Sekiranya Kau Dapati Aku Bukan lagi Aku

42 2 0
                                    

Kau sedang membaca? Setahu aku, kau kurang gemar membaca apatah lagi tulisan-tulisanku. Oleh sebab itu, aku selalu memberi kau surat yang lebih kecil dengan kata-kata yang aku susun dengan lebih cermat. Supaya kau menyediakan sedikit masa untuk membacanya.

Benarkah itu kau? Maaf aku masih merasa curiga.

Selama aku mengenali kau, aku tahu kau menganggapku sebagai perempuan yang suka bermain dengan kata. Mengaitnya dengan benang-benang kata terbaik. Namun, apa kau tahu bahawa sebenarnya kata-kata itu adalah aku? Aku wujud dengannya. Aku merasakan paling hidup didalamnya. Mungkin sekarang kau merasa bingung. Namun, setelah hampir tiga tahun mengenali aku, patutkah kau masih merasa bingung?

Kau masih juga membaca bukan?

Aku mungkin berubah. Aku tidak lagi mengharapkan kau menghantar mesej sebelum tidur; "mimpi indah-indah ya sayang". Aku barangkali tidak lagi menceritakan hal-hal seharian di pejabat. Aku keluar ke mana-mana tanpa memberitahu atau mengajak kau bersama. Segala perbualan seolah-olah air laut yang tawar. Kosong.

Kau mula mempersoalkan kenapa? dan mengapa?

Tahukah kau, aku bukan lagi aku kerana aku telah kehilangan kata. Kata yang merupakan sebahagian aku. Kau masih ingat siang selepas malamnya kau biarkan aku tidur menangis? Aku menghantar mesej panjang tentang semalam. Niatku, seperti selalu. Membantu kau untuk lebih memahami aku yang rumit.

Tapi aku tahu kau tidak membacanya.

Kau malah menyuruhku menyimpan saja segalanya yang aku telah tulis dan luahkan. Aku keliru. Jadi, janganlah kau tertanya-tanya kenapa atau mengapa aku bukan lagi aku.

Aku bukan dalam berlapik mahu meletakkan salah pada kau. Cuba kau baca secara terus. Itu aku. Aku yang tidak jemu menulis tentang kita untuk kau baca saat sunyi, saat kau marah, saat yang kau nampak hanya silapku.

Lalu, sekiranya kau hanya mahukan aku tapi tidak kata-kata yang telah menjadi sebahagian aku, janganlah kau membuang-buang waktu. Kau akan kepenatan. Kau malah akan marah seperti sekarang. Kerana mustahil seseorang hidup tanpa nyawanya.

Kau bacalah lagi nanti. Sekiranya kau dapati aku, bukan lagi aku.

GALAU PARI-PARI SEPIDonde viven las historias. Descúbrelo ahora