BAB 6

6.6K 44 2
                                    

Delisha menarik nafas dalam-dalam. Sabar. Nenda Rosnah memberikan syarat, kalau mahu elaun bulanan dan bil kad kredit dilunas, Delisha harus ditarbiah oleh Ustaz Azali. Paling Delisha tak boleh terima, Ustaz Azali adalah calon suami pilihan nenda, seandainya Faiq tak ambil serius nasihat nenda tempoh hari. Ada pula nak dipaksa kahwin dengan ustaz?

Delisha berhadapan dengan Ustaz Azali di ruang tamu dan nenda memerhatikan mereka dari ruang makan. Agaknya takut Delisha sembur Ustaz Azali kut?

Calon suami? Delisha curi-curi pandang Ustaz Azali. Boleh tahan orangnya, tapi tak sesuai dengan Delisha. Hatinya tetap pada Faiq.

Ustaz Azali tahu Delisha tak suka dia. Ketara sangat. Teringat akan harapan Nenda Rosnah mahu Ustaz Azali mengahwini Delisha. Terkejut sangat, gadis secantik ini mahu dijodohkan dengannya. Tapi dia belum membuat apa-apa keputusan.

"Assalamualaikum, Cik Isha sihat?" Delisha mengeluh. Terpaksa mengadap semua ini.

"Waalaikumussalam. Sihat. Ustaz sihat ke?" Nada suara itu bagaikan terpaksa dilontar.

"Alhamdulillah, sihat."

Lama suasana berjeda. Ustaz Azali terkial-kial nak bertanya maka terpaksalah Delisha mula dulu. Gugup agaknya, maklumlah berdepan gadis cantik. Godaannya kuat, iman sedang dijaga.

"Saya jumpa ustaz ni sebab nenda yang suruh ustaz nasihatkan saya. So, silakan, jangan malu-malu." Delisha bernada sinis biarpun senyuman diukir. Buat-buat ramah.

Ustaz Azali angguk, cuba mencari keserasian.

"Nasihat? Tak, saya bukan nak nasihat. Saya nak kenal dengan lebih dekat." Tenang nada suara Ustaz Azali.

Berkerut dahi Delisha, sedikit terkedu. Kenal dengan lebih dekat? Maksudnya?

"Ustaz tak payahlah nak kenal orang macam saya ni. Buang masa ustaz aje, sebab ustaz akan menyesal kenal saya. Sebab saya ni tak sesuai dengan ustaz. Ustaz ni ahli syurga, saya ni ahli neraka."

Ustaz Azali mengucap panjang. Tak sangka, begitu anggapan Delisha.

"Astaghfirullahalazim, kenapa Cik Isha cakap macam tu? Masuk syurga tu dengan rahmat Allah. Saya pun tak tahu lagi, neraka atau syurga tempat saya. Allah yang tentukan. Cik Isha pernah tak dengar satu kisah pada zaman nabi dulu, seorang lelaki yang tekun beribadat selama berpuluh tahun, akhirnya masuk neraka kerana riak. Dan seorang pelacur masuk syurga hanya kerana memberi anjing yang kehausan minum?" Ustaz Azali bicara penuh hikmah hingga mengendurkan ketegangan Delisha. Sedikit tersentuh. Ya, Allah yang lebih mengetahui siapa hamba-Nya.

"Tapi, kenapa nenda anggap saya ni teruk sangat? Sampai nak jodohkan saya dengan ustaz pula? Ingat senang ke saya nak terima semua ni? Ustaz tak payah nak ikutkan cadangan nenda. Hancur hidup ustaz di tangan saya nanti. Dunia kita berbeza." Delisha memburukkan dirinya. Dia pun sedar diri.

"Itu cuma harapan nenda, saya pun belum fikir lagi. Cik Isha janganlah risau, saya tak pandang serius pun perkara ni dan saya tak memaksa atau terpaksa." Ustaz Azali menjawab tenang.

Delisha pandang Ustaz Azali, cari kepastian.

"Ustaz, saya dah ada pilihan hati. Saya cintakan dia. Saya ni susah nak jatuh cinta dan sukar nak buka pintu hati untuk orang lain. Jangan ambil risiko, ustaz. Ustaz berhak dapat perempuan yang lebih baik, selayaknya peribadi ustaz."

Ustaz Azali angguk. Dia mengerti jiwa muda yang dahagakan cinta. Cuma cinta itu tak tahu akan membawa Delisha ke mana.

"Cik Isha janganlah cakap macam tu. Saya tak pernah pandang rendah Cik Isha. Kita semua ni sama saja. Dalam perjalanan hidup mencari bekalan selepas mati yang kita sendiri tak tahu, kebaikan atau kejahatan yang sedang bersama kita. Memang, kita semua dambakan pasangan hidup yang baik..." Delisha mengerti lantas menyampuk.

"So, saya tak layak buat ustaz. Saya tak cukup baik." Delisha tersenyum sinis.

"Bukan Cik Isha ke yang tak mahu saya? Hari tu nenda ada kenalkan Faiq pada saya. Itukan buah hati Cik Isha?" Delisha mengetap bibir. Tepat bagai dikata.

