menjadikan siapa saya pada hari ini. Kerana Abah yang banyak membentuk saya untuk jadi manusia yang berguna.

6. Abah seorang yang bertanggungjawab. Abah tidak pernah abaikan keluarga. Abah sentiasa ada untuk kami semua. Abah juga yang banyak mengajar saya apa itu sebenarnya tanggungjawab. 

7. Abah adalah Tuan Penasihat. Dalam banyak hal saya akan bertanya Abah. Setiap kali ada masalah, pasti Abah akan menjadi orang pertama yang saya akan tanya. Abah sentiasa ada solusi dan nasihat Abah sentiasa saya pegang sehingga hari ini.

8. Abah seorang yang peramah. Abah mudah mesra walaupun mungkin kali pertama berjumpa. Sebab itulah Abah punya ramai kawan. Abah juga suka berbual dengan kawan-kawan saya jika mereka berkunjung ke rumah. Mereka semua selesa berborak dengan Abah. Abah pandai menyesuaikan diri dengan setiap golongan.

Sebenarnya banyak lagi sifat Abah yang tak mampu saya senaraikan. Fikiran menjadi buntu bila saja teringatkan segala kenangan bersama Abah. Saya sebenarnya sentiasa berusaha untuk menjadi seperti Abah kerana bagi saya Abah adalah idola dan inspirasi bagi saya. Memang Abah tidak sempurna dan sememangnya tiada manusia yang sempurna. Apa yang baik kita ikut dan apa yang buruk kita jadikan pengajaran. Walau apapun Abah tetap lelaki terbaik pernah hadir dalam hidup saya tetap meneruskan hidup dengan semangat yang Abah tinggalkan. 

Al-Fatihah.

Abdul Aziz Bin Mat Yusoff

170257 - 171016

09.50pm | 17Muharam1438

Salam rindu buat abah ♡♥

* اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْف*ُ

*"Allahumma firlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu"*

"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia"
Aamiin.

ABAHDonde viven las historias. Descúbrelo ahora