Kotej

44 1 1
                                    


Hari ini adalah hari jadinya yang ke-16 dan dia beria-ia ingin mengetahui apa terjadi dengan kekasih pertamaku. Aku pernah ceritakan kepadanya tentang bagaimana kami bertemu dan bercadang untuk tidak bercerita tentangnya lagi. Lagipun bagi aku ia tidaklah penting. Malah melucukan. Aku masih beranggapan dia masih muda untuk hal-hal begini dan dia terlalu nakal untuk mengetahuinya.

Tidak ada apa-apa yang menarik, kataku kepadanya sambil buat muka. Namun dia tetap berkeras memujuk dan mengatakan hari ini adalah hari istimewanya. Malah dia enggan untuk membuka hadiah yang aku berikan. Akhirnya aku akur dan aku ceritakan kepadanya begini:

Waktu itu beberapa hari menjelang Sukan Komanwel 98' dan orang sibuk memperkatakan tentang seorang doktor veterinar dari Ukraine yang mencuri anjing-anjing pelanggannya untuk disabung. Ia menjadi berita sensasi di kawasan kejiranan mak kerana dua sebab; satu, mungkin kerana doktor berkenaan adalah seorang perempuan dan hal ini seperti tidak masuk akal dan kedua, ia berlaku berdekatan dengan kejiranan walaupun tidak mendapat liputan yang wajar di media seperti skandal seks Presiden Amerika atau reformasi atas pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Mak tidak dapat tidur malam itu, jadi mak ke dapur dan bancuh secawan koko instan. Mak ke ruang tamu dan mendapati dia sedang duduk ralit membaca majalah dekorasi dengan muka depan Amy Mastura (yang juga sedang duduk di ruang tamu minimalis membaca majalah dekorasi edisi lain). Waktu itu pukul 2:00 pagi. Sunyi dan dingin berkolaborasi, menerbitkan rasa yang menyenangkan. Bau udara selepas hujan menyusup masuk dari jendela yang sedikit terbuka. Ada sesuatu yang melembutkan hati mak pagi itu untuk menegurnya.

Mak serumah ke dengan dia? Dia berkerut. Kemudian tersenyum nakal. Matanya mencerlang.

Tak, dengar dulu, kataku.

Okey, jawabnya. Jadi, aku sambung cerita.

"Dah lama balik?" Mak letakkan koko panas di atas meja.

Dia diam, tekun menyelak majalah. Dia masih memakai pakaian kerja yang kelihatan sedikit basah, T-Shirt berkolar dengan logo syarikat di bahagian kiri yang agak menonjol dan tidak sepadan dengan warna bajunya. Seluar khaki kelabu gelap yang dipakainya digulung sedikit ke atas melekap dibetisnya dan menampakkan sedikit bulu kakinya. Rambutnya yang sudah nipis kelihatan agak lebat kerana basah. Dia berkerja sebagai pemandu lori treler 18 tan di sebuah syarikat logistik dan bulan itu dia terpaksa membuat penghantaran kereta-kereta yang ditempah khas untuk digunakan semasa Sukan Komanwel dan ia melalui kawasan tempat tinggal mak. Jadi mak bagi dia kunci pendua. Dia boleh singgah rehat, atau tidur untuk meneruskan perjalanan esoknya, kerana rumahnya jauh beratus kilometer lagi.

Beberapa malam sebelumnya kami bertengkar dan mak tahu ia salah mak dan ia sepatutnya tidak berlaku. Mak tahu dia masih marah atau sekurang-kurangnya kecil hati kerana mak bangkitkan soal perkahwinan dan masa depan kami. Rumah tu hanyalah rumah sewa, mak masih bergantung dengan gaji yang tak seberapa. Mak kerja sebagai kerani di sebuah agensi pelancongan. Mak pernah cerita kan? Tapi dia tetap datang, singgah dan parkir lori treler di bahu jalan. Mungkin dia tiada pilihan dan dia memang sayangkan mak. Dia risau mak bersendirian di rumah.

Mak ke dapur semula untuk buatkan dia kopi panas, kegemarannya. Sampai semula ke ruang tamu, dia sudah pun menyalakan rokok. Mak duduk di sebelahnya dan letakkan cawan kopi di atas meja di hadapannya. Wap panas menari-nari di atas meja. Bau aroma kopi, koko, asap rokok dan udara pasca hujan bersatu membangkitkan nuansa segar dan melankolis pada masa yang sama.

Dia tersengih, seolah-olah geli hati dengan perincian yang aku ceritakan. Kotak hadiah yang aku berikan kepadanya masih dalam pelukannya.

Aku sambung cerita.

CerpenWhere stories live. Discover now