"Kenapa? Ustaz rasa, Faiq tak sesuai dengan saya? Ustaz lagi sesuai?" Ustaz Azali geleng kepala.

"Saya tak kata pun macam tu. Apa yang saya lihat, Faiq tu bukanlah seteruk mana yang Nenda Rosnah sangka. Hidup ni satu pelajaran dan manusia akan selalu belajar daripada kesilapan. Cik Isha dan Faiq pun sama, sedang lalui fasa untuk menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang. Mungkin lebih baik dari saya satu hari nanti."

"Cuma, saya tak sampai hati nak hampakan permintaan Nenda Rosnah. Dia mengharap sangat saya setuju berkahwin dengan Cik Isha. Saya serahkan pada Cik Isha untuk menolak atau memilih saya. Kalau kita tak ada jodoh bukan kerana kita sesuai atau tak layak untuk masing-masing. Hanya pilihlah cintamu dan cintailah pilihanmu. Love isn't something you find. Love is something that finds you." Tersentuh sekeping hati yang tandus. Delisha menarik nafas dalam-dalam. Rasa bersalah.

Ustaz Azali langsung tak merendahkan Faiq seperti orang lain. Buat Delisha kagum akan peribadinya. Penuh berhikmah, tanpa menghukum.

"Terima kasih sebab faham apa yang saya nak. Faiq mungkin teruk di mata orang lain, tapi mata hati saya, tak pernah menipu. Saya cintakan Faiq dan mencintai pilihan saya..." Ustaz Azali semakin mengerti. Dia terima dengan reda.

"Reda Allah akan selalu ada pada hamba-Nya yang sentiasa mencintai kerana Dia. Cinta abadi hanya ada dalam syurga dan pasangan di dunia disatukan demi mencari syurga bersama untuk akhirat."

Penuh makna kata-kata itu membuat Faiq kalah, kalah di tangan Ustaz Azali.

Tapi, hati Delisha masih perlu ditarbiah kerana kesedaran datang bagai angin lalu. Delisha tetap pilih Faiq dan sukakan gaya hidup Faiq berbanding Ustaz Azali.

"Isha, kalau Isha setuju terima ustaz Azali, nenda akan mempercepatkan perkahwinan Isha dan Ustaz Azali. Berhenti berhubung dengan Faiq sampai bila-bila." Sebaik saja Ustaz Azali pulang, Nenda Rosnah mendekati Delisha.

Kejam arahan nenda. Delisha belum lagi buat keputusan. Faiq pun bukan seseorang yang mudah dia buang. Terlalu banyak kenangan manis bersama lelaki itu.

"Isha belum buat keputusan lagi," tegas Delisha. Menurun semangat Nenda Rosnah.

"Isha, nak fikir apa lagi? Cinta tu tak penting pun, sebab lepas kahwin Isha kena hadap perangai dan sifat pasangan. Itu yang akan bahagiakan Isha dan kekalkan jodoh. Nenda tak rasalah kalau Isha pilih Faiq, Isha akan bertahan lama dengan lelaki macam tu. Kalau hubungan dia dengan Allah pun dia tak jaga, macam mana dia nak jaga Isha? Isha lihatlah diri Isha. Sejak bercinta dengan Faiq, Isha jauh tersasar..."

Delisha hela nafas berat.

"Nenda kalau cari yang buruk-buruk, itu yang nenda akan jumpa. Mungkin di sebalik keburukan Faiq, ada seribu lagi kebaikan yang nenda tak tahu. Nenda cuma fikirkan kebaikan Isha, tapi Ustaz Azali macam mana? Dia berhak dapat isteri yang lebih baik daripada Isha. Isha tak layak untuk dia. Dahlah, nenda. Macam mana bil kad kredit dan elaun Isha? Dah settle? Isha dah ikut arahan nenda."

Nenda Rosnah menggeleng kepala. Kalau hasilnya baik, berbaloi jugalah arahannya itu. Tapi sebaliknya, tiada hasil.

"Okey, nenda bayarkan. Tapi ingat, jangan membazir lagi. Beringat sikit kalau berbelanja tu." Delisha lantas memeluk Nenda Rosnah, gembira. Rasa seperti mendapat kehidupannya semula. Banyak rencana sudah ada dalam kepala ni.

"Thanks nenda, sayang nenda!" Delisha mencium pipi Nenda Rosnah, gembira. Bukan Nenda Rosnah tak senang hati melihat cucunya gembira, tapi Delisha tak pernah nak faham hatinya yang risau akan masa depan cucunya ini.

"Ingat, jaga diri, jaga maruah diri. Jangan nak malukan keluarga. Kalau Isha kecewakan nenda, nenda tak kira, Isha mesti kena kahwin dengan Ustaz Azali."

Delisha tak ambil serius nasihat itu. Yang pastinya, dia sudah bersiap-sedia untuk berjoli lagi. 

HALALKAN HATI YANG KUCURIWhere stories live. Discover now