KUSERU RINDU ITU 2

761 20 2
                                    

Hisyam meneguk perlahan minuman yang terhidang di hadapannya. Dalam resah, fikirannya ligat memikirkan kelainan sikap Idayu kebelakangan ini. Biarpun Idayu cuba berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia dapat rasakan perubahan isterinya itu. Idayu sedikit dingin dengannya. Berbicara cuma apabila ditanya. Apabila diajak bergurau pula, cuma senyum hambar yang menghiasi bibir. Dan dalam masa yang sama, tanpa dipinta, wajah Maisara turut muncul mengganggu fikirannya. Dia tersepit di tengah-tengah. Tiba-tiba terasa cukup susah untuk dia membuat pilihan. Rasa serba salah bagai menghimpit dirinya. Perlahan dia menghela nafas panjang. Tidak pernah dia duga, satu hari dia akan dihimpit situasi sebegini. Tidak pernah diimpikan untuk dia berhadapan dengan situasi sebegini. Terdera dek perasaannya itu, hatinya bertambah rawan. Tidak sanggup memikirkan perasaan Idayu yang sedang dia calar dalam diam.

"Hai Syam. Mengeluh panjang nampak,"

Hisyam berpaling. Bertemu pandang dengan pandangan ibunya.

Puan Mariam mengambil tempat di hadapan Hisyam. Wajah anak lelaki tunggalnya itu, ditatap lama. Melihat menungan Hisyam yang panjang, bagai memberitahunya yang anaknya itu sedang menghadapi masalah. Membuat nalurinya digayuti rasa resah. Tidak senang hatinya melihat garis kegusaran di wajah sang anak.

"Mana Ayu? Kenapa dia tak datang sekali?,"

"Ayu tak tahu saya ke sini. Balik kerja saya terus singgah ke sini,"

"Hai.. Pelik. Kerja satu tempat.. tapi tak tahu hal masing-masing?,"Puan Mariam bersuara dengan nada hairan. Dengan tingkah yang sedikit mencungkil. Sedang bermasalahkah Idayu dan Hisyam?

"Ayu tak masuk office hari ni. Cuti,"

"Cuti kenapa?,"

"Syafiq demam. Tahu sajalah Syafiq tu.. kalau demam. Merengek nakkan mamanya,"

Puan Mariam mengangguk perlahan. Anggukan bersama satu keluhan lega.Yakin telahannya meleset.

"Macam papanya masa kecillah," Puan Mariam menyambung bicara membuat Hisyam tersenyum.

"Kenapa tak balik ambil Ayu dulu? Boleh mak jumpa Syafiq. Dah lama tak tengok cucu mak tu,"

"Saya singgah sekejap saja mak. Tengoklah. Esok kami datang. Okay?,"

"Hmm.. Yelah. Suka hati kamulah, Syam,"

Hisyam tersenyum kecil sebelum menyambung semula menungnya yang terganggu. Menung yang sekali lagi mengundang riak hairan pada ibunya.

"Kamu ni, mak tengok macam ada masalah saja. Bergaduh dengan Ayu ke?,"

Hisyam ketawa tiba-tiba.

"Hish.. mak ni. Mana ada? Saya dengan Ayu baik-baik je. Tapi, tak tahulah kalau-kalau Idayu ada mengadu apa-apa kat mak,"

"Kenapa? Kamu ada sorok sesuatu ke daripada mak?,"soal Puan Mariam membuat dia terdiam. Niatnya mahu mengorek rahsia daripada ibunya, dibatalkan. Bimbang kalau-kalau rahsianya pula yang terbongkar.

"Ayah mana?,"soalnya mengubah tajuk perbualan.

"Entahlah. Mak tak sempat nak tanya mana dia pergi, semasa dia keluar tadi. Kamu ni, ada masalah ke Syam? Lain macam mak tengok..,"

"Tak adalah mak. Ini yang buat saya malas nak singgah ni. Ada saja yang tak kena kat mata mak,"

Puan Mariam senyum mendengar rungutan itu. Hatinya semakin lega. Yakin dengan jawapan Hisyam.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 23, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Kuseru RIndu ItuWhere stories live. Discover now