Caramel Macchiato

3.1K 194 50
                                    

Pada aku, kesunyian adalah rasa paling kejam yang pernah Tuhan ciptakan.    

Sejenis perasaan yang mencengkam. Sejenis rasa yang membunuh. Sejenis luka yang tidak terlihat oleh mata namun hakikatnya ia mencarik, merobek, meratah segala yang ada dari dalam hingga tiada secebis pun yang tersisa. Hingga akhirnya kau lemah, hingga akhirnya kau mula lelah; lelah dengan semua benda. Dan setelah sekian lama, sudah sampai masa untuk aku rebah.

Dalam melawan kesunyian, ruang dan waktu bukanlah teman.

Aku berdiri di hadapan tangga koridor yang pintunya sudahpun terkopak. Sebatang rokok aku ketip pada bibir, kemudian aku nyalakan pemetik api, kemudian aku tarik nafas dalam-dalam, aku berhenti apabila aku rasa kapasiti paru-paru aku sudah tidak mampu menerima asap nikotin.

Hembus.

Tanpa apa-apa perasaan, aku senyum pada dua batang jari yang masih mengetip Winston merah, "Sorry."

Mungkin sekali ini adalah batang rokok aku yang terakhir. Terima kasih. Setelah bertahun bersama, dia masih lagi setia denganku. Sayang sekali aku harus pergi. Aku menarik asap rokok buat kali kedua. Hembus lagi.

Aku akan akhiri semuanya hari ini.

Malam ini.

Aku teringat kembali perjalanan aku pulang dari pejabat tadi di mana aku harus bersesak-sesak dengan manusia di dalam lif, melalui koridor, hingga ke pintu keluar. Kemudian harus bersesak-sesak dengan mereka yang juga berkejar ke destinasi masing-masing di dalam LRT. Kemudian aku melintas pasar malam yang hingar-bingar dengan suara peniaga dan pembeli. Bagaimana begitu ramai manusia di kanan dan kiri, dan aku masih lagi tidak dapat lari dari sunyi.

Kaki aku melangkah anak tangga satu demi satu. Aku tidak pasti apa yang aku rasa. Berdebar, benar. Takut, juga benar. Namun aku juga lega, memikirkan semuanya akan berakhir hari ini. Mereka boleh panggil aku pengecut, lemah, dan apa-apa saja mereka mahu. Dan aku masih harap mereka tidak lalui apa yang aku rasa.

Sekitar empat minit aku mendaki tangga, akhirnya aku tiba ke tingkat paling atas. Pintunya sudah terkuak sedikit. Jadi aku terus masuk tanpa banyak berfikir dan katupnya semula rapat-rapat. Aku pun tidak tahu kenapa aku memilih rooftop. Mungkin kerana aku rasa aku layak untuk sekurang-kurangnya melihat pemandangan yang cantik dari atas buat kali terakhir.

Agak klise, bukan?

Puntung rokok aku jentik ke tepi sambil mataku meliar mencari port yang sesuai.

What the...

Aku berhenti melangkah apabila ada kelibat seseorang sedang duduk di atas palang; membelakangi aku. Aku cukup yakin dia belum perasan kehadiran aku. Sesekali rambut paras bahunya mengurai apabila ada angin lembut menerpa. Aku tidak tahu kenapa jantung aku tiba-tiba laju. Perlahan-lahan aku angkat tangan kanan untuk melihat waktu.

Tak mungkin hantu. Baru 8.42 PM.

Sekitar 6 saat aku sekadar pegun, kemudian aku ambil keputusan untuk terus melangkah. Sengaja aku biar derap kakiku agak kuat agar dia sedar kehadiran aku. Tidaklah tiba-tiba dia terkejut dan jatuh dan aku pula tiba-tiba menjadi suspek pembunuhan.

Tidak sampai 3 langkah, gadis itu tersentak dan menoleh ke arahku. Cepat-cepat dia berdiri menghadap aku, sebelah tangannya masih berpaut pada palang. Dia sempat menoleh ke belakang – atau bawah – di mana jika jatuh aku anggarkan peratusan untuk hidup adalah mustahil.

"Stop! Stop situ!" sebelah tangannya menunjuk ke arah aku.

Aku menurut, aku angkat kedua tanganku, membuat signal untuk dia bertenang. Walaupun cahaya agak malap, namun dapat lihat matanya baru lepas bergenang tangis. Apa mungkin... tujuan dia ke sini juga sama seperti aku?

Caramel MacchiatoWhere stories live. Discover now