BAB 14

2.4K 65 0
                                    

BALIK kampung Parit Buntar!

Suria tak suka balik kampung sebelah Cik Pah. Serius tak suka. Bukan kerana dia dah lupa diri sebab jadi orang bandar. Bukan! Siapalah dia untuk merasa diri tu hebat sangat? Tapi dia tak suka balik kampung di Parit Buntar sejak tercipta satu nostalgia ngeri di dalam hidupnya.

Kali ini dia terpaksa ikut Cik Pah balik juga. Mahu Cik Pah lancar perang besar-besaran jika dia berdegil tak mahu ikut. Dia kena jadi drebar. Drebar kepada Cik Pah dan Si Nagasari. Abah tak dapat balik sebab tak dapat cuti. Dah orang lain awal-awal mohon cuti, abah tak dapatlah.

Tambahan pula abah ni memang kedekut pasal cuti, nak simpan untuk dapat duit masa pencen nanti katanya. Abah memang bijak merancang masa hadapan. Lagipun kerja di hospital memang begitu, kena bergilir-gilir cuti. Kalau tinggal pesakit aje kat wad, apa cerita, kan?

Di rumah mak long ada kenduri, sebab itu Cik Pah kena balik kampung. Kenduri sambut menantu. Kenduri abang kepada Ratnasari.

Makanya dengan berat hati dan berat segala badan yang dah terlebih muatan ni, terpaksalah Suria mengalah kepada kehendak semua. Dia ikut jugalah balik ke Parit Buntar. Ambil cuti dua hari aje tak boleh lebih-lebih. Nanti kucing-kucing kesayangan Datin Lala tu siapa nak jaga? Dahlah kucing-kucing tu manja yang amat dengan dia. Kalau tak ada dia, mungkin semua monyok. Nak layan pelanggan-pelanggan yang suka menyerbu tu pun dia orang tak ada mood.

Tambahan pula kalau ada pelanggan yang suka tarik bulu kucing tu kuat-kuat. Macam mana nanti kalau dia tak ada? Sebab itulah Datin Lala merayu jangan cuti lama-lama. Pengsan dia nak menjaga seorang. Orang lain Datin Lala tak harap sangat. Dengan Suria, Datin Lala beri kepercayaan 100 peratus.

Tak mengapa Datin Lala, Suria pun tak mahu cuti lama-lama. Nak seksa jiwa raga kat kampung sana buat apa? Suria akan balik dulu dengan bas. Kemudian Encik Rahim akan pergi dengan bas juga dan bawa balik kereta bersama diva-diva tu. Encik Rahim pun macam Suria juga, cari alasan supaya tak balik Parit Buntar lama-lama.

Mereka pergi dengan kereta Proton Inspira kepunyaan Encik Rahim. Tak berani Suria nak pandu Perodua Viva buruk tu jauh-jauh. Rosak tengah jalan nanti, niaya aje. Bukannya ada Pak Cik Rahman kat tengah Lebuhraya Utara Selatan nak tolong.

Lagipun diva-diva tu mana mahu naik kereta Perodua Viva tu. Awal-awal lagi dia orang dah merengek dekat Encik Rahim kasi pinjam Proton Inspira tu. Akhirnya dengan berat hati Encik Rahim bagi. Lebih kepada risau Suria pandu Perodua Viva tu jauh-jauh. Suria tahu, abahnya sayang kereta baru dia tu. Memang Encik Rahim jarang benarkan orang lain pandu. Dua orang tu, nak hebat saja. Nak nampak grand dan branded sentiasa. Memandu tak tahu.

Si Nagasari tu, dengar khabar dah tiga kali pergi ujian JPJ, tak lulus-lulus. Hairan juga, orangnya cantik manis, tinggi langsing... Takkan tak dapat kenyit-kenyit mata dengan abang JPJ tu bagi lulus? Sedangkan Suria yang dilabel tak cun ni pun sekali saja buat ujian terus lulus.

Atau Si Nagasari tu yang terlebih gedik? Jadi meluat pegawai penguji tu tengok. Yalah kan... Bukan semua lelaki suka dengan perempuan yang terlebih dos menggatal ni.

Streeettt... Cik Pah mengurut-urut dada kerana Suria memberhentikan kereta secara tiba-tiba untuk mengelak daripada melanggar kereta di hadapan.

"Ya Allah Suria, hang ni! Nasib baik sempat brek. Kalau tak dan tadi, hang jawablah dengan abah hang! Tu yang dia tak berapa nak bagi hang pakai kereta ni," bebel Cik Pah dari tempat duduk belakang.

"Berangan aja anak dara Cik Pah ni. Ingat boyfriend ka? Bila nak kenalkan pada cek?" sampuk Ratnasari di kerusi sebelah Suria.

Hek eleh... Nak mulalah tu. Bahasanya lembut aje, tapi isinya memang sesuatu. Ratnasari ni tak habis-habis dengan agenda membakar perasaan Cik Pah pada Suria. Halau keluar dari kereta karang baru padan muka! Baru tahu langit itu tinggi atau rendah. Baru tahu Parit Buntar tu jauh ke dekat.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now