Bab 7

1.4K 38 0
                                    

DIA memerhatikan wajah Andriy dengan kerutan di dahi. Secalit keraguan terusik dalam hati. Adakah lelaki di hadapannya ini benar-benar berminat dengannya? Separuh hatinya mengeyakan, manakala separuh hatinya lagi menafikan.

Adakah dia sudah tersalah membuat keputusan? Zafeeya cuba menilai kembali pertimbangannya. Beberapa hari yang lalu, dia paksakan diri untuk membalas mesej pesanan ringkas daripada Andriy. Dia juga paksakan diri untuk menjawab panggilan yang kemudiannya dibuat oleh lelaki itu. Andriy mengajaknya untuk bertemu.

This is just too good to be true, bisik hati Zafeeya yang agak tak yakin dengan nasibnya. Bagaimana jejaka setampan itu bisa tertarik dengan gadis biasa sepertinya. Baginya, mereka tak padan.

Pun begitu, dia bersetuju dengan pelawaan Andriy. Perlu diketahui, keputusan yang dia lakukan adalah dengan hati yang terbeban. Dia paksa diri! Namun seberat-berat hatinya, dia lakukan demi memberi peluang kepada dirinya sendiri. Kalau terlalu jual mahal pun susah juga. Daripada orang nak boleh jadi tak nak.

Mana dia tahu niat sebenar Andriy kalau dia tak beri peluang, kan? Kalau Andriy betul-betul ikhlas nanti dia pula yang rugi.

Dia nampak keikhlasan Andriy dari segi kesungguhannya untuk berkenalan. Dia asyik mengacau hidup Zafeeya dengan panggilan telefon dan mesej-mesej sehingga Zafeeya terpaksa mengalah.

Tetapi, apabila mereka bersua muka seperti ini, tak pula si Andriy ini bercakap banyak. Sedikit sebanyak membuatkan hati Zafeeya berbelah bagi terhadap niat sebenar Andriy.

Zafeeya melemparkan tanggapannya jauh di awangan. Mungkin dia sahaja yang gemar berfikir yang bukan-bukan.

"Awak tak puas hati dengan saya ke?" tegur Andriy apabila menyedari cara Zafeeya memandangnya.

"Tak adalah," balas Zafeeya.

"Yakah?" Andriy tersenyum sinis.

Zafeeya menelan liur. Alang-alang Andriy dapat membaca fikirannya, apa kata diluahkan sahaja apa yang sedang bermain di fikiran?

"Awak ni memang pendiam ke? Saya tengok gaya macam tak aje."

"Tak adalah. Saya bukan pendiam."

"Habis, kenapa awak tak banyak bercakap dengan saya?"

"Sebab soalan saya dah habis. Saya rasa dah banyak dah yang saya tahu tentang awak. Tapi, yang paling utama untuk saya tahu cuma... Awak single, awak bukan janda, bukan single mom. Yang penting untuk awak tahu tentang saya... Saya seorang yang berpendapatan stabil, single dan saya tak menipu awak."

"Betul ni dah tak ada apa-apa nak cakap? Sebab lepas ni kalau awak nak cakap apa-apa, saya tak nak dengar," kata Zafeeya, berlagak ego. Zafeeya dapat rasakan ada perkara yang ingin Andriy sampaikan.

"I'm saving the best for last," balas Andriy selamba.

"Cakap ajelah apa yang awak nak cakap tu. Kalau tak, tak guna kita jumpa macam ni kalau awak setakat nak berdiam diri."

Andriy mengangguk akur. Dia betulkan kedudukannya di atas kerusi. Tubuhnya dilunjurkan ke depan. Sebelah siku direhatkan di atas meja lalu dagunya ditongkatkan. Muka Zafeeya direnung dalam.

"Saya berkenan dengan awak," terus-terang Andriy. Penuh yakin. Mata pun tak berkedip.

Zafeeya tersenyum penuh makna. Dia sudah agak. Tetapi, tak semudah itu dia akan menyerahkan hatinya. Dia bukannya budak-budak yang baru mahu belajar bercinta walaupun setakat ini, dia belum pernah bercinta.

"Ah, macam tu ke rupanya?" ujar Zafeeya dalam nada seloroh. Dia tak percaya.

Dia mula tiru perbuatan Andriy tadi. Duduknya dibetulkan. Dagunya ditongkatkan. Matanya terus merenung tepat ke dalam anak mata Andriy yang berwarna kelabu.

SEMANIS TOMATOWhere stories live. Discover now