KUSERU RINDU ITU 1

707 14 1
                                    

Dia merenung kosong ke satu arah yang tidak pasti. Tidak ubah seperti perjalanan hidupnya yang sering sama-samar. Bagai tidak ada noktah bahagia di dalam hidupnya. Segalanya tinggal tergantung tanpa sebarang kepastian. Dan, akhir-akhir ini, persoalan itu acapkali melingkari fikirannya. Membelit perasaannya. Membuat dia mula lemas di dalam ketidakpastian perjalanan hidupnya yang panjang. Dia takut sebenarnya. Takut kebahagiaan yang membaluti dirinya saat ini, bakal terlucut dari genggaman. Tidak sanggup dia bayangkan. Dia sayangkan segala miliknya kini. Dia sayangkan perkahwinan ini. Namun, dia juga tidak mahu menjadi tamak. Tidak wajar dia terus menagih pada yang tidak sudi menghulur. Tidak wajar dia menghalang lagi andai jelas dirinya sudah disisih ke tepi. Dia bukan pilihan pertama. Dia harus belajar untuk akur dengan kenyataan itu.

"Mama,"

Perlahan dia menoleh. Menatap wajah kecil yang cukup comel di matanya. Anak kecil berusia empat tahun itu melangkah merapatinya. Perlahan dia merangkul tubuh kecil itu. Erat di dalam pelukannya. Cuma anak itulah sumber kebahagiaannya yang hakiki. Kasih sayang anak itu tidak perlu dia ragui. Bicara anak kecil itu juga cukup telus tanpa sebarang rahsia. Hatinya tidak pernah digaru resah setiap kali menatap senyum anak itu. Jiwanya tidak pernah menangis hiba mendengar gelak ceria anak itu. Kerana dia yakin, senyum dan gelak ceria itu memang khusus untuknya. Memang datang dari hati kecil yang tulus. Bukan sekadar lakonan untuk membuat dia berasa bahagia.

"Mama. Nape mama cedih?,"

Idayu tersenyum kecil mendengar soalan anaknya yang sedikit pelat. Perlahan dia mencium pipi gebu anak tunggalnya itu. Anak itu merenung wajahnya menanti jawapan.

"Mana ada mama sedih? Mama penatlah sayang. Banyak sangat kerja yang mama kena buat kat office tu,"

"Kalau penat.. takyah la keje. Duduk umah ngan Afiq. Ngan Nek Teh,"

Idayu tergelak lagi. Pipi Shafiq dicium lagi. Mudahnya penyelesaian untuk anak sekecil itu.

"Afiq dah makan?,"

"Dah. Afiq makan dengan Nek Teh,"

"Dah mandi?,"

"Dah. Afiq dah mandi. Afiq dah makan. Afiq dah gocok gigi. Semuanya dah,"

Idayu tersenyum panjang. Resahnya bagai menjauh seketika tatkala mendengar celoteh anak kecil itu.

"Kalau semuanya sudah.. jom kita masuk tidur,"ujar Idayu separuh bergurau.

"Tak nak. Afiq nak tunggu papa,"

Idayu diam. Dia memandang jam di dinding. Hampir pukul sepuluh malam. Sudah agak lewat, namun bayang suaminya belum juga muncul. Ke manalah lelaki itu pergi.

"Dah lewat ni. Agaknya papa pulang lambat. Afiq tidur dulu ya?,"

Syafiq menggelengkan kepala. Idayu pula tidak memaksa. Tidak mahu melihat Syafiq membuat perangai sebenarnya. Dia penat. Penat dengan kerja di pejabat. Penat dengan kerenah suami. Dia tidak mahu menambah penat itu dengan melihat Syafiq mengamuk pula.

Bunyi enjin kereta memasuki perkarangan rumah membuat Syafiq tersenyum riang. Sebaliknya bunyi itu membuat dia menjadi tidak keruan. Rasa pedih tiba-tiba menerpa sekeping hati perempuannya. Tergambar kembali peristiwa petang tadi yang menyaksikan kemesraan suaminya dengan seorang gadis manis. Hatinya remuk perlahan-lahan melihat adegan itu. Hancur luluh melihat senyum gembira Hisyam menanggapi gurau manja gadis itu.

"Mama, papa dah balik. Cepat buka pintu,"gesa Syafiq sambil menarik tangannya. Perlahan dia mengangkat punggung menurut kemahuan Syafiq. Dia berdiri di ambang pintu, sementara Syafiq berlari mendapatkan papanya. Dari jauh dia merenung wajah milik Hisyam yang tersenyum lebar menyambut huluran jemari kecil Syafiq. Perlahan lelaki itu melangkah keluar dari kereta. Melangkah longlai sambil memimpin Syafiq. Tanpa bersuara Idayu mencapai kot dan briefcase di tangan Hisyam sambil mencium jemari Hisyam. Bergerak sedikit memberi ruang untuk Hisyam melangkah masuk. Idayu masih tercegat di pintu tatkala Hisyam melabuhkan punggung ke sofa. Tali lehernya dilonggarkan sambil matanya memandang Idayu yang masih tidak bergerak. Melihat tingkah Idayu, timbul rasa hairan di hatinya. Kebiasaan, Idayulah yang menanggalkan tali lehernya. Menyambutnya dengan senyum manis. Tetapi, hari ini, tingkah Idayu nampak lain sekali.

Kuseru RIndu ItuWhere stories live. Discover now