Bab 5- Berjaga Dihujung Jambatan

7.7K 75 0
                                    

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.
"Aku bukan tukang cerita," katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :
"Mari ikut aku atau bdiar aku hantarkan kaldian ke tempat tersebut dan kaldian lihat nanti, apa yang akan terjadi." Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang.
Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang.
Seorang dukun dari Mambang di kawasan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.
"Kenapa tok bomoh?" seorang cucu datuk bertanya.
"Sakitnya dibawa oleh orang atas," jawabnya pendek.
"Siapa orang atas tu tok bomoh," desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, dia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.
"Aku masih kuat lagi," katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macam mana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya.
Memang di luar dugaan anak cucu, datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung rumah. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi. Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak.
Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemenyan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.
"Carikan aku tiga biji limau, tiga helai daun sirih putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya," ujar datuk tenang.
"Nak buat apa," tingkah nenek.
"Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang," datuk membeldiakkan matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkan kain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.
"Duduklah," datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuhnya.
"Kaldian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku," datuk memberi perintah. Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.
"Dah berapa lama sakit ni, kenapa tak beritahu," anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu . Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.
"Berapa lama sakit ni," terdengar lagi suara perempuan.
"Dah dekat tiga bulan," sahut datuk
"Patutlah lama tak ke rumah."

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis (JILID 1) ( Complete.!)Where stories live. Discover now