(abridged) Part 19: Rombongan meminang

169 6 0
                                    


Seperti yang telah diterangkan di dalam surat kiriman Jamal, pulangnya pemuda itu ialah bagi berbincang dengan keluarga tentang hubungannya dengan Suri. Maka dua minggu berikutnya, rombongan merisik dan meminang yang turut disertai Zabedah dan Zakiah bertandang ke rumah Suri. Rombongan tersebut diterima dengan gembira oleh Samihah dan Rahim selaku penjaga Suri, serta Taukeh Lim dan ahli keluarganya yang hadir sama.

Keluarga pihak lelaki membawa 7 hantaran yang dibalas 9 hadiah oleh pihak Suri. Zabedah menyarungkan 2 bentuk cincin ke jari Suri – satu cincin merisik dan satu lagi cincin pertunangan. Majlis ringkas tetapi meriah itu berjalan lancar daripada mula sehingga ke penghujungnya.

Keluarga Jamal turut mencadangkan agar majlis perkahwinan dilangsungkan setahun dari tarikh pertunangan dan hal ini dipersetujui oleh pihak Suri. Pada masa yang sama, Zabedah menerangkan bahawa anak lelakinya itu telah ditawarkan bekerja sebagai jurutera telemomunikasi di ibukota Kuala Lumpur.

"Nampaknya selepas ini tinggal Samihah dan Abang Rahim sajalah yang mengusahakan warung," ujar Samihah.

"Tak mengapa. Saya akan carikan pembantu untuk kamu berdua," balas Taukeh Lim yang sudah menganggap Samihah dan Rahim seperti keluarganya.

Berita tentang pertunangan Jamal dan Suri disambut baik oleh Ustaz Ismail, Cikgu Badrol, Seri Melur di Kuala Krau dan rakan taulan yang lain. Pada pandangan mereka, kedua-duanya bagai pinang dibelah dua. Bahkan Bulat dan Labu juga tumpang gembira mendengar berita Jamal dan Suri bakal disatukan.

Namun lain pula dengan Sidek. Apabila Long Sidah menceritakan tentang perkembangan terbaru itu, dia mengamuk tak tentu hala. Habis disepak kerusi meja di dalam rumah sambil pemuda itu bertempik bagai orang kurang siuman.

"Tak guna punya lelaki. Dia balik sekali sekala untuk mengorat perempuan di kampung ini," jeritnya merujuk kepada Jamal. "Jaga-jaga kamu. Aku akan kerjakan kamu tak lama lagi," katanya seakan memberi petanda apa yang bakal berlaku.

Dua hari selepas itu, Sidek menanti Jamal di laluan menuju ke Warung Rokiah. Dia berniat melanggar pemuda tersebut dengan motosikalnya. Apabila dia terlihat kelibat Jamal, Sidek lantas menghidupkan enjin motosikal. Namun, dia disapa dua orang pemuda yang amat dikenalinya.

"Sidek, apa kamu buat di sini?" tegur Labu dengan Bulat membonceng motosikalnya.

"Aku akan langgar Jamal kerana merampas Suri dari aku," terang Sidek kepada mereka.

"Jangan Sidek. Jamal tu orang baik. Dan kita semua sedar, Suri tak pernah sukakan kamu," Labu berkata kepadanya.

"Ah! Aku tak peduli. Aku akan musnahkan hidup Suri dan pasangannya," jawab Sidek dengan muka merah padam kerana marah yang amat.

"Kami takkan benarkan kamu mengapa-apakan Suri atau Jamal," tiba-tiba Bulat bersuara. "Ini bukan amaran tetapi janji," tegasnya lagi.

Sidek sedar Bulat dan Labu serius akan menghalangnya. Dia lantas bersuara, "Baiklah. Hari ini aku akan batalkan hasrat aku. Tapi lain kali mungkin kamu berdua tak dapat menghalang aku lagi," katanya dengan mencebik.

"Sudah-sudahlah nak menjadi samseng kampung ni, Sidek," balas Bulat. "Lebih baik kita fikirkan macam mana nak membina masa depan yang lebih diberkati," nasihatnya yang bakal menyambung pelajaran di Pusat Giatmara di daerah Jengka bersama Labu.

Bagaimanapun, nasihat yang diberikan kedua bekas rakan rapatnya kepada Sidek seakan mencurah air ke daun keladi.

Beberapa hari kemudian, Sidek mengekori Jamal yang berjalan pulang dari Warung Rokiah ke tebing sungai di mana perahunya diikat. Sidek nekad mahu mencederakan Jamal dengan sebatang tongkat yang dipegangnya.

"Hei! Jamal. Kamu ingat kamu siapa di kampung ni? Kamu kurang ajar dengan aku ya?" tempik Sidek kepada pemuda dari kampung Gemunchor itu.

Jamal kehairanan kerana tidak pernah bermusuhan dengan anak Long Sidah itu.

"Apa yang kamu maksudkan? Saya pun tak berapa mengenali kamu sebenarnya," jawab Jamal.

"Kamu rampas Suri dari aku! Aku akan belasah kamu cukup-cukup," pekik Sidek sambil menuju ke arah Jamal dengan menghayun tongkat kepunyaan arwah ayahnya Cu Bakar.

Jamal mengelak serangan itu. Kemudian, secara tiba-tiba muncul tiga ekor lembu jantan dari arah belakang Jamal yang meluru ke arah Sidek lantas menanduknya sehingga terjatuh ke dalam sungai.

Sebenarnya, aku Burung Rapang Duit di tebing Sungai Jelai telah memberitahu lembu-lembu Long Sidah akan rancangan Sidek untuk menyerang Jamal. Lembu-lembu tersebut yang memang telah lama berdendam dengan Sidek berpakat melindungi tunang Suri yakni Jamal.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now